Monday, February 28, 2011

Mengaji pun sudah tak pakai songkok!

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Nafsu itu benar-benar suka menyuruh yang buruk, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku." (Yusuf 12:53)
***

ZAMAN sudah berubah; awak saja tak berubah, beritahu seorang sahabat yang melihat ketidak-cenderungan saya terhadap telefon mudah alih yang semakin sofistikated sekarang ini.

Memang betul, setakat membuat dan menjawab panggilan serta menerima dan menghantar SMS ringkas tahulah saya, tetapi lebih daripada itu saya jahil.

Budak-budak sekarang ‘cukup kedepan’ - komputer, telefon mudah alih dan apa saja peralatan elektronik cepat dan cekap saja mereka menggunakannya. Yalah, bukan susah sangat kerana cuma ada dua akhiran saja – sama ada mereka dapat memaksimumkan pengunaan peralatan tersebut atau akhirnya ia tercampak di bawah meja atau setor (rosak)!

Zaman sudah berubah; Sayidina Ali k.w. mengingatkan bahawa kita perlu mendidik anak-anak untuk zaman mereka, bukan zaman kita. Maknanya kita perlu ke depan dalam pendidikan anak-anak.

Baru-baru ini saya ‘tertengok’ rancangan kanak-kanak ‘Adik-Adikku dan al-Quran’ yang disiarkan di kaca televisyen. Tercengang saya dibuatnya kerana dalam rancangan itu ustaz penggendali rancangan dan pengajar berpakaian santai, tanpa songkok atau kopiah apatah lagi serban di kepala.

Budak-budak lelaki yang diajarnya berpakaian santai juga, tanpa songkok apatah lagi berbaju Melayu atau berjubah. Nasib baiklah kanak-kanak perempuan tetap memakai tudung, kalau tak…

Secara kebetulan pada suatu malam ketika saya menghadiri kelas pengajian di masjid, ustaz berkenaan memberi ulasan mengenai penceramah agama termasuklah ustaz yang mengajar membaca al-Quran tidak lagi memakai songkok, kopiah atau serban.

Katanya, memang betul memakai serban adalah sunat tetapi syiar Islam perlu dihidupkan dalam majlis-majlis keagamaan. “Kalau mengajar mengaji pun tak pakai songkok, kopiah atau serban, apakah kita ada kekuatan untuk memakainya pada majlis yang condong kepada hal ehwal keduniaan?” tanyanya.

Demikian juga budak-budak yang diajar mengaji, bukankah elok jika mereka berpakaian Melayu lengkap termasuk songkok, atau pun bagi mereka yang memakai jubah dipadankan pula dengan kopiah atau serban. Bukankah mengenakan pakaian seperti ini mempamerkan syiar agama itu sendiri yang sudah dilakukan masyarakat kita sejak sekian lama?

Seorang sahabat saya berkata senario yang dipertontonkan itu boleh menyukarkan ibu bapa mendidik anak-anak. “Biasanya anak-anak berpakaian lengkap termasuk bersongkok atau berkopiah ketika pergi mengaji; tetapi disebabkan terpengaruh dengan watak kanak-kanak di kaca televisyen, apa hendak kita kata jika anak-anak enggan bersongkok atau berkopiah ketika mengaji sebaliknya mahu berbaju-T dan berjeans. Tentu susah kita mahu berhujah,” kata bapa itu.

Memang betul seseorang itu boleh berhujah ketika mengaji tidak diperlukan bersongkok, berkopiah atau lengkap berbaju Melayu atau berjubah, tetapi faktor memuliakan sesuatu majlis dan keadaan itu perlu difikir-fikirkan, kata sahabat itu.

“Misalnya kalau bersolat, bagi Muslimin auratnya adalah antara pusat dengan lutut saja. Jadi jika seseorang itu mahu solat dengan memakai kain pelikat di atas pusat dengan belengin saja pun boleh, tetapi wajarkah kita berbuat begitu ketika menghadap Allah Tuhan Pencipta kita?

“Demikian juga ketika mengaji; pakailah betul-betul,” kata sahabat saya itu. “Tak salah apa-apa dan tidak habis duit pun jika terus pakai songkok, serban atau kopiah,” kata sahabat itu.

Berhubung pendidikan anak-anak, saya ada menerima e-mel ini daripada seorang guru.

Assalamualaikum w.b.t.

Saya nak berkongsi pandangan tentang isu yang saudara kemukakan sebelum ini. Tidak dinafikan kos pendidikan anak-anak memang tinggi pada masa sekarang selari dengan peningkatan harga barang-barang harian.

Bagaimanapun ibu bapa seharusnya tidak perlu berkira dalam hal pendidikan anak-anak kerana ia adalah tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Pada pandangan saya ibu bapa di Malaysia masih dianggap bertuah kerana kerajaan memang memberi peluang yang luas kepada rakyat untuk menerima pendidikan.

Terpulang kepada ibu bapa untuk memilih bentuk pendidikan yang mereka inginkan untuk anak-anak sesuai dengan kemampuan mereka. Saya faham ada ibu bapa yang berpendapatan rendah terpaksa berhempas pulas untuk menanggung perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Bagaimanapun yang saya sedih ada golongan pelajar yang berada di bangku sekolah ini tidak menghargai pengorbanan dan susah payah ibu bapa menanggung perbelanjaan persekolahan mereka.

Golongan ini tidak bersungguh-sungguh belajar. Datang sekolah seperti pergi ‘honeymoon’ (berbulan madu) sahaja. Saya selalu mengingatkan anak-anak murid tentang susah payah ibu bapa menanggung perbelanjaan persekolahan mereka memandangkan majoriti ibu bapa mereka adalah golongan berpendapatan sederhana-rendah.

Dalam hal ini ibu bapa juga perlu memainkan peranan iaitu mengambil berat pelajaran anak-anak bukan sekadar menyediakan keperluan persekolahan sahaja kerana berdasarkan pengamatan saya, pelajar yang cuai dan malas belajar adalah pelajar yang ibu bapa tidak mengambil tahu pencapaian mereka di sekolah.

Adalah malang dan satu pengorbanan yang sia-sia sekiranya anak yang dihantar ke sekolah dengan perbelanjaan yang banyak apabila masuk ke tingkatan satu atau tamat persekolahan tingatan lima masih belum mampu membaca dengan baik. – CIKGU JAH

No comments: