Tuesday, September 25, 2012
Ketepikan kata orang, ikutlah kata Allah…
****************************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************************
Renungan
***************************
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
****************************
KESEMPATAN berbual-bual dengan seorang teman karib semasa kecil dulu tetapi sekarang sudah hanyut dalam dunianya sendiri seperti penyalahgunaan dadah, menginsafkan saya bahawa, "kita sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja kebajikan, sebaliknya kita banyak syok sendiri kononnya kita orang baik kerana orang yang hampir dengan diri kita seperti isteri, anak, saudara mara dan rakan pun kita tidak mampu mendakwah mereka. Malah untuk diri sendiri pun kita tidak mampu mendakwah nafsu dan kejahatan diri."
****************************
Hakikatnya, kita lemah dan jahil; kita sebenarnya tidak berdaya. Namun apabila kita akui kelemahan dan kejahilan itu sebagai sifat biasa manusia termasuk diri sendiri, insya-Allah kita dapat semangat bahawa kita boleh beriktihar dan berusaha (melakukan yang terbaik termasuk membuang ego diri); yang lain serahkan kepada Allah SWT, berjaya atau tidak itu bukan urusan dan kerja kita, itu kerja Allah SWT, mengapa kita mahu campur tangan urusan Allah SWT? Tidak malukah kita?
***************************
Untuk membuang ego bukan mudah, ia perlu mujahadah yang tinggi. Ya, bukan mudah untuk diri ini bertegur sapa dan bermesra dengan seorang penagih dadah. Nanti apa orang kata, "Aiyy, budak Lan tu dah berkawan dengan si penagih dadah. Agak-agaknya dia pun sudah jadi penagih agaknya." Demikian kita terlalu memikirkan apa orang lain akan kata, namun jarang sekali kita memikirkan apa yang Allah SWT kata, apa yang Tuhan kita firmankan melalui al-Quran yang kita baca itu. Antaranya, ayat 6 Surah at-Tahrim yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka..."
**************************
Akhirnya saya bertegur sapa dengan teman itu. Selepas beberapa kali berjumpa, saya hadiahkannya senaskhah buku kompilasi fadilat zikir dan doa selepas solat yang kebetulan berada di tangan saya. Terkejut besar dia, lantas bertanya: "Ehh, ini bacaan selepas solat...aku sembahyang pun tak buat lagi!"
*******************************
"Itulah kau kena sembahyang," kesempatan itu saya gunakan untuk berbicara. "Kau nampak tak pokok mangga tu? Sekarang sedang berbunga. Cantik bunganya. Selepas itu akan muncul buah. Daripada putik kemudian jadi buah yang ranum. Kita petik dan makan. Sedap. Perut kita pun kenyang. Siapa jadikan semua ini. Apabila makan buah mangga, siapa beri kita kenyang?"
***************************
“Allah," jawab teman itu.
***********************
"Jadi ucaplah terima kasih kepada Allah. Satu cara ucap terima kasih kepada Allah ialah dengan menyembah-Nya. Jadi solatlah," kata saya.
************************
"Aku tahu,” katanya. “Bukan aku tak tahu. Aku bukan tak nak sembahyang, tapi tak ada kekuatan.”
**************************
“Kau perasan tak sesetengah buruh yang buat kerja kat masjid kampung kita? Angkat batu dia boleh, tapi bila orang bang, nak angkat air sembahyang (wuduk) tidak mampu. Mana lebih berat, angkat batu ke atau angkat wuduk? Ya ramai orang boleh angkat batu tapi tak ramai yang boleh angkat wuduk.
**********************
“Ya sama seperti kekuatan untuk angkat wuduk, kau juga perlu kekuatan untuk solat. Sebenarnya, bukan kau saja, semua orang malas untuk solat. Orang berjaya adalah mereka yang lawan sifat dan nafsu jahat itu. Itulah kau mesti lawan perasaan tak nak solat tu.”
************************
“Nanti kalau aku solat, apa pula orang kata? Kawan aku akan kata, “ehh budak…kaki dadah itu dah solat, dah alim dah…”
************************
“Engkau jangan peduli apa orang kata. Itu tak penting. Kau kena peduli apa Tuhan kata. Tuhan kata, kalau kau tak solat kau masuk neraka. Kau nak masuk neraka?”
****************************
“Aku sekarang dah dekat 50 tahun. Ada peluang untuk aku bertaubat?”
***************************
“Apa kau cakap ni, kau tentu tahu ada kisah seorang penjahat, dia sudah bunuh 100 orang tetapi Allah terima taubatnya sekali pun dia baru bergerak ke negeri orang baik-baik; demikian juga khalifah kedua Umar al-Khattab sebelum Islam dia samseng Makkah yang telah bunuh anak perempuannya sendiri, tetapi selepas Islam, Nabi pernah berkata jika ada seorang nabi selepas baginda, orang itu adalah Umar!
****************************
"...(namanya) sekarang ni, kalau kau tak mampu buat baik, jangan buat jahat..."
**********************
"Maksud kau?"
************************
"Kau sendiri pun tahu!"
*************************
"Kalau tak mampu solat, jangan hisap dadah?"
**************************
Demikianlah, dalam menjalani kehidupan, ramai berpandukan apa orang kata, sebaliknya hanya segelintir yang berpandukan apa yang Tuhan kata; berdoalah kita agar kita sentiasa mendengar dan mengikut kata Allah dan bukannya kata manusia!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bhai LanH...
Satu penceritaan yang best... gua suka baca... kalu lah semua orang boleh terbuka minda... melihat Allah dari sudut pandangan yang lain.... mesti kan lebih bagoosh....
C++
CipanTapirTenuk.Blogspot
Post a Comment