Tuesday, December 7, 2010

Fesyen: Muslimat PAS mahu temui Rosmah, Shah Reza

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Ucapkanlah wahai anak, 'Ya Tuhanku, kasihlah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil'." (Surah al-Israk, ayat 24)
***

Muslimat PAS kini mengusahakan pertemuan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung Festival Fesyen Islam (Islamic Fashion Festival, IFF) dan Dato’ Raja Rezza Shah atau Shah Reza sebagai pemilik ‘event’ IFF bagi membincangkan garis panduan aurat wanita dalam berbusana dan bertabarruj (membuka dan menampakkan sesuatu seperti bersolek dan berhias).

Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, memberitahu Harakah, pihaknya sudah mengutus surat kepada Rosmah menyatakan hasrat mengadakan pertemuan itu manakala surat kepada Shah Reza akan dihantar secepat mungkin.

Katanya, pertemuan dengan kedua-dua tokoh ini amat penting bagi mengelakkan salah faham mengenai aurat Muslimah kerana majlis IFF termasuk diadakan di Monaco yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, turut menjadi rujukan dan panduan wanita Islam berfesyen terutama di kalangan generasi muda.

“Kita sangat-sangat berharap acara IFF berikutnya tidak dicemari fesyen bercanggah kehendak Islam. Sehubungan itu kita sedang mengusahakan agar pertemuan dapat diadakan dengan Datin Seri sebagai penaung dan Shah Reza sebagai penganjurnya bagi membincangkan garis panduan aurat wanita dalam berbusana dan bertabarruj,” katanya.

Menurut Ustazah Nuridah persoalan menjaga aurat wanita bukan terletak pada satu-satu pihak saja tetapi membabitkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pemerintah dan industri yang terbabit mempromosi fesyen sehinggalah kepada ustaz serta ustazah, guru-guru, ibu bapa dan pengamal media.

“Namun, ibu bapalah mempunyai peranan paling berat. Saya mengambil kesempatan untuk saling ingat mengingati agar dapat memastikan anak-anak gadis kita berpakaian menutup aurat sepenuhnya. Sekarang ini kita perhatikan semakin ramai wanita bertudung tetapi sedihnya tidak memerhatikan anggota tubuh lain yang sewajarnya ditutup,” katanya.

“Bagi saya perkara ini terjadi kerana kebanyakan wanita ini mengikut-ikut saja, mereka jahil tanpa ilmu agama yang mantap. Oleh itu adalah penting bagi kita, terutama ibu bapa memberi didikan sewajarnya kepada anak-anak.

“Ibu bapa juga perlu belajar, mereka perlu menghadiri majlis-majlis ilmu. Saya sedih ada ibu bertudung tetapi membiarkan anak gadis bebas mendedahkan aurat, demikian juga ada bapa sudah naik haji, tetapi tidak ambil berat pakaian anak-anaknya.

Ustazah Nuridah berkata seakan-akan sudah menjadi ‘trend’ sesetengah remaja bertudung memakai jeans ketat dan baju pendek serta sendat yang sudah pasti tidak bertepatan dengan kehendak Islam dalam berpakaian.

“Tudungnya pun daripada pelbagai jenis. Ada yang nipis dan jarang; ada tudung pendek yang mendedahkan leher dan dada, ada ikatan tudung disimpulkan di leher dan apa pula tudung jenis serkup yang menyerlahkan juntaian rambut.

“Kecenderungan baru ini begitu membimbangkan kita. Itulah antara sebabnya kita mahu mengadakan perjumpaan segera dengan Datin Seri Rosmah dan Shah Reza agar terbuka hati mereka mendengar pandangan kita seterusnya bersama-sama menghalang penularan cara berpakaian begini,” katanya.

No comments: