Monday, February 14, 2011

Merlimau: Peluang PAS perhebat dakwah

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman! Siapa saja antara kamu yang keluar daripada agamanya, Allah akan mendatangkan satu kaum yang dicintai-Nya dan mereka pun mencintai Allah." (Al-Maidah 5:54)
***

PENULIS berpeluang menemui dan mewawancara seorang imam dalam kunjungan ke Merlimau baru-baru ini. Percakapannya syahdu, mengandungi pengharapan agar PAS dapat memperhebatkan dakwah, menunjukkan cara hidup dituntut Islam termasuk akhlak Islamiah dalam menghadapi pilihan raya kecil N27 Merlimau yang akan diadakan pada 6 Mac nanti.

Beliau percaya PAS dapat melakukannya; dakwah Islam dapat berkembang, menyegarkan minda penghuni bumi yang sudah lama gersang kerana disirami hitam pekat kebendaan. Apabila kebendaan, kedudukan dan kuasa menjadi ukuran, matlamat untuk mencapai kejayaan duniawi akan dilakukan tanpa mengira batas halal dan haram termasuklah menindas, menyakiti dan memakan harta dan hak orang lain.

Menurut beliau satu isu saja yang dipertahankan PAS dalam pilihan raya Dun Tenang tempoh hari sudah cukup untuk beliau melihat cahaya kebenaran itu. Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang tetap istikamah berpegang kepada hukum tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram atau berlapik tangan (bersarung tangan) jika terpaksa berbuat demikian, membuktikan wujud ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT pada bila-bila masa, tidak kira senang atau susah; menang atau kalah.

“Jika perkara ‘sehalus itu’ (sebenarnya persoalan aurat tersangat penting bukan remeh) seperti masalah persentuhan lelaki-perempuan diambil berat, tentulah persoalan lebih besar yang membabitkan hukum hakam dijaga sebaik-baiknya. Inilah yang kita dahagakan. Kita mahu melihat Islam didaulatkan dalam semua segi kehidupan,” katanya.

Menurut beliau sebagai imam, ada satu insiden yang begitu menyayat hatinya. Katanya: “Suatu hari dalam satu perjumpaan dengan imam-imam, ada seorang pemimpin tertinggi Umno memberitahu bahawa bersalaman lelaki-perempuan bukan mahram tidak salah tetapi membatalkan air sembahyang saja. Jelaslah pengetahuan agama pemimpin ini dangkal tetapi apa yang bahaya dia mahu orang lain mengikutinya sedangkan hal babitkan hukum bukan boleh dibuat main-main.”

Imam itu berkata, dengan adanya pilihan raya kecil Dun Merlimau, terbukalah peluang bagi PAS untuk melanjutkan kerja-kerja dakwahnya di Melaka. “Merlimau akan dikunjungi orang ramai dari seluruh negara, jadi gunakanlah kesempatan ini untuk menunjukkan cara hidup Islam. Insya-Allah, kawan dan lawan akan hormati,” katanya.

Beliau memberitahu sebagai contoh, orang PAS yang datang dari seluruh negara, makmurkanlah masjid-masjid yang ada di Merlimau. Tentunya tidak ada siapa yang boleh melarang jika orang PAS datang berbondong-bondong ke masjid untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Tentu sesiapa saja akan terpegun melihat disiplin orang PAS tetapi janganlah duduk bersembang lama-lama atau tidur dalam masjid.

Beliau bimbang kelakuan kurang elok ini akan menyebababkan orang ramai terutama penduduk tempatan meluat kepada orang PAS.

“Oleh itu jagalah tata tertib, insya-Allah apabila orang Melaka terpandang budi bahasa orang PAS lambat laun mereka akan tertarik,” katanya.

Menurut beliau pilihan raya kecil ini akan memberi peluang kepada orang PAS menyampaikan mesej perjuangan. “Kalah menang bukan soalnya, itu ketentuan Illahi. Apa yang penting lakukan tugas dakwah kita untuk menyampaikan walaupun satu ayat,” katanya.
Penulis juga sempat berborak dengan beberapa penduduk di sebuah kedai kopi. Seorang daripadanya mengingatkan agar PAS memilih calon yang benar-benar komited kepada agama. “Kami juga mahukan anak tempatan, orang Merlimau sendiri. Kalau calon orang sini, kami tahu latar belakang dan kerja-kerjanya. Dia orang masjid ke, orang bukan masjid ke, kami sudah tahu,” katanya.

Seorang lagi menyampuk: “Betul, kalau dia orang sini, kami boleh tahu dia berlakon ke atau benar-benar jujur. Ada orang berlakon baik depan orang ramai tapi kat (di) rumah pukul bini.”

Seorang lelaki lain pula berkata: “Orang Umno pun bagus letakkan orang tempatan (Merlimau) sebagai calonnya. “Ini kerana kami sudah tahu latar belakang dan perangai setiap orang daripada mereka. Saya tahu ada pemimpin ini yang pernah pukul orang masjid, ada yang banyak hutang; sebenarnya ramai yang bermasalah.

“Jadi sangat elok orang PAS dan Umno letakkan orang tempatan. Akan mudahlah orang kampung nilai siapa baik dan siapa kaki temberang sebenarnya,” katanya.

No comments: