Wednesday, January 19, 2011

Ke mana menghilang ‘bas London’ Melaka?

Posted on 19th JAN 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Iktibar madah sebuah tengkorak

Diriwayatkan Nabi Isa a.s. bertemu sebuah tengkorak dan disentuhnya dengan kakinya seraya berkata: "Berkatalah engkau dengan izin Allah." Tengkorak itu berkata: "Wahai Rasul Allah, aku adalah raja pada zaman anu dan di negeri anu. Suatu hari aku duduk di istanaku di atas singgahsanaku, di sekitarku bala tenteraku, juga pelayan-pelayanku di atas tempat tidur. Tiba-tiba aku melihat malaikat maut hingga anggota badanku sama terlepas oleh gementarnya aku dan nyawaku melayang." - Petikan majalah Hidayah Januari 2011
***

HUTANG kerajaan negeri Melaka meningkat RM587.3 juta pada 2009 berbanding RM441.76 juta pada 2008, tetapi pemimpinnya terus boros berbelanja termasuk menjalankan projek pembangunan yang diragui keberkesanannya atau memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.

Pelbagai projek mega dijayakan dengan membuat pinjaman kepada kerajaan Pusat tetapi sebahagian daripadanya tidak berdaya maju sehingga terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Antara projek yang gagal, tersadai atau cuba dimajukan semula adalah Pulau Melaka, roda gergasi Eye On Malaysia dan Litar Go-Kart di Ayer Keroh.

Sekalipun rakyat Melaka khasnya dan seluruh Malaysia amnya digembar-gemburkan dengan kejayaan negeri ini dari segi fizikal termasuk perisytiharan sendiri sebagai negeri berstatus maju pada 2010, prasarana untuk rakyat awam tidak banyak berubah.

Misalnya, jika dikaji dari segi pengangkutan awam, keadaan bas berhenti-henti yang menjalankan operasi dari pusat bandar (Melaka Sentral) hampir semuanya adalah buruk-buruk belaka.

Jika seseorang berada di Melaka Sentral, jenguklah di bahagian yang menempatkan bas tempatan. Akan terlihatlah puluhan bas lama, berdedu dan keadaan ini berbeza dengan seksyen bas ekspres yang kebanyakan bas di situ adalah baru-baru belaka termasuklah jenis dua tingkat.

Selain pelbagai syarikat persendirian yang mengendalikan bas tempatan (berhenti henti) itu, ada sebuah syarikat kerajaan negeri (PM Culture and Tour, PMCT) tutut terbabit dengan menawarkan perkhidmatan bas Panorama di sekitar bandar raya Melaka.

Baru-baru ini kerajaan Melaka membeli 10 buah bas baru bagi menggantikan bas sedia ada. Sebuah bas yang ditempah khas dari China itu membabitkan harga RM235,000.

Apabila dikatakan bagi MENGGANTIKAN bas sedia ada, apakah bermakna sejumlah bas termasuk bas dua tingkat berwarna merah yang didatangkan khas dari London sudah dinyahkan. Patutlah sejak setahun ini, penulis tidak pernah lagi melihat bas London ini bergerak di jalan raya Melaka.

Tiga tahun lalu, bas London ini menjadi kebanggaan hampir kebanyakan pemimpin dan rakyat Melaka. Hakikatnya dua bas London ini sudah uzur (buatan 1981) dibeli dengan status bas terpakai daripada London Bus Export dengan harga RM200,000 setiap satu.

Adalah amat malang bagi rakyat Melaka jika wang pembelian dua bas ini sebanyak RM500,000 (termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan seperti pemasangan alat penghawa dingin berharga RM56,000) lebur dalam masa beberapa tahun saja.

Membeli bas buruk adalah kerja sia-sia, tetapi tentunya ada pihak ketawa berdekah-dekah kerana dapat menjual besi buruk dengan harga sebegitu tinggi, demikian juga mungkinkah ada pihak kenyang dengan projek terlalu ke belakang ini (al-maklumlah bas bersejarah tentunya sesuai untuk negeri bersejarah).

Dulu pemimpin amat berbangga dapat membeli bas ini kononnya ia pernah menjelajah tempat-tempat menarik di kota London seperti Istana Buckingham, Tower Bridge, Madamme Tussaud's Museum, Westminster Abbey dan West End, tetapi kini apakah bas tua ini masih mempunyai kudrat menyelusuri Jalan Bandar Hilir bagi melewati tempat-tempat bersejarah seperti A’Famosa, bangunan Stadhuys dan binaan baru seperti Menara Taming Sari? Atau pun bas tua ini sudah sampai masa persaraannya, dibiarkan nazak bersama berkaratnya besi buruknya di sebuah gubuk yang tidak diketahui lokasinya.

Sungguh malang bas tua dua tingkat dari London ini, tetapi lebih malang lagi rakyat Melaka yang pemimpinnya boleh menghabiskan wang RM500,000 begitu saja!
Hal ini tidak menghairankan kerana laporan Ketua Audit Negara 2009 membuktikan terlalu banyak pembaziran membabitkan kerajaan negeri termasuk di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) sendiri.

Antara JKMM telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Laporan itu menyatakan keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri dan pembaziran wang awam.

Demikianlah terlalu banyak berlaku pembaziran dan pemborosan oleh pemimpin negeri. ‘Kehilangan’ bas tua London daripada pandangan mata umum adalah bukti jelas pemimpin pandai bermain silap mata, jadi apakah rakyat mahu terus memilih orang jenis ini (sudah tua pun) sebagai pemimpin mereka pada masa depan?

No comments: