Posted on 24th FEB 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Apabila berasa was-was - untuk melawan hasutan syaitan, hendaklah anda sentiasa mengingati Allah Taala sebagaimana difirmankan oleh Allah bermaksud: "Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." (Al-A'raaf 200,201)
***
APABILA bulan Januari merangkak pergi, saya fikir sudah amanlah kedudukan kewangan saya, maklumlah anak-anak sudah selesa belajar di sekolah masing-masing. Rupa-rupanya tidak; lebih daripada separuh gaji akhir Januari terpaksa dikorbankan untuk membereskan bayaran yuran anak-anak di sekolah berasrama penuh.
Sebelum ini hampir separuh gaji akhir Disember tahun lalu telah digunakan untuk membiayai pembelian kelengkapan persekolahan anak-anak seperti buku, beg, pakaian dan juga pelbagai yuran.
Ertinya sudah dua bulan, ibu bapa yang mempunyai anak-anak di bangku sekolah terpaksa menyisihan sebahagian besar daripada wang perolehan mereka seperti gaji bagi menampung kos pendidikan. Jadi kebanyakan ibu bapa kini sudah ‘kering kontang’, kasihan mereka!
Ketika cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, anak-anak yang belajar di sekolah berasrama penuh pulang bersama-sama senarai yuran yang perlu dibereskan ibu bapa. Melihat senarai bayaran, ada ibu bapa mungkin terasa hendak pitam.
Untuk bayaran makanan saja ibu bapa yang berpendapatan RM5,000 dan lebih sebulan perlu membayar RM750. Jumlah hari persekolahan adalah 250 hari didharabkan dengan RM3 sehari, jadilah RM750. Bagi ibu bapa yang berpendapatan kurang RM5,000, bayarannya adalah sebanyak RM250 (250 hari dharab dengan RM1 sehari).
Dicampur dengan pelbagai yuran lain seperti asrama, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), aktiviti dan sebagainya, jumlah wang dibelanjakan untuk seorang anak di sekolah berasrama penuh boleh mencapai RM1,500. Itu baru seorang, kalau ada tiga orang anak di sekolah berkenaan, tidakkah mahu pitam seseorang bapa dibuatnya!
Selain kos persekolahan anak-anak di sekolah berasrama penuh, mereka yang belajar di sekolah rendah belanjanya pun mahal. Bagi seorang anak yang memulakan pengajian pada tahun baru, kos seorang boleh mencecah sehingga RM500. Pada sesi baru tahun ini, tambang bas sekolah seorang anak saya sudah naik – daripada RM35 sebulan ke RM50.
Bagi keluarga berpendapatan sederhana seperti saya, 50 peratus daripada pendapatan disalurkan kepada keperluan pendidikan anak-anak. Bakinya adalah bagi menampung keperluan makanan, pelbagai bil, bayaran rumah dan kenderaan, kos pengangkutan serta sumbangan kepada ibu bapa. Habis bulan habislah wang, tetapi ada yang malang; baru separuh bulan duit sudah habis.
Saya katakan 50 peratus gaji adalah untuk keperluan pendidikan kerana anak-anak yang memasuki pusat pengajian tinggi memerlukan kos lebih besar. Seorang wanita yang anaknya berada di universiti tempatan memberitahu saya dia mengirimkan RM500 sebulan kepada seorang anak bagi menampung kos makanan dan belanja rencam seperti tambang pengangkutan awam.
Kalau seseorang itu ada tiga anak di universiti, jumlahnya sudah memasuki angka ribuan. Itu baru belanja makanan, bagaimana yuran pengajian dan pelbagai yuran lain yang perlu dibereskan pada awal semester? Memang benar pelajar diberi pinjaman tetapi biasanya jumlah itu tidak memadai.
Demikianlah betapa besar perbelanjaan bagi menghantar anak-anak ke sekolah atau pusat pengajian tinggi. Mereka yang berpendapatan sederhana seperti saya bolehlah tahan, tetapi bagaimana golongan miskin?
Pernah saya membaca laporan bahawa di negara kita ini 80 peratus daripada pendapatan golongan berpendapatan rendah digunakan untuk membeli makanan. Katakan gaji seorang pekerja bertarap rendah RM1,000 sebulan; ini bermakna RM800 daripadanya digunakan untuk membeli makanan, bakinya tinggal RM200 saja. Apakah dengan wang RM200 ini boleh membayar sewa rumah dan menyelesaikan pelbagai bil? Bagaimana mereka mahu membiayai persekolahan anak-anak?
Bingung saya memikirkan bagaimana golongan ini dapat menghadapi hidup. Kasihan mereka, dengan kenaikan harga barangan keperluan, kehidupan golongan ini sebenarnya adalah terlalu sukar. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sebenarnya golongan miskin ini tidak jauh daripada kehidupan kita, cuma kita gagal menjenguk apatah lagi menyelami penderitaan mereka. Sekalipun miskin, mereka ada harga diri sebab itu mereka tidak meminta-minta. Jadi bukalah mata hati untuk mengenali mereka yang jika mereka berbelanja timbul rasa belas di hati kita.
Orang miskin ini bukan membeli beras sekampit 10 kilogram seperti kita lakukan tetapi sekilogram setiap kali ke kedai. Mereka bukan membeli sekotak atau sedozen ubat nyamuk seperti yang kita lakukan tetapi dua lingkaran sekali beli. Mereka bukan membeli minyak masak tiga kilogram sebotol plastik seperti yang biasa kita lakukan, tetapi sepaket kecil yang berharga seringgit dua. Mereka bukan membeli ikan besar yang segar sebaliknya ikan kecil-kecil seperti kembung dan cencaru yang sudah pecah perut kerana harganya murah bagi menampung kehendak anak yang ramai. Bukalah mata luas-luas di kawasan pedalaman nun jauh di sudut desa, akan terlihatlah adegan menyedihkan ini.
Jika kita mengeluh apabila terpaksa mengeluarkan lebih RM1,000 bagi membiayai seorang anak di sekolah berasrama penuh, bagaimana agaknya golongan ini mahu mencari wang ratusan ringgit (yuran makan anak-anak golongan miskin RM1 sehari) bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang sama?
Tentunya mereka perlu melakukan pengorbanan amat besar seperti seorang bapa melakukan dua tiga pekerjaan; misalnya pada pagi hari menjual nasi lemak, sebelah petang menjala ikan di sungai dan pada sebelah malam menjadi jaga pula.
Saya tidak mengada-adakan cerita tetapi itulah hakikatnya, malah berpengalaman melaluinya. Dulu semasa mahu menyekolahkan lapan anak-anaknya, bapa saya melakukan aneka pekerjaan; waktu kerja biasa sebagai tukang kebun sekolah, menyiapkan nasi lemak dan kuih jualan di kantin sekolah, petangnya menjual barangan kampung dan pada hujung minggu memotong rumput dan membersihkan halaman rumah orang. Dengan pendapatan daripada aneka kerja itu, dapatlah saya dan adik beradik bersekolah sehingga semuanya menjejakkan kaki ke IPT. Jadi benarlah kos pendidikan adalah amat tinggi dan ibu bapa perlu berkorban untuk melihat kejayaan anak-anak!
***********************
Ikut Islam sepenuhnya
***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Allah SWT menjadikan dunia sebagai tempat permainan, gurau senda, penipuan, kesombongan, dan bermegah-megahan. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Luqman 31:33 yang bermaksud: "Janganlah kamu mahu ditipu oleh kehidupan dunia."
***
Syukur ke hadrat Illahi, kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita menyambut dan memperingati ulang tahun keputeraan Nabi besar kita Muhammad s.a.w. pada Selasa, 12 Rabiulawal 1432 Hijrah bersamaan 15 Februari 2011.
Sudah menjadi lumrah di negara kita, pada sambutan Maulud Nabi, pemimpin kerap mengingatkan umat Islam, jadikan Nabi Muhammad s.a.w. suri teladan, ikutilah Islam sepenuhnya tetapi persoalannya adakah orang menasihati itu benar-benar memberi teladan baik atau cakap mereka bagi menyedapkan hati, mulut dan suasana saja?
Sukacita kita mengingati diri sendiri dan juga seluruh umat Islam untuk benar-benar menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. suri teladan kehidupan. Untuk itu, kita berharapkan umat Islam mengambil dan mengamalkan seluruh ajaran Islam bukan separuh-separuh seperti yang kerap berlaku mutakhir ini.
Berhubung mengambil sebahagian ajaran Allah dan meninggalkan sebahagian lain, Allah SWT telah memberi amaran kepada bani Israil melalui ayat 85 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “…Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.”
Dalam Surah Al-Baqarah ini ada dua ayat berdekatan (ayat 178 dan ayat 183) yang meminta orang beriman supaya berhukum dengan hukum Allah (qisas) dan berpuasa, tetapi dalam masyarakat dan negara, kita hanya menekankan bab puasa tetapi gagal berhukum dengan hukum Allah; jadi marilah kita bersama-sama bermuhasabah, menyesali diri serta bertaubat kepada Allah kerana gagal melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita.
Orang yang mengaku beriman sewajar tiada halangan bagi melaksanakan semua perintah Allah SWT termasuklah menjalankan hukum hudud dan mencegah kemungkaran. Enggan melaksanakan sebarang perintah Allah adalah jelas menyalahi pengakuan syahadah bahawa kita akan menyerah dan mentaati segala perintah Allah SWT.
Jika pemimpin menyuruh meneladani Nabi Muhammad; apatah politik kita menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya? Kita bimbang kerana ‘politik suku agama suku’ (memisahkan agama dan politik) yang menjadi pegangan sebahagian daripada kita ternyata tersasar daripada apa yang ditunjukkan Nabi kita. Sirah menunjukkan bahawa Nabi cemerlang dalam semua bidang kehidupan sebagai ketua keluarga, imam di masjid, pentadbir seterusnya politikus, negarawan dan pemerintah sebuah empayar besar.
Nabi s.a.w. telah menunjukkan kaedah berpolitik, jadi bagaimana kita tergamak menyatakan politik dan agama terpisah? Dibimbangi kita sudah jauh terpesong, jadi sempena mengingati hari keputeraan baginda, marilah kita sama-sama kembali ke pangkal jalan, menghidupkan sunnah baginda dalam semua bidang kehidupan.
Sewajarnya, penghijrahan untuk meneladani kehidupan Rasul bermula daripada diri sendiri, keluarga kita, masyarakat seterusnya negeri dan negara. Koreksi diri sama ada kita mengikut jejak dan suruhan Rasul atau kita menyeleweng daripadanya.
Misalnya dari segi mematuhi perintah Allah dalam bab berpakaian, adakah kita mengikut kehendak Rasul? Bagi Muslimat adakah kita sudah mengenakan pakaian selayaknya termasuk bertudung labuh bagi menutup perhiasan kita?
Kemudian dalam kehidupan berkeluarga, adakah kita sudah pastikan semua ahli keluarga kita mengikut syariat agama sepenuhnya? Bagaimana sumber pendapatan kita, pendidikan dan akhlak anak-anak; ibadat kita, adakah semuanya menjurus kepada mengikut kehendak Rasul atau kita bernafsu-nafsi?
Kemudian dalam kehidupan bermasyarakat, bernegeri dan bernegara, adakah kita ikut Islam sepenuhnya atau kita ambil apa yang kita fikir baik dan meninggalkan apa yang kita fikir tidak baik? Nauzubillah, janganlah kita termasuk golongan diberi amaran Allah SWT seperti bani Israil kerana mengambil agama separuh-paruh!
No comments:
Post a Comment