Friday, April 15, 2011

Gadai nyawa untuk dapat upah RM80 sehari

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)
***

DI depan pejabat saya di KL, terdapat sebuah bangunan besar enam tingkat sedang dinaik taraf – ada yang berkata pada bahagian atas akan disambung pembinaan, menambah tingkatnya. Sekarang ini di sekeliling bangunan dipasang kerangka besi (staging) bagi membolehkan kerja-kerja penambahan tingkat dilakukan.

Suatu petang yang panas terik sedang saya enak menikmati buah betik sejuk kesukaan saya di bawah pokok berhampiran bangunan itu, saya menyaksikan seorang anak muda kelam kabut menuruni kerangka besi itu. Dia menggelongsor batang besi dari kedudukan paling tinggi dan selepas sampai ke tanah, berlari ke bawah sebatang pokok, menyandarkan diri dan membuka topi keselamatannya.

Saya melihat tubuhnya bercucuran peluh, mukanya pucat. Dia mengambil nafas, dan selepas keadaan lega sedikit, saya menghampirinya, bertanya khabar. Saya mempelawa dia minum, dia menolak kerana dakwanya dia baru minum.

“Apa pasal?” tanya saya. “Saya mahu pengsan. Kalau saya tunggu atas sana, saya boleh jatuh dan mati,” katanya.

Saya mencapai sepotong betik dan menghulur kepadanya. “Saya belanja,” kata saya. Sambil dia mengunyah betik, saya pun bertanya akan keadaan dirinya.

Namanya Halidin, umurnya 21 tahun, berasal dari Jatim (Jawa Timur). “Beginilah pak, saya menyambung nyawa cari rezeki. Kami diberi tempoh sebulan memasang ‘staging’ di sekeliling bangunan ini. Ada tiga pekerja termasuk saya. Kerjanya berat pak, terutama hari panas macam sekarang ini.

“Berapa kamu dapat (upah) sehari?” Halidin memberitahu dia diberi RM80 sehari. Ada kerja ada upah, tak ada kerja tak ada upah. Waktu kerjanya adalah mulai jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang.

“Lumayankah pendapatan kamu?”

“Di sini bolehlah pak. Kalau kerja di kampung saya upahnya 300,000 rupiah sebulan. Ini bersamaan RM100 kerana 1 juta rupiah itu bersamaan dengan kira-kira RM350. Untuk dapatkan lebih, terpaksalah saya tinggalkan kampung halaman.”

Belum sempat saya habis berbual dengan Halidin, dia dipanggil dengan suara keras oleh ‘bos’nya apabila gondola sudah sampai ke tanah. Maka berlarilah Halidin, memasuki gondola dan sebentar kemudian dia sudah ada di puncak bangunan.

Sambil memerhati Halidin dan rakan sekerjanya, si penjual makanan memberitahu saya: “Hanya orang Indonesia yang sanggup bekerja berat seperti itu. Orang kita usah haraplah. Mungkin tiada orang muda kita yang sanggup bekerja dalam panas matahari, menggadai nyawa bagi mendapatkan upah sebanyak itu.”

Benar, melihat Halidin bergerak dari satu kerangka besi ke kerangka lain sungguh mengerikan. Tiada tali yang mengikat tubuhnya. Andai tersilap langkah, atau kerangka besi itu tumbang; pengakhirannya adalah mati seperti diucapkan Halidin. Tetapi demi sesuap nasi, Halidin dan rakannya terus gigih berusaha, bagi mendapatkan upah RM80 yang diberikan pada senja hari.

2 comments:

Blog Tuan Hamba said...

ASLKM. SAYA BERMINAT DENGAN BUKU TUAN. BOLEH BERIKAN NO HP. SAYA HASAN IBRAHIM.

Lanh Sr. said...

waalaikumusalam, terima kasih saudara hasan,

LanH 012-6185560