***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Janganlah kamu berputus asa pada apa yang hilang daripada tangan kamu dan jangan berasa bangga terhadap apa yang diberikan Allah kepada kamu." (Al-Hadid 57:23)
***
Bersyukur ke hadrat Illahi, kita dipanjangkan usia bagi membicarakan isu semasa dan kali ini kita berhajat menyentuh kebangkitan rakyat di dunia Arab dan mengaitkannya dengan perkembangan dalam negara.
Penjajah Barat sudah lama meninggalkan tanah jajahan sama ada di Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Namun apakah negara-negara di dunia ketiga ini sudah merdeka dalam erti kata sebenarnya?
Kita saksikan, selain dikongkong gergasi dunia (Amerika Syarikat) dalam segala tindak tanduknya, rakyat kebanyakan negara-negara ini masih dikuasai oleh golongan feudal yang mahu berkuasa melalui parti politik bikinan masing-masing dulu, kini dan selamanya.
Lihatlah di Tunisia, Mesir, Yaman dan negara-negara Arab lain; hampir semuanya diperintah oleh golongan ini; mereka naik melalui parti yang memerintah dan selepas mendapat kuasa, bertukar menjadi diktator yang rejimnya berterusan menindas rakyat kebanyakan.
Diktator dunia Arab seperti Zein el-Abidin Ben Ali (Tunisia), Hosni Mubarak (Mesir), Ali Abdullah Salleh (Yaman), Muammar Gaddafi (Libya) memerintah berdekad-dekad lamanya. Di negara mereka bukan tidak ada pilihan raya, cuma keputusannya sudah diketahui dengan tokoh-tokoh ini mencatatkan hampir 100 peratus sokongan.
Diktator Saddam Hussein (Iraq) bukan digulingkan rakyat sendiri tetapi melalui serangan Amerika tetapi kini diktator dunia Arab mahu digulingkan oleh rakyat mereka sendiri. Rakyat mulai sedar bahawa selama ini mereka dijajah bukan oleh kuasa asing lagi tetapi boneka Barat yang menjelma sebagai pemimpin negara masing-masing.
Diktator seagama dan bangsa ini melakukan penindasan terlalu dahsyat terhadap rakyat sendiri. Mereka hidup dalam kegemerlapan harta benda dan kemewahan sedangkan rakyat diperah kudrat mereka manakala harga barangan keperluan melambung tinggi di luar jangkauan orang kebanyakan. Apabila digulingkan barulah terbongkar aset mereka yang terlalu banyak hasil penindasan terhadap rakyat.
Penjajahan sesama bangsa ini bukan terhad di dunia Arab. Namun di dunia Arab, ditunjukkan secara jelas bagaimana penjajahan jenis ini perlu diakhiri dengan merujuk sirah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila seruan kebenaran dibawa Nabi Muhammad s.a.w., baginda dipulau oleh orang sebangsa, seterusnya diburu sehingga ke Madinah.
Di Madinah baginda Nabi Muhammad s.a.w. berjaya mendirikan sebuah negara dan kemudian kembali semula ke Makkah bagi membebaskan bangsa Arab daripada penjajahan sesama bangsa. Bangsa Arab dimerdekakan daripada fahaman jahiliah kepada Islam yang tidak tunduk sesama makhluk tetapi hanya kepada Yang Maha Esa.
Kini penjajahan sesama bangsa dan agama termasuk di Alam Melayu berterusan dengan golongan pemerintah yang kononnya mendapat mandat dalam pilihan raya melakukan penindasan terhadap rakyat. Orang kebanyakan dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan manakala kaum kerabat pemerintah atau lebih jelas lagi kroni membalun projek jutaan malah berbilion ringgit.
Penjajahan bentuk ini mudah saja – kamu sokong dan undi kami, kamu akan ditimbuni kemewahan (realitinya tidak begitu kerana pemimpin membaham daging sedangkan penyokong tepian hanya diberi tulang) tetapi jika kamu menentang kami, kamu akan terima akibatnya.
Itulah sebabnya ada negeri yang didakwa diperintah pembangkang, walaupun hampir semua rakyatnya sebangsa dan seagama dengan pemerintah, dianak-tirikan dalam pelbagai segi. Seolah-olah dikatakan kepada mereka: “Itulah bahananya tidak menyokong kami, biarlah kamu mundur dulu, kini dan selamanya.”
Kini dengan kebangkitan rakyat di dunia Arab yang menolak penjajahan sesama bangsa dan agama ini, sewajarnya menyedarkan semua pihak agar menamatkan segera amalan jahiliah ini.
Ingatlah Nabi Muhammad s.a.w. memerdekakan kota Makkah daripada manusia sebangsa yang terlalu dahsyat amalan jahiliahnya termasuklah rakus kepada kuasa, harta dan perempuan. Baginda tidak membebaskan kota Makkah daripada taklukan Rom atau Parsi tetapi membebaskannya daripada orang sebangsa iaitu Arab Quraisy!
No comments:
Post a Comment