Monday, December 12, 2011

Cerita selak kain...

********************* Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan ********************* "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 *********************** BARU-BARU ini ada beberapa kisah selak kain yang saya dengar. Pertama kes Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil yang menjawab 'isu lembu' ketika Perhimpunan Agung Umno. Saya melihat memek muka beriya-iya Shahrizat melalui siaran langsung TV3. Saya lihat Shahrizat selinsing lengan; dan ugut untuk selak kain, tapi taklah dia selak kain. Namun perlakuannya itu mendapat sokongan gemuruh perwakilan Wanita, kebanyakannya bertudung merah. ********************************* Dia ugut untuk selak kain pada lain kali. Namun sepanjang Perhimpunan Agung Umno yang mendapat liputan besar-besaran semua siaran TV tanah air (sehingga seorang anak kecil saya pun naik 'boring'), dia tidak pula ditunjukkan selak kain. Jadi tiadalah peluang orang ramai tengok Shahrizat selak kain, mungkin pada pilihan raya umum nanti kot, jika dia tidak... ******************************* Melalui siaran TV3 juga, suatu pagi saya terdengar seorang pakar motivasi menceritakan kisah seorang wanita pada zaman Nabi dulu menyelak kain. Katanya, wanita ini akan masuk syurga terlebih dulu daripada Sayidatina Fatimah binti Rasulullah. Ya, Fatimah az-Zahra diumpamakan akan tunggang unta dan wanita itu memegang tali unta; jadi dia akan masuk syurga dulu. ********************************** Pakar motivasi itu tidak menamakan wanita itu; tetapi daripada pembacaan saya, agak saya wanita itu adalah Atiqa, orang yang dikhabarkan oleh Rasulullah kepada puterinya, Fatimah sebagai berakhlak tersangat mulia sehingga membuatkan Fatimah teringin mengetahui siapa wanita itu. ******************************* Kali pertama mengunjungi Atiqa, Fatimah tidak dibenarkan memasuki rumahnya malah diminta pulang saja sebab suami Atika tidak ada dan keizinannya pun tidak diperolehi; beliau berjanji akan memberitahu hal itu kepada suaminya. Kali kedua, Fatimah membawa seorang anaknya (Hussein atau Hasan); beliau juga tidak dibenarkan masuk kerana keizinan suami hanyalah untuk Fatimah seorang dan bukan bersama anaknya. ********************************** Kali ketiga barulah Fatimah dibenarkan masuk. Beliau mendapati wanita itu menyediakan air minuman dan rotan sambil menunggu kepulangan suaminya. Apabila si suami balik, Fatimah mendapati dia menyambutnya dengan begitu baik sekali; kata pakar motivasi itu di samping memberi minum sehingga puas, dia menyelak kainnya untuk tatapan suami; bertanya sama ada si suami inginkan dirinya. *************************** Fatimah tertanya-tanya apa guna rotan itu, katanya itulah bagi suaminya merotan dirinya jika layanan diberikan tidak memuaskannya. Demikianlah wanita mulia itu menyelak kain untuk suaminya dan bukan untuk tatapan umum termasuk berjuta-juta biji mata yang menyaksikan siaran TV. ********************************* Kisah selak kain (malah lebih daripada itu) berikutnya saya temui melalui pembacaan. Laporannya menyatakan, sebuah kelab isteri-isteri taat melalui buku seorang pemimpinnya, berkata cara untuk menyambut suami pulang adalah dengan berbogel. Saya tergelak membaca laporan itu; terbayang dalam fikiran 'jahat' saya, jika pasangan muda baru kahwin, bagus juga jika si isteri dengan badan yang ada 'cutting' dan seksi menyambut suami dalam keadaan berbogel, tetapi jika sudah veteran, si suami boleh pengsan melihat si isteri yang sudah londeh anggota badan, berbogel menyambutnya. ***************************** Kisah berikutnya, suatu pagi terkejut saya menyaksikan seorang pembaca berita wanita TV3 yang mengenakan 'tube' yang mendedahkan sebahagian besar bahagian atas dadanya. Sekalipun mengenakan 'kot' penampilannya yang menyelak 'penutup atas' membuatkan ramai 'kurang selesa'. Teringat saya zaman Tok Mat dulu (Menteri Penerangan, Allahyarham Dato' Mohamed Rahmat), selebriti pakaian kurang sopan termasuk lelaki berambut panjang yang muncul di kaca TV, akan dipanggilnya. Sekarang ini tidak adakah 'orang kuat' sanggup memanggil kakitangannya menghadap atas soal disiplin berpakaian ini? *************************** Baru-baru ini terdengar pula saya kisah seorang guru dipanggil menghadap pegawai tinggi kementerian kerana berkopiah ke sekolah; persoalannya kenapa kini orang sanggup menegur orang berkopiah (berpakaian bagus) sedangkan yang mendedahkan sana sini termasuk mengugut menyelak kain atau sudah berbuat demikian di tempat umum tidak ditegur? *********************** Kalau wanita nak sangat selak kain atau dedah dada, lakukanlah depan suami, insya-Allah akan mendapat kedudukan tinggi di sisi-Nya seperti pengiktirafan Nabi s.a.w. ke atas Atiqa!

No comments: