Monday, January 7, 2013

Masjid Keroh yang 'jernih'

******************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan *********************** “HANYALAH yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. at-Taubah:18) *************************** KIRA-KIRA jam 12.00 tengah hari tanggal 25 Disember lalu, saya dan keluarga yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk di laluan berhampiran bandar Kuala Krai. Dereten kenderaan memanjang di sepanjang laluan menghala pekan itu. Selepas dua jam bersesak-sesak sebelum menghampiri bandar Kuala Krai barulah saya tahu kenderaan bergerak perlahan kerana terpaksa meredah arus air banjir. ****************************** Ketika berlaku kesesakan itu, saya dan keluarga sempat singgah di Masjid Keroh untuk solat jamak zuhur dan asar. Waduh, sepanjang beberapa kali saya berkelana di Kelantan sejak pertama kali pada 1988, inilah masjid terbersih (pada pandangan saya) dengan kemudahan paling tersusun pernah saya temui di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Walaupun bernama 'Masjid Keroh' , terletak di Kampung Keroh yang hanya beberapa kilometer dari bandar Kuala krai, 'kejernihan' suasananya menambat hati saya. ********************************** Melalui ruangan ini, izinkan saya berceloteh hal-hal menarik saya saksikan di masjid ini yang insya-Allah boleh dijadikan contoh oleh pengurusan masjid-masjid lain. Apabila dinyatakan bersih, tentunya keadaan tandas dan tempat wuduk masjid begitu selesa keadaannya. Apatah lagi ruang solat dan almari di mana naskhah al-Quran dan kitab-kitab diletakkan. *********************** Selepas solat, saya pun melihat-lihat papan kenyataannya. Seperti masjid-masjid lain ada disertakan senarai nama ahli jawatankuasa masjid. Namun apa yang menariknya, di masjid ini ada dinyatakan (ditulis secara terperinci) tugas-tugas ahli jawatankuasa masjid itu. Bagi saya ini perkara ini sesuatu yang amat baik kerana kebiasaannya hanya nama AJK masjid ditulis tetapi orang ramai termasuk jemaah masjid tidak tahu apa sebenarnya tugas dan apa yang dibuat mereka. *************************** Ada AJK masjid yang bukan saja tidak menyumbang apa-apa kepada usaha memakmurkan masjid malah mereka pun jarang-jarang ke masjid, ada yang hanya datang untuk bersolat Jumaat saja malah mungkin ada yang tidak datang langsung. Pendeknya nama mereka saja terpampang gagah, kerja mereka tiada malah ada yang terbabit dalam perbuatan keji yang memalukan umat Islam setempat, negeri dan negara. ***************************** Ya, pada pandangan hamba yang daif, alangkah eloknya setiap pengurusan masjid mengambil contoh usaha dilakukan pentadbir Masjid Keroh ini. Selain menyenaraikan nama AJK masjid daripada Pengerusi sehinggalah Pemeriksa Kira-Kira dan nama pegawai syarak daripada Imam 1 sehinggalah Noja, paparkan secara terperinci tugas masing-masing termasuk jadualnya sekali. Dengan cara ini, tidaklah boleh seseorang yang namanya dipaparkan di dinding masjid itu, berlepas tangan, mereka mesti menunaikan setiap apa yang dinyatakan itu. **************************** Ketika membelek-belek tugasan AJK Masjid Keroh itu, penulis perasan ada ditulis siapa yang tugasnya memastikan kebersihan tandas pada hari itu. Ya, jika dinyatakan siapa pelaku tugas itu secara spesifik tidak bolehlah seseorang itu mengelat. Jika dinyatakan cuci tandas, cuci tandaslah tanggungjawabnya dan jika ada masalah berkaitan dengan tandas, dialah orang yang akan dicari. ************************ Bagi penulis, menulis dan mempamerkan tugasan setiap AJK masjid adalah satu tindakan profesional. Hasilnya, penulis melihat sendiri persekitaran Masjid Keroh begitu bersih serta mendamaikan. Bagi kemudahan orang berkeluarga dan musafir di sediakan sejumlah wakaf di hujung kawasan masjid. Wakafnya sungguh bersih; di setiap wakaf disediakan tong sampah. Sungguh selesa pengunjung bersantai makan bersama keluarga selepas menunaikan solat. ************************ Jika Masjid Keroh mendapat markah tinggi daripada penulis, ada sejumlah masjid yang pernah dikunjungi penulis perlu memperbaiki pengurusannya. AJK-nya perlu dibangkitkan daripada mimpi panjang, jadi sedarlah wahai anda yang namanya terpapar sebagai AJK masjid, jangan harapkan nama saja 'glamour' tetapi kerja tidak dibuat. ************************* Ada masjid yang penulis kunjungi, tandas dan bilik airnya....alamak boleh pengsan dibuatnya. Kadang-kadang bukan saja najis manusia terpalit sana sini tetapi tahi cicak 'bertimbun-timbun' menunjukkan tandasnya jarang dibersihkan. Pernah sekali penulis dan keluarga singgah di sebuah masjid pada waktu subuh, selepas solat penulis pun mandi; isteri penulis hairan kerana penulis lama sangat dalam bilik air tetapi terdengar bunyi bagai dicurah-curah. ********************** "Abang buat apa tu?" tanyanya. "Tahi cicak banyak sangat, terpalit sana, terpalit sini, depa tak pernah cucikah tandas inikah?" Selepas mandi, penulis yang lalu di depan masjid melihat papan tanda yang melakarkan nama AJK masjid. Ramai juga AJK-nya, lebih 10 orang. Terfikir di benak penulis, AJK aje ramai, buat apa, jika tandas masjid pun sudah macam setor simpan keranda saja. ************************** Bukankah lebih baik pada papan kenyataan masjid ditulis begini: AJK Masjid: Leman bin Bujal, tugasan CUTI TANDAS setiap Isnin dan Jumaat (kalaulah tak ada tugas langsung). Syor ini bukan menghina, ia sudah diamalkan di Masjid Keroh yang hasilnya 'sungguh menjernihkan'! ************************ Ingatlah akan ayat al-Quran (Surah at-Taubah: 18) yang bermaksud: “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” ************************** Orang yang menjaga kebersihan masjid termasuk tandasnya, termasuk dalam golongan 'memakmurkannya' daripada sebuah kata dalam bahasa Arab yang antara lain bermaksud mendiami, menetapi, menyembah, mengabdi (berbakti), membangun (mendirikan), mengisi, memperbaiki, mencukupi, menghidupkan, menghormati dan memelihara. ************************ Apa dimaksudkan “memakmurkan masjid” adalah membangun dan mendirikan masjid, mengisi dan menghidupkannya dengan pelbagai ibadah dan ketaatan kepada Allah, menghormati dan memeliharanya dengan cara membersihkannya daripada kotoran-kotoran dan sampah serta memberinya wewangian. Semoga mewangilah masjid-masjid kita dengan mencontohi pengurusan masjid yang efisyen seperti Masjid Keroh di Kuala Krai, Kelantan!

No comments: