Monday, October 17, 2011

Murid lewat: Guru SAR perlu bertimbang rasa

************************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w ************************* Renungan *************************** "Setiap hari lautan meminta izin kepada Tuhannya seraya berkata, 'Wahai Tuhanku, berilah izin kepadaku untuk menenggelamkan anak cucu Adam, ia makan rezeki daripada-Mu, ia menyembah kepada selain-Mu.' Langit juga memohon kepada Allah seraya berkata: 'Wahai Tuhanku, berilah izin kepadaku untuk menelungkupkannya, ia makan daripada rezeki-Mu, tapi ia menyembah kepada selain-Mu.' Bumi juga memohon seraya berkata: 'Wahai Tuhanku, izinkan kepadaku untuk menelan anak cucu Adam, ia makan rezeki daripada-Mu, tapi ia menyembah kepada selain-Mu.' Mendengar permohonan mereka, Allah Taala menjawab: 'Biarkan mereka, kalau Aku sudah menciptakan mereka, Aku harus mengasihani mereka." (Petikan Hadis Qudsi) *********************************** DUA hari anak saya di sekolah rendah kebangsaan tidak pergi ke sekolah petang - Sekolah Agama Rakyat (SAR). Saya tanya kenapa, jawabnya sekolah agama itu dikosongkan bagi membolehkan murid tahun 5 menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dengan selesa. Rupa-rupa saya ketinggalan maklumat, anak-anak menduduki UPKK pada 3-6 Oktober. *********************************** Dulu apabila disebut UPKK terbelalak biji mata orang kerana tidak tahu 'apa bendanya', tetapi kini syukurlah kerana peperiksaan ini sudah menjadi penting dalam sistem pendidikan kita kerana murid-murid yang hendak memasuki sekolah menengah agama, asrama penuh terutama sekolah integrasi dan sekolah tahfiz memerlukan sijil UPKK di samping sijil UPSRA. *********************************** Bercakap mengenai sijil UPKK dan UPSRA ini, ketika mendaftarkan anak ke sekolah berasrama integrasi tidak lama dulu, anak saya memberitahu ada rakannya tidak pun menduduki UPKK dan UPSRA ini. Malahan lebih malang lagi, pelajar itu tidak pun pergi ke SAR. Terkejut dan sedih saya, membayangkan bagaimana sukarnya anak itu mengikuti kelas pengajian agama Islam dan bahasa Arab nanti. Di sekolah integrasi ini, selain pengetahuan agama Islam, semua murid perlu mengambil kertas bahasa Arab Komunikasi pada peringkat PMR. **************************************** Bercakap-cakap dengan beberapa orang guru dan bekas guru sekolah agama, mereka berkata kemasukan murid ke SAR sebenarnya tidak wajib. Oleh itu ada ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah ini atas pelbagai alasan. Ada yang berkata tiada siapa mahu menguruskan anak-anak ke sekolah ini, ada yang berkata mereka tidak mampu dari segi pengangkutan dan yuran serta buku malah ada yang berkata anak-anak terlalu letih di sekolah pagi dan ada yang mahu anak-anak memberi tumpuan kepada pengajian di sekolah biasa termasuk bagi menghadapi UPSR. ******************************************** Seorang guru berkata walaupun penekanan diberikan kepada kejayaan dalam peperiksaan seperti UPKK, hakikatnya kewujudan SRA adalah bermatlamat untuk mendidik anak-anak agar dapat mengenali dan mengamalkan asas fardhu ain dalam kehidupan. Inilah yang paling penting, kerana tanpa asas agama yang kukuh dalam kehidupan, seseorang itu akan terumbang-ambing dalam kehidupannya, tegasnya. ************************************************ Katanya, memang betul di sekolah harian sudah ada subjek pendidikan Islam tetapi masa diperuntukkan dan skopnya tidak memadai; oleh itu anak-anak perlu dihantar ke sekolah agama kecualilah kalau ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik di rumah. ************************************************** Namun satu masalah yang sering berlaku di SAR ini, ada anak-anak yang tidak datang mengikut masa ditetapkan kerana sekolah sesi pagi mereka jauh atau mereka terbabit dalam pelbagai aktiviti, menyebabkan mereka terlambat. Ada guru yang boleh menerima hakikat ini, tetapi ada guru bertindak kasar dengan menghalau kanak-kanak itu pulang. Kononnya mereka mahu menjaga disiplin; tiada krompomi dalam perkara seperti waktu kedatangan. ************************************************ Kepada guru-guru seperti ini, nasihat penulis adalah bertimbang rasalah. Jika kita menghalau anak-anak itu, anak bangsa kita juga akan rugi. Sudahlah kemasukan ke SAR tidak wajib, dengan retaknya hati anak-anak ini mereka akan menjauhkan diri daripada sekolah agama; anak bangsa kita juga tidak dapat dididik dari segi agamanya. Memang betul disiplin amat penting; tetapi sebagai pentadbir dan pengurus yang bijaksana, yang mengatur kehidupan manusia dan bukannya mesin, sewajarnya kita bijak menggunakan budi bicara.

No comments: