Saturday, November 17, 2012

Perkembangan global sinari PAS, Pakatan

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************************** Renungan ********************************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ******************************* KETIKA menjadi editor luar negara sebuah akhbar harian nasional pada tahun-tahun 1990-an dulu, antara perkembangan global yang mendebarkan saya dan petugas berita luar negara lain adalah kejatuhan Soviet Union dan kejayaan Barisan Penyelamat Islam (FIS) dalam pilihan raya yang meletakkannya hampir menerajui kerajaan Algeria. Peristiwa terlerainya Soviet Union yang membawa kepada kemerdekaan 15 republik termasuk Rusia sudah banyak diulas tetapi tidak demikian halnya dengan kejayaan FIS. ***************************** FIS pimpinan Abbasi Madani dan Ali Benhaj adalah parti Islam pertama di dunia memenangi sesebuah pilihan raya. Bagaimanapun kemenangan itu tidak dapat diterima, pihak tentera dengan segera mengambil alih kuasa. Akhirnya kedua-dua tokoh FIS itu merengkok dalam penjara. Negara dan kuasa Barat bersorak gembira, tidak ada langsung pihak yang mencela rampasan kuasa tentera. Pendeknya Barat tidak dapat menerima pihak Islamis memerintah hatta negara umat Islam sendiri. ************************* Namun perkembangan global sekarang seperti kejayaan kumpulan Islamis di Tunisia dan Mesir menubuhkan kerajaan dengan tidak disanggah kuasa dan negara Barat, menunjukkan sudah berlaku perubahan drastik dalam percaturan politik dunia. Demikian juga perubahan ke arah pemerintahan lebih Islamik berlaku di negara seperti Turki, Bosnia malah wilayah autonomi seperti Aceh tidak pula tidak digugat oleh kuasa Barat. Apakah ini petanda bahawa pihak Islamis berpotensi untuk berperanan lebih kuat di negara-negara umat Islam termasuk Malaysia? ****************************** Bagi kita di Malaysia, perkembangan global ini memberi sinar harapan kepada PAS dan rakannya dalam Pakatan untuk mencorak perubahan ke arah politik lebih matang yang dapat diterima di peringkat antarabangsa. Jika dunia dapat menerima perubahan politik di negara Arab/Islam seperti Mesir dan Tunisia, diharapkan perubahan di Malaysia juga dapat diterima dengan tangan terbuka. Dihujahkan bahawa jika dunia dapat menerima perubahan ini (termasuklah penyingkiran pemimpin diktator mengaku pejuang demokrasi) seperti Hosni Mubarak dan Zine el-Abidin ben Ali, apakah masyarakat Malaysia mahu terus kekal dengan slogan tuanya - dulu, kini dan selamanya. ***************************** Jika dulu kemenangan Islamis atau golongan didakwa fundamentalis ini amat ditakuti dunia Barat, tetapi kini pandangan serong ini mulai reda. Seorang penganalisis kanan Amerika Syarikat, Ian Lesser tidak lama dulu, membentangkan bahawa kebangkitan kumpulan fundamentalis Islam di Afrika Utara dan Timur Tengah mendatangkan ancaman keselamatan baru kepada dunia Barat selepas berakhirnya Perang Dingin. Lesser, seorang penganalisis dasar kanan untuk Rand Corporation, mendakwa kawasan bergolak dan mungkin dilanda kekacauan merentangi Afrika Utara melalui Aegean, Turki, Balkan, Caucasus dan Asia Tengah. ************************** Namun kini pandangan tokoh seperti Lesser adalah sesuatu yang terpencil, apatah lagi Barack Obama yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika buat sepenggal lagi menjanjikan dunia yang lebih aman. 'Ketidak-ghairahan' Barat untuk 'berperang secara terbuka' dengan golongan Islamis menimbulkan pertanyaan; mungkinkah ada perkembangan yang menjanjikan perkembangan positif dunia Barat dan Islam? ************************ Memang benar, kuasa Barat dengan kehebatan armada perang berteknologi tingginya dapat menduduki dengan mudah negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan tetapi sepanjang sejarah Islam, pihak yang mendominasi akhirnya akur kepada kehebatan agama penduduk rantau yang dikuasai. Misalnya, orang Mongol yang terkenal zalim dan kejam selepas memusnahkan Baghdad (empayar Abbasiyah) pada tahun 1258, melahirkan keturunan pemeluk Islam hebat yang telah membina beberapa kerajaan gagah di Asia Tengah. Pemerintah empayar Moghul di India yang masyhur itu juga berketurunkan orang Mongol yang zalim itu. ************************* Bagi kita Barat dengan segala helahnya untuk menguasai dunia secara mutlak selepas hancurnya blok komunis pada 1990-an dulu, terus gagal sekalipun kerap memangsakan negara dan umat Islam dalam satu percaturan dinamakan Barat lawan Islam, dengan kemuncaknya pemburuan terhadap apa dituduh sebagai pengganas Islam selepas runtuhnya bangunan Pusat Dagangan Dunia dalam satu serangan pada September 2001. ************************ Hari ini satu demi satu kepincangan dunia Barat yang terselindung di sebalik kecanggihan teknologi dan apa didakwanya kemodenan hidup; terserlah satu demi satu. Barat kini dihuni manusia berpenyakit lemah jiwa, dibelenggu keruntuhan akhlak dan rapuhnya nilai-nilai rohaniah yang menyebabkan ia lemas di tengah-tengah pertarungan agama dan ideologi. Mungkinkah kebangkitan Islam membingungkan masyarakat dan negara Barat? ************************* Semakin ditekan, Islam bukan saja bersemarak di negara umat Islam seperti Mesir tetapi juga di negara Barat sendiri. Kini Islam muncul sebagai agama paling pantas berkembang di Amerika Syarikat dan sejumlah besar negara di Eropah. Ramai individu Barat yang 'menjelajah' negara Timur seperti wartawan Yvonne Ridley dan aktivis Laura Booth (adik ipar bekas PM Britain, Tony Blair) akhirnya memeluk Islam walaupun mereka membenci orang Islam pada mulanya. *************************** Semua ini menunjukkan Islam berpotensi didaulatkan termasuk di negara kita. Insya-Allah Islam akan menyelamatkan umat manusia, tidak kira di Barat atau Timur! Ya, ini satu perkembangan menarik menunjukkan PAS berpotensi menang dalam pilihan raya umum nanti!

No comments: