Friday, February 25, 2011

Pilihan raya: Habuan ambil, siapa diundi rahsia…

Posted on 25th FEB 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Amalan yang boleh masuk syurga

At-Thabrani meriwayatkan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku amal yang jika kulakukan dapat aku masuk syurga." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan kau sekutukan Allah dengan sesuatu meskipun kau diseksa atau dibakar. Taatilah kedua-dua ibu bapamu meskipun mereka tidak memberimu harta dan semua milikmu. Dan jangan tinggalkan solat wajib dengan sengaja. Siapa yang sengaja meninggalkan solat, maka Allah berlepas tangan daripadanya."
***

KETUA Angkatan Muda KEADILAN merangkap Pengerusi Perhubungan KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempunyai cerita menarik bagaimana bijaknya seorang pengundi di Sibu pada pilihan raya kecil Parlimen di kawasan itu tidak lama dulu.

Kisah ini beliau dedahkan pada majlis ceramah umum Pakatan di Merlimau baru-baru ini yang turut membabitkan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution dan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Shamsul, di Sibu dia dengan rakan-rakan telah pergi berkempen ke rumah seorang penduduk yang kediamannya dilitupi bendera BN. Terlalu banyak, sehingga boleh dikatakan rumahnya diselimuti bendera BN.

Menurut Shamsul dia dan rakan-rakan pun berkempen bagai nak rak, menerangkan mengapa pengundi berkenaan perlu membuat perubahan, jangan memberi undi secara membabi buta kepada BN.

Selepas penat memberi penerangan mereka pun bertanya pemilik rumah tadi siapa yang akan diundinya pada pilihan raya nanti. Jawapannya ringkas: “Undi adalah rahsia, tetapi untuk maklumat kamu semua setiap bendera dipasang ini saya diberi RM50!”

Demikianlah cuba bayangkan kalau 100 bendera dipasang, bukankah dengan mudah si pemilik rumah tadi sudah dapat RM5,000! Wah, bukan main pandailah pemilik rumah itu.

Demikianlah, baik Shamsul dan Saifuddin mengingatkan adalah penting untuk mendapatkan pengundi seramai mungkin memangkah calon Pakatan Rakyat (di Merlimau, calonnya adalah daripada PAS) tidak kiralah sama ada mereka itu penyokong atau ahli Umno dan sekutunya seperti MCA dan MIC. “Yang penting undi mereka diberikan kepada calon Pakatan; soal sokongan atau ahli parti, itu soal masing-masing.”

Saifuddin berkata perkara itu sudah dibuktikan ketika beliau menghadapi pilihan raya kecil Lunas pada 2000. Katanya, pada pilihan raya umum 1999, calon KEADILAN kalah di tangan calon BN dengan majoriti lebih 6,000 undi tetapi pada pilihan raya kecil 2000, dia (Saifuddin) dapat menarik sokongan kira-kira 6,000 pengundi tadi seterusnya memberi beliau kemenangan dengan majoriti lebih 200 undi.
Berdasarkan contoh di Lunas, Saifuddin berkata, perkara yang sama boleh dilakukan di tempat lain termasuk Merlimau. Beliau berpendapat dengan senario pilihan raya dijalankan di padang yang tidak sama rata (seperti penggunaan jentera kerajaan, lambakan projek dan penguasaan media oleh BN), Pakatan perlu menggunakan pendekatan memujuk pengundi dari rumah ke rumah.

“Pastikan tidak ada seorang pengundi pun tercicir daripada didekati oleh petugas kita,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, penduduk di Merlimau sedang menikmati limpahan projek kilat yang biasanya dianggap tidak ada kena mengena dengan pilihan raya oleh pemimpin tinggi Umno BN. Misalnya Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah menjanjikan sebuah SRJK (Tamil) yang lebih selesa manakala Ketua Menteri Mohd Ali Rustam sudah mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membaiki rumah-rumah orang miskin. Demikianlah betapa baiknya pemimpin BN yang melihat kebajikan ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya, ringkasnya projek-projek mereka bukan untuk memancing undi.

Sebenarnya cakap-cakap pemimpin Umno BN bahawa peruntukan dan projek untuk rakyat tidak ada kena mengena dengan pilihan raya (jika mereka benar-benar ikhlas) adalah bertepatan satu ayat al-Quran (Surah Al-Insan ayat 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk menghadapkan keredaaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

Ya, wahai pemimpin Umno BN, taburlah wang, taburlah makanan, banyakkan projek dan lakukanlah pelbagai kerja-kerja kebajikan, tetapi sejajar dengan perintah Allah SWT melalui ayat 9 Surah Al-Insan ini, janganlah harapkan apa-apa daripada perbuatan baik kamu itu.

Jika ucapan terima kasih pun tidak diharapkan, janganlah kamu mahu memaksa rakyat mengundi calon kamu. Itu sudah melampau sebab perbuatan baik jangan diharapkan secebis balasan pun hatta terima kasih sekali pun.

Berhubung ayat 9 Surah Al-Insan ini, ada ulama membawakan kisah betapa ikhlasnya Sayidina Ali k.w. dalam memberi bantuan kepada orang miskin. Suatu hari Ali dan isterinya Fatimah iaitu puteri Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai sedikit pun makanan di rumah mereka.

Ali yang ke luar rumah selepas lama berusaha mendapat sedikit makanan tetapi ketika balik, dia telah menyedekahkan semua makanan itu kepada sejumlah peminta sehingga dia tidak membawa balik apa-apa pun kepada Fatimah. Namun kedua pasangan suami isteri itu masih bersyukur, mereka tidak meminta balasan di atas kebaikan mereka hatta terima kasih sekali pun. Mereka hanya menghadapkan keredaaan Allah SWT.

Oleh itu benarlah apabila ada pemimpin Umno BN kerap berkata sesuatu projek atau pemberian itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Mereka ikhlas untuk membantu rakyat, jadi jangan harapkan ada-apa daripada rakyat lebih-lebih lagi undi mereka.

Ingat, selepas bantuan diberi, jangan berharap apa-apa langsung – jangan paksa rakyat mengundi calon anda. Contohilah Sayidina Ali k.w. yang tidak mengharapkan apa-apa pun daripada orang dibantunya hatta ucapan terima kasih. Dia hanya mengharapkan keredaan Allah; begitulah diharapkan kepada pemimpin Umno BN, semoga anda dapat mencontohi Ali k.w.!

No comments: