***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kami telah menjadikan segala sesuatu yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami ingin menguji siapakah orang yang paling baik amalnya." (al-Kahf 18:7)
***
SAYA tanya seorang ustaz, apa makna perkataan ‘taqarrub’. Katanya, mendekat atau menghampirkan dan dalam konteks agama mendekatkan diri pada Allah. Di Melaka pada bulan Ramadan ada program taqarrub Ramadan di masjid dan surau seluruh negeri. Dulunya program ini dinamakan Sivik Ramadan.
Pada kesempatan ini, penceramah undangan (tentunya yang diluluskan Jabatan Agama Islam negeri) akan memberi panduan, menyuntik semangat keagamaan dan sebagainya. Pada majlis ini juga, Pengerusi JKKK dan pemimpin kampung turut mengambil kesempatan menyampaikan amanat. Dalam program taqarrub ini beberapa penceramah akan bertugas dari sebuah masjid ke masjid lain sehinggalah berakhir bulan Ramadan.
Usaha mendekatkan (taqarrub) ummah kepada masjid dan ibadat bulan Ramadan adalah usaha terpuji tetapi ada satu lagi program taqarrub yang dilakukan pemimpin Umno Melaka sejak sekian lama yang jelas tidak menepati ciri-ciri kemuliaan dalam Islam. Pada program taqarrub ini, pihak berkenaan akan mengadakan majlis spontan di sebelah program pihak lawan yang telah lama dirancang. Tujuannya adalah bagi mengganggu majlis di sebelah.
Taktik ini dipercayai akan digunakan di Dun Merlimau menjelang pilihan raya kecil 6 Mac depan berdasarkan apa yang berlaku di Tenang di mana ada aktivis melaporkan majlis mereka diganggu oleh pihak lawan yang mengadakan majlis kilat di sebelah. Mereka sengaja menghalakan corong pembesar suara dan membuat bising bagi menggagalkan majlis berkenaan. Pemimpin mereka kemudian bercakap merapu-rapu termasuk menjawab ‘secara langsung’ apa yang dilontarkan oleh penceramah pada majlis sebelah.
Pemimpin PAS tentu berpengalaman melalui program taqarrub di Melaka ini. Tahun lalu ketika kemuncak perlawanan bola sepak Piala Dunia, pihak berkaitan memasang skrin besar yang menyiarkan perlawanan semata-mata bagi mengganggu majlis ceramah di sebelah yang turut membabitkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Malah suatu masa dulu, ketika Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berceramah, pemimpin nombor satu negeri membuat bising termasuk berkokok pada majlisnya yang diadakan di premis bersebelahan. Ada kaset dan CD dikeluarkan mengenai majlis ini.
Penulis sudah beberapa kali menghadiri majlis di mana ceramah pemimpin PAS diganggu oleh pemimpin Umno yang mengadakan majlis di premis sebelah. Pada salah satu majlis itu, Umno negeri menugaskan sekurang-kurangnya lima orang - daripada pemimpin negeri, majlis agama negeri, jabatan hal ehwal khas, ustaz dan ahli politik tempatan untuk menenggelamkan suara dua penceramah PAS dari luar.
Tuduhan seperti penyeleweng akidah, anak cucu Dajal, pembohong, siang dia tidur malam dia keluar berceramah untuk membohongi rakyat, bangsat, dia peluk kafir, ini kafir sebenar, dialah kafir, penyangak, penyamun wang..., kau ulama dalam semak, tuhan kau ialah..., 'mencemari' keheningan malam itu.
Penulis bimbang taktik begini akan berleluasa pada pilihan raya kecil N27 Merlimau di mana lebih 10,500 pengundi akan membuat pilihan – mengundi calon Umno-BN atau PAS-Pakatan Rakyat. Kira-kira 65 peratus pengundi adalah Melayu, 21 peratus Cina, 14 peratus India dan bakinya daripada kaum lain. Penamaan calon adalah pada 26 Februari dan jika ada pertandingan pilihan raya pada 6 Mac.
Dun Merlimau dalam Parlimen Jasin mempunyai tujuh daerah mengundi - Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Ladang Merlimau, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak. Antara ‘landmark’ baru di sini adalah Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Jasin tetapi pengunjung jangan lupa Rumah Penghulu Abdul Ghani/Mat Nattar yang tersergam indah tidak jauh daripada Masjid Al-Rahim yang terletak berhampiran pekan Merlimau.
Rumah Penghulu penuh bersejarah ini ‘merakamkan’ pelbagai peristiwa suka duka anak bangsa, tetapi alangkah eloknya jika dapat ‘menjadi saksi’ kelahiran anak sulung PAS Melaka di bumi bertuah ini!
No comments:
Post a Comment