***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hanya sedikit di kalangan hamba-hamba-Ku yang bersyukur." (Saba': 13)
***
TERKEJUT besar saya ketika di kaunter tiket bas ekspres Transnasional di Stesen Bas Sementara Bukit Jalil pada malam 27 Januari lalu apabila si gadis manis kaunter memberitahu tambang bas dikenakan surcaj sebanyak 10 peratus sempena musim perayaan Tahun Baru Cina menyebabkan tambang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka meningkat kepada RM13.70 daripada RM12.40 sebelum itu (termasuk 10 sen bagi Skim Lindungan Mesra Selalu).
Katanya, bas biasa (ikut jadual, jam 9.00 sudah penuh) jadi yang ada bas tambahan jam 9.05, jadi saya kena bayar tambang dengan bayaran surcaj itu. Begitulah pada setiap kali musim perayaan akhir-akhir ini perkidmatan bas Transnasional menggunakan kaedah ini bagi mendapatkan perolehan tambahan.
Saya tidak kesal malah bersyukur jika perkhidmatan bas yang disediakan itu benar-benar bas tambahan tetapi ternyata tidak. Bas yang dikatakan bertolak jam 9.05 malam itu adalah bas yang dijadualkan bertolak jam 9.00 malam. Pengumuman dari kaunter tiket mengesahkan perkara ini. Ia berbunyi: “Pemegang tiket ke Melaka jam 9.00 malam dan 9.05 malam sila naik bas di Petak 1.” Hanya ada satu bas saja di situ, tiada bas tambahan.
Begitulah seterusnya, siapa yang mahu bertolak jam 10.00 pagi diberi tiket 10.05 pagi; 12.00 tengah hari diberi tiket 12.05 tengah hari sedangkan pada hari bukan kemuncak bas tambahan tidak ada. Pendeknya tiada bas tambahan, malah bas yang saya naiki pada malam itu masih banyak tempat kosong.
Bagi penumpang yang teringin benar pulang pada musim perayaan ini, mereka mungkin tidak terasa untuk membayar lebih sikit (mereka mungkin menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi dan seminggu kemudian balik ke destinasi masing-masing), tetapi bagaimana orang yang dalam masa sehari menggunakan perkhidmatan bas ini beberapa kali. Pagi ketika pergi kerja saya kena bayar tambahan RM1.30, kemudian malam bayar lagi RM1.30; jadi jumlahnya RM2.60 sehari. Jadi dalam tempoh 10 hari, peningkatan kos adalah sebanyak RM26.60, satu jumlah yang membebankan rakyat kebanyakan.
Itu bagi perjalanan dekat, bagaimana pula dengan perjalanan jauh. Jika dikenakan surcaj 10 peratus bagi tiket berharga RM40, kenaikannya adalah RM4. Saya difahamkan Transnasional melakukan 1,000 perjalanan sehari meliputi 250 laluan dengan jumlah bas sebanyak 1,500 buah; jika semua laluan ini membabitkan kaedah begitu berapa banyak pulangan diterimanya.
Bagi mengesahkan situasi kurang menggembirakan ini, saya menghubungi pejabat Transnasional di Wisma Wahida, Chow Kit, Kuala Lumpur. Seorang petugas aduan mengesahkan bahawa Transnasional mengenakan surcaj bagi bas tambahan sepanjang musim Tahun Baru Cina.
Namun apabila ditanya pada hari kurang sesak Tansnasional juga mengenakan surcaj sedangkan ia tidak menggunakan bas tambahan, petugas itu cuba mengelak dan berkata saya perlu bercakap kepada pegawai bertanggungjawab. Selepas menunggu agak lama, bunyi talian tamat, perkhidmatannya dimatikan.
Kemudian saya menghubungi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Seorang pegawai (tidak payahlah saya sebut namanya di sini), menjelaskan memang benar pihaknya membenarkan syarikat bas ekspres mengenakan surcaj sepanjang musim cuti Tahun Baru Cina iaitu tempoh antara 27 Januari sehingga 10 Februari 2011. Namun surcaj hanya dibenarkan pada bas tambahan.
Apabila diberitahu Transnasional mengenakan surcaj terhadap bas bukan tambahan (misalnya menyatakan pada tiket bas itu bertolak jam 9.05 malam sedangkan jadual bas asal 9.00 malam dan hakikatnya bas tambahan tiada), petugas itu berkata dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“Saya akan semak perkara ini. Namun susah juga kerana bas Transnasional terlalu banyak. Laluannya pun banyak, malah syarikat ini pun sudah disenaraikan di Bursa Malaysia. Awak naik bas itu dari stesen mana?” tanyanya.
Terfikir pula saya, apa kena mengena Transnasional sudah tersenarai di Bursa Malaysia dengan harga tiket yang dinaikkan pada musim perayaan atas nama surcaj. Agak saya penumpang tidak pernah berfikir perkara itu; Transnasional hendak tersenarai atau tidak itu urusan mereka, yang penumpang mahu biarlah tambang bas sama dengan syarikat bas lain.
Saya pun bertanya kepada seorang petugas syarikat bas lain sama ada tambang mereka naik semasa musim perayaan ini. “Tidak sama sekali, malah kami akan bagi diskaun kepada penumpang veteran,” katanya.
1 comment:
jika ada resit dan iketnya lagi saya cadangkan adukan ke tribunal pengguna
Post a Comment