Monday, January 19, 2009

Bahasa Melayu/Malaysia 'menuju kubur' ketika 'DBP menongkat langit'?

Sudah tiga kali dalam tempoh terdekat ini, dalam beberapa kuliah agama yang penulis hadiri, penceramahnya mempersoalkan siaran TV Malaysia (milik kerajaan dan swasta).

Kata mereka, pada sebelah petang (waktu rehat-rehat selepas balik kerja kira-kira jam 5-6 petang), apabila dibuka set televisyen - daripada TV1 kepada ntv7 - semuanya menyajikan rancangan bukan dalam bahasa rasmi negara - bahasa Melayu.

Apabila dibuka sesebuah rangkaian, rancangannya dalam bahasa Inggeris, tukar yang kedua dalam bahasa Cina, tukar lagi dalam bahasa Cina, tukar lagi dalam bahasa Amerika Latin - pendeknya tiada satu pun rancangan dalam bahasa Melayu.

"Ketika waktu bersantai itu, maka hati kita pun tertanya-tanya, di negara mana sebenarnya kita berada? Adakah kita berada di Hong Kong, Taiwan, Bombay, Singapura ataupun di New York?" demikian tanya salah seorang penceramah.

Nampaknya, identiti kebangsaan negara semakin lama semakin terhakis. Bukan saja rancangan TV, hampir keseluruhan cara hidup, identiti kebangsaan menuju kepunahan. Mungkin ada yang meletakkan kesalahan kepada perkembangan global atau dunia tanpa sempadan, tetapi benarkah demikian 100 peratus?

Kalau dulu kedengaran juga suara memperjuangkan bahasa kebangsaan dan pelbagai isu berkaitan identiti kebangsaan, nampaknya suara-suara itu sudah tenggelam 'bersama tenggelamnya' penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Jika adanya suara-suara yang menyatakan rasa tidak senang dengan bahasa iklan dan iklan yang mengambil model 'Pan Asia', hari ini suara-suara itu 'semakin tenggelam' dan dirasakan tidak relevan lagi. Malah iklan menonjolkan budaya terlalu asing (seperti ketika zaman Roman) menguasai siaran TV.

Sekalipun hari ini bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah 'menongkat langit' tetapi bahasa Melayu sudah menuju saat 'ke kuburan', gara-gara sikap gelojoh sesetengah pemimpin negara menidakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Jika ada pemimpin negara bercakap besar mengenai bahasa Melayu yang bersifat global, yang mungkin akan diterima di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Asean, di institusi pengajian tinggi di Rusia atau China, mereka sebenarnya tidak menyedari bahasa itu bukan bahasa Melayu Malaysia tetapi bahasa Melayu Indonesia.

Sebagai bukti, di Makkah pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan risalah dalam bahasa Melayu Indonesia selain bahasa utama dunia lain seperti Inggeris, Arab, Perancis dan Hindi. Papan-papan tanda termasuk di Perkuburan Baqi' di Madinah, menggunakan bahasa Melayu Indonesia.

Universiti-universiti utama dunia termasuk di China, Korea, Belanda dan Amerika juga menawarkan pengajian bahasa Melayu (Indonesia) manakala diplomat asing di Kuala Lumpur dan Jakarta (terutama dari Amerika dan Rusia), fasih berbahasa Melayu Indonesia.

Jika orang Melayu Malaysia tidak dapat mempertahankan bahasa mereka sebagai bahasa ilmu (dengan menukar pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan diikuti hampir semua kursus di universiti), adalah dikhuatiri bahasa Melayu akan hilang kedudukan utamanya seperti tidak dihiraukan oleh pengamal media massa seperti stesen TV, akhbar dan majalah.

Bahasa Melayu akan hilang kepentingannya sama seperti hilangnya penggunaan tulisan jawi dari bumi yang pernah menggunakan nama 'Tanah Melayu' ini. Kata-kata hikmah Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia' mungkin boleh diletakkan di 'Keretapi Tanah Melayu' saja. Maaf, penulis kelihatan terlalu kasar dalam membicarakan isu ini.

Sekalipun hilang pengaruhnya di 'Tanah Melayu', bahasa Melayu dipercayai akan terus berkembang pesat di bahagian dunia lain. Ini kerana bahasa Melayu tergolong dalam kumpulan 12 bahasa utama dunia yang mempunyai lebih 100 juta penutur.

Daripada 6,000 bahasa di dunia, bahasa Melayu berada di tangga kesembilan dengan lebih 150 juta penutur. Ini termasuk lebih 50 juta orang yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda mereka.

Sebagai bahasa utama dunia, pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai landasan kukuh untuk mempertingkatkan bahasa ini sehingga ia boleh diterima sebagai bahasa rasmi pertubuhan serantau seperti Asean sehingga ke peringkat antarabangsa seperti PBB.

Malangnya bahasa Melayu/Malaysia dipersempitkan penggunaannya di bekas bumi bernama 'Tanah Melayu'. Pemimpinnya tidak yakin bahasa Melayu/Malaysia dapat dijadikan bahasa ilmu atau lingua franca.

Apabila tidak yakin muncullah isu seperti penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan 'hampir matinya' penggunaan bahasa Melayu di TV, matinya akhbar Utusan Melayu dan akhir-akhir ini satu-satunya majalah semasa berbahasa Melayu 'Massa' turut 'bungkus'.

Jika dulu 'Tanah Melayu' sudah berkubur dan menjadi sejarah saja, tunggulah ketikanya bahasa Melayu/Malaysia akan turut berkubur sedangkan secara globalnya bahasa Melayu berkembang maju selaras dengan bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Arab dan Mandarin.

No comments: