Saturday, February 19, 2011

Kempen rumah ke rumah amat penting di Merlimau

***
In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection
"We did not create heaven and earth and everything in between them as a game. If We had desired to have some amusement, We would have derived it from Our Presense, but We do not do that." (Qur'an, 21:16-17)
***

DISEBABKAN padang permainan pilihan raya tidak adil, hanya ada satu cara bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat (PAS) pada pilihan raya kecil Dun Merlimau, Melaka yang bakal diadakan pada 6 Mac depan, dakwa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution.

Bercakap dalam ceramah umum sulung Pakatan Rakyat pada malam 12 Februari lalu di Maahad Tahfiz Solihin di Permatang Pasir dekat pekan Merlimau menjelang penamaan calon (26 Februari), Saifuddin mengambil contoh kejayaan beliau dalam pilihan raya kecil Lunas pada 2000 melalui pendekatan tersebut yang dijalankan secara terancang dan dilaksanakan sepenuh hati.

“Pada pilihan raya umum sebelumnya (1999), kita kalah dengan majoriti lebih 6,000 tetapi pada pilihan raya kecil itu (tahun 2000) saya pula menang dengan majoriti lebih 200 undi. Ini bermakna kita boleh memadamkan sokongan 6,000 pengundi kepada BN; bagaimana kita lakukannya? Saya percaya jentera kita yang bergerak secara efisyen dari rumah ke rumah berjaya mendapatkan sokongan bagi kejayaan itu.

“Jadi saya percaya inilah cara untuk kita menang di Merlimau. Pasti kita tidak terlepas daripada mengunjungi walau sebuah rumah pengundi pun,” katanya dalam ceramah yang turut membabitkan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; dan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelatan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saifuddin antara lain menyenaraikan ketidak-adilan proses pilihan raya seperti penetapan hari mengundi (hari mingguan bagi kawasan yang berpotensi dimenangi BN tetapi hari bekerja bagi kawasan di mana pembangkang kuat), pelambakan projek segera, penyalah-gunaan jentera kerajaan (di Merlimau, Politeknik Merlimau sudah jadi macam markas BN), penguasaan terhadap media massa, dan pemberian hadiah dan wang, menyebabkan pengundi menjadi gelap mata.

“Itulah sebabnya kita perlu berjumpa setiap pengundi, menyakinkan dia untuk mengundi kita,” katanya. Menurut beliau tidak kiralah mereka ahli atau penyokong Umno-BN, biarlah mereka begitu tetapi apa yang amat mustahak mereka mengundi (memangkah) calon PAS (Pakatan).

Benar, penulis yang mengikuti majlis ceramah berkenaan yang dihadiri lebih 3,000 orang itu mengakui poin (point) yang dikemukakan oleh Saifuddin. Memang hadirin ramai pada majlis itu (dan juga pada kebanyakan majlis ceramah Pakatan Rakyat) tetapi hal itu tidak boleh diterjemahkan sebagai sokongan padu pengundi kepada calon Pakatan Rakyat. Ini kerana kebanyakan mereka yang hadir itu penulis kesan bukanlah orang tempatan tetapi orang luar yang sanggup datang dari jauh.

Orang luarlah yang memeriahkan setiap ceramah umum Pakatan Rakyat. Peminat sanggup datang dari jauh bagi mendengar ucapan pemimpin dihormati dan diminati mereka seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Anwar Ibrahim tetapi apakah majlis ceramah ini boleh mendatangkan impak yang kuat kepada pengundi?

Berdasarkan pengalaman penulis singgah di masjid sebelum ke majlis ceramah, didapati penduduk tempatan tidak ghairah malah ada yang mencemuh majlis-majlis ini yang kononnya menimbulkan pelbagai masalah di tempat mereka seperti kesesakan dan bunyi bising. Ini bermaksud kebanyakan orang tempatan tidak tergerak hati mereka, jadi benarlah kata Saifuddin pengundi mesti ditemui seorang demi seorang; jangan seorang pun ‘dibiarkan terlepas’!

Merujuk kepada pengundi Dun Merlimau, Saifuddin berkata, petugas dari rumah ke rumah mesti memasuki kubu kuat Umno-BN seperti di Permatang Serai. Umno memang kuat di kawasan ini, tetapi kalau PAS (Pakatan) bermatlamat menang, mahu tidak mahu penduduk zon ini perlu disantuni. Satu majlis ceramah besar membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu diadakan di Permatang Serai pada 15 Februari dan selepas itu petugas PAS (Pakatan) perlu mendekati seterusnya menyantuni penduduknya.

Dun Merlimau yang mempunyai lebih sedikit daripada 10,500 pengundi, kira-kira 65 peratus daripadanya Melayu; 21 peratus Cina; 14 peratus India dan bakinya bangsa-bangsa lain, tidaklah luas sangat dengan kebanyakan penduduknya tidak terlalu aktif pergerakan mereka (seperti pekedai, petani, pekerja estet dan kakitangan kerajaan dan swasta) membolehkan petugas menemui mereka dengan selesa bagi menerangkan kepentingan mengundi calon Pakatan.

Pengundi boleh diterangkan bahawa memenangkan calon PAS (Pakatan) sebenarnya tidak membawa perubahan status quo kerajaan Negeri Melaka, hakikatnya mereka akan mendapat lebih banyak lambakan projek jika kawasan ditawan pembangkang. Ini kerana bagi memenangi kawasan itu pada pilihan raya berikutnya, pihak berkenaan akan bekerja lebih keras, sekali gus membawa faedah kepada penduduk.

Lagi pun terlalu sangat kurang risikonya untuk membuat ujian dengan memberi hadiah anak sulung kepada PAS kerana tempoh khidmat wakil rakyat Dun Merlimau ini terlalu singkat, kurang dua tahun sebelum pilihan raya umum ke-13. Malahan tempohnya hanya beberapa bulan saja jika pilihan raya umum mahu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan pertengahan tahun ini. Jadi, kepada pengundi Dun Merlimau, inilah masa terbaik membuat UJIAN!

No comments: