Friday, March 18, 2011

Kak Nam, Pak Nam kini diiktiraf, disanjung

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mendirikan solat maka ia telah mendirikan agama, barangsiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia telah meruntuhkan agamanya." (Maksud Hadis Riwayat Baihaqi)
***

TOPIK pada kelas pengajian di sebuah masjid berdekatan rumah saya hujung minggu lalu adalah berkenaan dengan fitnah sebagai salah satu daripada dosa besar. Ustaz berkata menyebar keaiban orang lain (al-nanimah) disepakati ulama sebagai haram dan berdosa besar dan mereka yang melakukan perlu bertaubat segera.

Mengata orang sekalipun benar adalah mengumpat manakala mengada-adakan cerita adalah fitnah. Menurut ustaz kebiasaannya dalam satu kelompok perempuan kampung adalah seorang yang juara fitnah, dia membawa kisah-kisah terbaru mengenai orang kampung.

Kedatangannya sentiasa dinanti-nanti. Dialah Kak Nam, berperanan bagai burung murai menceritakan keburukan orang. Lebih buruk lagi jika Kak Nam ini berperanan sebagai pengadu-domba; pada Si A dia bercakap mengenai keburukan Si B; dan kepada Si B dia bercakap mengenai keburukan Si A. Akhirnya Si A dan Si B bercakaran gara-gara kerja Kak Nam.

Kak Nam selalu beroperasi di lokasi lepak menunggu kedatangan peraih ikan, penjual kain dan ada juga Kak Nam yang bertindak menjual barangan dari rumah ke rumah. Sambil berjualan sempat pula meng-‘update’kan isu panas dan sensasi kampung.

Pak Nam pula jarang ada dalam kelompok orang lelaki kampung. Orang lelaki kalau duduk berlonggok dalam kedai kopi, mereka menghabiskan masa dengan bermain dam aji, daun terup dan bagi anak-anak muda menghadap TV daripada pagi sampailah malam. Demikianlah cara orang lelaki menghabiskan masa.

Tetapi kini orang lelaki pun terbukti hebat melakukan fitnah. Ada seorang tokoh menghabiskan hari tuanya menulis memoirnya yang mengandungi fitnah beracun ini. Jika dulu Kak Nam dan Pak Nam menjalankan kegiatan operasi di tempat jualan dan kedai kopi kampung, Kak Nam dan Pak Nam moden pula meluahkannya dalam buku.

Selain dapat meluahkan apa yang terbuku dalam hati dengan cerita sensasi, dapat pula Kak Nam dan Pak Nam hasil daripada royalti bukunya. Kalau bukunya berharga RM10 senaskhah, kalau terjual 10,000 naskhah sebulan dengan diberikan 10 peratus saja dia sudah senang-senang dapat RM10,000.

Sebenarnya, kata ustaz, keaiban orang perlu ditutup. Tidak payahlah kita dedahkan keaiban orang. Ini kerana jika dedahkan keaiban orang, keaiban kita akan terbongkar dan ini akan mendatangkan malu amat besar pada diri kita.

Kata ustaz, mereka yang menutup keaiban orang, Allah Taala memberi jaminan akan menutup keaibannya sama ada di dunia apatah lagi di akhirat nanti yang tiada pelindung, manusia berharap kepada Allah SWT semata-mata.

Selain Kak Nam dan Pak Nam yang makin sofistikated melakukan fitnah melalui buku dan siar raya terkini seperti blog, facebook, dan twitter, terbaru Kak Nam-Kak Nam pula sudah pandai berkumpul beramai-ramai, pandai sendiri-sendiri mengesahkan seorang tokoh sebagai peliwat dan mendesak dia menyerahkan DNA-nya kepada pihak berkuasa. Dengar khabarnya mereka yang kebanyakannya bertudung merah ini mahu mengadakan perhimpunan di seluruh negara.

Kepada mereka dan semua termasuklah diri saya, marilah kita bertaubat, bermuhasabah diri, usahlah kita cari kesalahan-kesalahan orang sebaliknya cerminlah diri kita sendiri, salah laku dan dosa kita sebenarnya sudah terlalu banyak, marilah kita menyiapkan diri untuk memasuki rumah berukuran 6 kaki panjang, 3 kaki lebar dan 6 kaki dalam daripada sibuk dengan DNA orang yang kisahnya kita tidak tahu hujung pangkalnya.

Lebih baik kita jaga DNA suami masing-masing agar tidak ‘tumpah’ kepada orang lain daripada kita sibuk berarak di seluruh negara.

No comments: