Monday, June 13, 2011

Arak: Eloklah MAS contohi GoAir

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maa’idah: ayat 90)
***

SEBELUM pesawat tambang murah GoAir yang saya tumpangi baru-baru ini dalam perjalanan dari New Delhi ke Srinagar (Kashmir) berlepas, terdengar jelas pengumuman dalam bahasa Inggeris: “Tuan puan diingatkan bahawa meminum arak (drink) dan merokok adalah diharamkan dalam pesawat ini.”

Terfikir di benak saya jika sebuah pesawat komersial India, sebuah negara sekular, dapat mengeluarkan peraturan melarang penumpang daripada minum arak, mengapa syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia yang kucintai, Penerbangan Malaysia (MAS) tetap mempertahankan ‘hobi’nya menghidangkan arak kepada penumpang.

Alangkah eloknya jika MAS yang mendakwa sebagai ‘national carrier’ (penerbangan kebangsaan) sebuah negara Islam contoh bernama Malaysia, berhenti daripada menghidangkan arak dalam pesawat. Alangkah janggalnya sebuah negara Islam paling hebat di dunia, mempunyai syarikat penerbangan yang menghidangkan arak.

Tak malukah pemimpin negara dan peneraju syarikat kepada GoAir yang mengharamkan pengambilan minuman keras sedangkan mereka yang berdegar-degar bercakap mengenai Islam tidak berani mengusik kecenderungan MAS untuk menghidangkan arak dalam pesawat?

Sekalipun larangan GoAir itu difahami bertujuan memastikan keselamatan dalam pesawat, setidak-tidaknya ia boleh dicontohi bagi menjamin keharmonian dalam pesawat MAS daripada digugat penumpang mabuk.

Berapa sangat untung MAS daripada ‘hobi’nya menyediakan arak dalam pesawat? Untungnya mungkin sedikit tetapi balanya tersangat hebat. Sebagai penumpang dan rakyat sebuah negara Islam tercinta bernama Malaysia, saya berpendapat saya berhak menyatakan betapa jijik dan bencinya setiap kali melihat pramugari MAS menolak troli yang di bahagian atasnya mempamerkan botol arak apatah lagi tatkala melihat si cantik manis berbusana ketat itu menghidangkan arak.

Saya perlu menyatakan kemarahan dan kebencian kerana maksiat itu berlaku di depan mata saya. Jika Allah Taala mahu menghukum ‘cash’ (tunai); membalas maksiat itu dengan menghempaskan pesawat itu, maka saya pun terbabit; saya mungkin mati pada saat itu juga. Jika tidak menyatakan bantahan (termasuk dengan menulis artikel ini) apa yang saya takuti, saya termasuk dalam golongan yang bersyubahat dalam melakukan maksiat.

Sebenarnya kesalahan membabitkan arak itu bukan setakat orang yang menyedia dan meminum arak tetapi sejumlah pihak lain seperti penghidang, pembawa, pemerah dan penanam anggur apatah lagi pengusahanya seperti terkandung dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. Arak juga adalah ibu segala kejahatan, jadi bagaimana satu kejahatan dapat dibenarkan berlaku dalam sebuah kenderaan di udara yang Allah SWT boleh saja pada bila-bila masa boleh menghempaskannya.

Ahli-ahli politik, daripada parti pemerintah apatah lagi pihak pembangkang sudah berbuih mulut bercakap mengenai maksiat arak dalam kapal terbang ini, tetapi ia seperti mencurahkan air ke daun keladi, pihak terbabit terus memekakkan telinga; mereka bagaikan tidak makan saman menyebabkan buih-buih arak terus dicicip dan ditogok penuh bernafsu di awan biru.

Wahai pihak berkenaan; malukan kamu dengan orang Islam dan bukan Islam kerana kedegilan kamu itu (terus menghidangkan arak) sedangkan ada syarikat penerbangan dari negara Islam lain seperti Penerbangan Arab Saudi (Saudi Arabian Airlines) dan Brunei Air yang tidak menghidangkan arak, tetap berkembang maju dan semakin kukuh kedudukannya.

Pengalaman saya menaiki pesawat MAS ada kalanya menyebabkan saya senyum sendirian memikirkan sandiwara manusia. Ketika penerbangan membawa jemaah haji, semua pramugari MAS bertudung litup dan tidak menyediakan arak tetap dalam penerbangan komersial suasananya sudah berubah; betullah kata orang macam sumpah-sumpah, boleh tukar warna.

Seorang rakan menceritakan, suatu ketika dalam sebuah pesawat komersial MAS, seorang makcik yang dalam perjalanan balik dari menunaikan umrah, disuakan air arak oleh seorang pramugari yang tersilap perkiraan. Maklumlah pesawat komersial bukan saja membawa jemaah umrah, tetapi pelbagai jenis manusia termasuklah ‘si kaki todi’.

Sebenarnya bukan MAS saja syarikat penerbangan dari negara yang mengaku Islam terbabit dalam menghidangkan arak kepada penumpang. Emirates (syarikat penerbangan negara Emiriyah Arab Bersatu, UAE) juga terbabit sama.

Suatu hari dalam penerbangan Emirates dari Manchester (UK) ke Dubai, saya saksikan seorang penumpang ‘mat salih’ terbongkang tidur di satu barisan kerusi selepas menikmati bergelas-gelas arak.

Dia memang sah sudah mabuk, tetapi saya yang duduk tidak jauh dari situ kecut perut memikirkan nasib jika Allah SWT mahu menghukum segera dengan menghempaskan pesawat itu. Jika itu berlaku (nauzubillah), maka hancurlah saya; bagi mengelakkannya sekali lagi saya rayu, wahai MAS hentikanlah segera daripada menghidang arak dalam pesawat milik sebuah negara Islam contoh bernama Malaysia. Contohilah GoAir yang mengharamkan arak!

1 comment:

premier65 said...

inshaallah ada dikalangan anak kapal muslim sedang berjuang utk 'menegepi' arak ini..