Friday, February 11, 2011

Revolusi Mesir hampir pasti gegar tanah air

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedangkan Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 268)
***

SUATU hari sedang saya beriktikaf, menunggu-nunggu masuk waktu solat Asar di Masjidilharam ketika menunaikan umrah pada Jun 2010, saya berkesempatan berkenalan seterusnya berbual-bual dengan seorang jemaah dari Mesir. Selepas mesra, saya pun bertanyakannya mengapa kerajaan Mesir menutup pintu Rafah dan jalan masuk lain sepanjang sempadan negaranya dengan wilayah Gaza, Palestin.

Jawapan lelaki Mesir dalam umur lingkungan 40-an itu adalah input baru kepada saya. Katanya: “Kita tidak mahu orang Yahudi yang menyamar dengan berpakaian orang Arab bebas masuk keluar bumi Mesir seterusnya menyuntik sejenis dadah baru kepada generasi muda. Jika ini berlaku akan hancurlah masa depan negara Mesir. Itulah kita ambil keputusan untuk menutup semua pintu sempadan ini.”

Hakikatnya, Mesir bukan saja menutup pintu-pintu sempadan itu tetapi bekerjasama dengan Israel bagi menghancurkan terowong-terowong rahsia yang menjadi laluan kemasukan bahan penting kepada penduduk Gaza seperti makanan dan alat ganti mesin dan kenderaan.

Saya mahu ketawa dengan jawapan jemaah Mesir itu tetapi mengawalnya kerana menyedari ketika itu kami berada dalam masjid paling mulia dalam Islam yang ibadah dalamnya adalah 100,000 kali ganda pahalanya daripada masjid lain. Jika diiyakan jawapan lelaki Mesir tadi, sekarang benar-benar sudah terjadi kebangkitan generasi muda Mesir; namun mereka bangkit bukan kerana suntikan dadah perisik Israel sebaliknya menentang kuasa diktator seorang presiden bernama Hosni Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir yang dikatakan diilhamkan daripada Revolusi Bunga Melur di Tunisia yang menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, adalah petanda pembaharuan di dunia Arab malah dunia Islam seluruhnya kerana Mesir adalah bumi tumpuan ummah sejak sekian lama. Ini kerana pelbagai keistimewaan Mesir seperti adanya Al-Azhar iaitu universiti Islam paling tua dan bumi bermulanya percambahan pemikiran Islam moden yang membawa kemerdekaan kepada banyak negara umat Islam.

Jika dua dekad lalu berlaku pembaharuan dan kebangkitan rakyat di negara komunis dan sosialis seperti Soviet Union, China dan Burma (Myanmar) seterusnya merebak ke negara-negara Eropah Timur seperti Jerman Timur, Romania, Poland dan Yugoslavia yang membawa perubahan dinamik senario politik antarabangsa, mampukah kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir ini menyemarakkan perubahan di dunia Arab seterusnya dunia Islam secara keseluruhannya.

Jika dianalisis daripada perkembangan semasa, jawapannya ya kerana revolusi di Tunisia itu telah menjalar ke beberapa negara Arab lain seperti Yaman dan Jordan dengan kemuncak kebangkitan rakyat berlaku di Mesir. Ciri sama negara ini adalah ia diperintah oleh pemimpin autokratik dengan Mubarak sudah memerintah 30 tahun manakala Ali Abdullah Salleh (Yaman) sudah mengepali Yaman dua dekad manakala Raja Abdullah Jordan walaupun baru memerintah negaranya tetapi melanjutkan legasi bapanya Al-Malik Hussein.

Namun jika diamat-amati sejarah di dunia Arab, pernah berlaku kebangkitan rakyat secara besar-besaran sebelum ini tetapi ia dipatahkan dengan penggunaan kekerasan oleh angkatan tentera. Misalnya pada pilihan raya umum Algeria dua dekad lalu, parti prorakyat Barisan Penyelamat Islam (FIS) menang besar tetapi sebaik saja mahu mengambil alih kuasa, pihak tentera menggagalkannya seterusnya memperkenalkan undang-undang darurat yang membawa kepada kekuasaan diktator sehinggalah hari ini.

Kebangkitan di Algeria tidak merebak ke dunia Arab, malah terus mati selepas itu apabila pemimpin FIS seperti Abassi Madani dan Ali Benhaj merengkok dalam penjara. Apa yang mendukacitakan kebangkitan rakyat Algeria tidak dapat pembelaan masyarakat antarabangsa malah kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan badan dunia yang dikuasainya (PPB) hanya membisu seribu bahasa. Bagi mereka adalah lebih baik menobatkan seorang diktator daripada dibiarkan pihak pro-Islam mengepali sesebuah negara.

Namun satu hal yang sangat membezakan kebangkitan rakyat Algeria dan Mesir adalah sikap angkatan bersenjata. Adalah sesuatu yang amat menggembirakan kerana kebangkitan rakyat Mesir tidak disambut dengan tembakan tidak perikemanusiaan tentera. Dari segi sikap dan penerimaan tentera, ada persamaan antara kebangkitan rakyat Mesir ini dengan apa yang berlaku ketika kebangkitan rakyat di Soviet Union pada 1991 yang mengakibatkan kehancuran empayar komunis itu membawa kepada kewujudan 15 republik merdeka termasuklah Russia pimpinan Boris Yeltsin.

Dengan hanya sokongan lemah segelintir tentera kepadanya (buktinya ratusan ribu rakyat dibenarkan berhimpunan di Medan Tahrir), hampir pasti Mubarak akan tersingkir dengan kemungkinan dia melarikan diri atau dihukum mati di negara sendiri. Persoalannya akan merebakkah kebangkitan rakyat ini di negara-negara Arab dan dunia Islam keseluruhannya?

Bagi penulis, jawapannya ya kerana Mesir sebenarnya adalah induk kepada pembaharuan dunia Islam. Bagi tanah air kita, perkembangan di Mesir sejak dulu lagi mendominasi pemikiran anak bangsa. Pengaruh Mesir amat sinonim dengan cendekiawan tempatan; kini dengan kepulangan lebih 10,000 pelajar; jika separuhnya saja membawa idea pembaharuan ia sudah cukup kuat untuk merisau seterusnya menggegarkan sebuah kerajaan yang didakwa korup!

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

saya yang terkeliru: i)adakah pemimpin di Malaysia ini kejam dan zalim seperti yang digambarkan?
ii)adakah kakitangan kerajaan (80% melayu/Islam)kejam, zalim dan rasuah?
iii)adakah kekangan dari pemrintah terhadap Islam dinegara ini?
iv)adakah Iraq lebih baik selepas Saddam Hussein?