Thursday, April 15, 2010

Dhaka tekan pemimpin Jamaat-e-Islami

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." (Surah Ali Imran, Ayat 97)
***

PEMERINTAH Bangladesh pimpinan Sheikh Hasina Wajed didakwa meningkatkan tekanan ke atas pemimpin Jamaat-e-Islami iaitu parti Islam terbesar Bangladesh termasuk mengaitkan mereka dengan jenayah perang 1971 (pemisahan Bangladesh-Pakistan).

Apabila disabitkan dengan jenayah perang, seseorang itu akan kehilangan hak secara berkekalan untuk bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau kerajaan tempatan, berdasarkan undang-undang pilihan raya yang berkuat kuasa sebelum dan selepas pilihan raya Parlimen kesembilan.

Sejumlah pemimpin tertinggi Jamaat-e-Islami berkemungkinan ditahan atas tuduhan melakukan jenayah perang selepas sebuah agensi penyiasatan dibentuk dan memulakan tugas.

Pemburuan pihak berkuasa Bangladesh terhadap pemimpin Jamaat-e-Islami menyebabkan ramai daripada mereka menyembunyikan diri. Mereka dikatakan akan ditahan di lapangan terbang jika mahu keluar negara bagi mendapatkan perhatian dan sokongan antarabangsa.

Maklumat yang disampaikan di pejabat penulis baru-baru ini oleh seorang anggota Jamaat-e-Islami yang meminta pengenalan dirinya dirahsiakan terutamanya disebabkan masalah keselamatan, berkata pemimpin tertinggi mereka sekarang ini mengkaji kesan menyeluruh terhadap parti berhubung tindakan pemerintah itu.

Katanya, pihak pemerintah sedang memantau pergerakan itu manakala pemimpinnya seperti Mohammad Kamaruzzaman dan Abdur Razzaque sudah dikenakan sekatan tidak meninggalkan negara itu.

Beliau memberitahu pemerintah tertinggi Jamaat-e-Islami sudah pun mengarahkan pemimpin parti bersedia mengadakan tunjuk perasaan seluruh negara bagi membantah sekatan dan penahanan itu tanpa menunggu reaksi parti sekutunya termasuk Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) pimpinan Khaleda Zia yang pernah menjadi Perdana Menteri Bangladesh.

Beberapa pemimpin Jamaat-e-Islami menemui Khaleda Zia di pejabatnya di Gulshan bulan lalu dan mencadangkan sebuah pergerakan bersepadu menentang kerajaan dalam pelbagai isu termasuk mengugut pemimpin politik dengan dakwaan jenayah perang itu.

Bagaimanapun, Khaleda Zia dikatakan kurang berminat dengan cadangan pemimpin Jamaat-e-Islami dengan memberitahu mereka supaya memulakan penentangan terlebih dahulu.

Sumber itu memberitahu, Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami, Ali Ahsan Mohammad Mojaheed, berkata pihaknya akan memantau tindakan kerajaan dan akan bertindak jika kerajaan menjadikan pemimpinnya sebagai mangsa atas alasan mahu membicarakan penjenayah perang.

Beliau mendakwa hakikatnya tiada penjenayah perang dalam Jamaat-e-Islami tetapi bagaimanapun ia sudah bersiap sedia menghadapi perbicaraan mengikut prosedur undang-undang dengan sayap perundangannya berikrar mempertahankan pemimpin yang didakwa.

Di samping menentang tuduhan jenayah perang itu, Jamaat-e-Islami juga bercadang melawan Akta (Tribunal) Jenayah Antarabangsa 1973 yang mana perbicaraan itu diadakan.

Bagaimanapun, pihak Jamaat-e-Islami tidak boleh mencabar undang-undang di Mahkamah Agung sebelum ia digunakan untuk membicarakan mereka.

Jamaat-e-Islami kini meningkatkan kempen mereka di dalam dan luar negara bagi mempersoalkan kesahihan dari segi perundangan terhadap tuduhan dan perbicaraan pemimpin mereka. Antara tempat pengaduan mereka adalah kedutaan dan agensi berita luar.

No comments: