Sunday, February 27, 2011

Pengajaran paling berharga di MCKK

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
***

ANAND Baharuddin adalah rakan setingkatan saya ketika belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 1975-1979. Beliau dan saya serta lebih sedikit daripada 100 lagi rakan-rakan satu ‘batch’ mengharungi pahit manis kehidupan di satu-satunya sekolah khas untuk anak-anak Melayu sejak di tingkatan satu pada 1975 sehinggalah tingkatan lima pada 1979.

Pada tanggal 2 Julai 2010, beliau dilantik Pengetua MCKK; menepati peribahasa sireh pulang ke gagang. Anand merupakan bekas Penolong Kanan Kokurikulum MCKK pada 2003-2005 sebelum bertugas di Jabatan Penuntut Malaysia United Kingdom dan Eire (berpejabat di Dublin) sebagai ‘Student Attache’ (Pegawai Penempatan Pelajar) mulai 2005. hingga 2009. Tugas terakhir beliau sebelum dilantik Pengetua MCKK adalah sebagai Timbalan Pendaftar IPTS di Kementerian Pengajian Tinggi.

Tanggal 29 Januari lalu, dalam perjalanan ke utara tanah air, saya singgah di Kuala Kangsar dan pada kesempatan itu mengintai peluang menemui Anand tanpa sebarang temu janji. Saya bernasib baik berpeluang menemuinya selepas lebih 30 tahun berpisah.

Selain ucapan tahniah, berbagai-bagai cerita lama di MCKK diungkapkan kembali, terasa pada diri saya seolah-olah kisah suka duka di ‘kolek’ (panggilan kolej oleh pelajar MCKK) baru semalam berlalu.

MCKK adalah garisan permulaan bagi saya mengerti kehidupan apabila saya memasukinya dalam usia menginjak 13 tahun. Zaman kanak-kanak yang dilalui sebelum itu hanya bagaikan mimpi kerana kebanyakan tingkah laku dan proses membuat keputusan adalah di tangan orang tua. Sebagai kanak-kanak, saya mengikut saja saranan orang tua termasuk tekun mentelaah pelajaran tetapi kesempatan membesar dan melalui alam remaja di MCKK menjadi pengajaran seumur hidup.

Di MCKK saya melalui pelbagai kisah yang menyentuh jiwa seterusnya menjadi pengajaran paling bermakna dan apa yang akan saya ceritakan di sini adalah salah satu daripadanya. Peristiwa ini mengajar saya menyelami erti kehidupan dalam usia agak mentah, iaitu ketika saya berusia 16 tahun dan dalam tingkatan empat.

Suatu hari saya menerima sepucuk surat berdaftar yang dihantar melalui pejabat sekolah. Pada zaman itu menerima surat berdaftar (registered letter) adalah saat dinanti-nanti kerana biasanya ia mengandungi wang yang dikirim pihak lain terutama ibu bapa.

Biasanya nama pelajar-pelajar yang menerima surat berdaftar diumumkan ketika makan tengah hari atau senarainya dipamerkan di papan kenyataan. Tentunya penerimanya tidak sabar-sebar mendapatan surat berdaftar itu yang perlu diambil daripada kerani di pejabat sekolah. Setiap penerima perlu menurunkan tandatangan mereka sebelum diberikan surat berdafar berkenaan.

Selepas menandatangani perakuan menerima surat berdaftar itu, saya meneliti tulisan di sampulnya. Saya hairan kerana tulisan itu lain benar daripada tulisan surat yang biasa saya terima. Saya tahu surat berkenaan bukan untuk saya walaupun jelas tertulis ‘Kepada…(nama penuh saya).

Tetapi tangan saya ‘gatal’ lalu cepat-cepat saya koyakkan sampul surat itu. Ada wang tunai $20 (ketika itu RM belum dipakai). Wow! Walaupun saya dididik supaya tidak mengambil hak orang lain, kerana hendak ‘enjoy’, fikiran saya berbelah bagi.

Ada kertas biru dalam surat itu. Sambil berbaring di katil saya pun mula membaca baris ayat yang kurang sempurna tulisannya. Saya agak tentulah penulisnya bersekolah rendah saja. “Kepada anakanda…(nama penuh saya) semoga…” Saya tidak tertarik meneruskan pembacaan bab pertanyaan khabar bapa dan anak ini. Mata saya terus ke perenggan terakhir.

“Bersama-sama ini ayahanda kirimkan wang $20 untuk yuran persekolahan anakanda. Ayahanda berusaha mengumpulkan kulit siput untuk dijual bagi mendapatkan wang ini. Kadang-kadang kaki ayahanda berdarah terpijakkan kulit siput. Ayahanda harap anakanda dapat gunakannya secara bijaksana…”

Hah, si bapa mencari kulit siput bagi mengumpul duit untuk dihantar kepada anaknya. Hati saya bagaikan tersiat-siat dan terasa begitu sayu sekali. Saya dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anaknya. Saya tidak sampai hati untuk ‘membelasah’ wang titipan seorang bapa miskin kepada seorang anaknya yang sedang menuntut ilmu.

Cepat-cepat saya meneliti kembali sampul surat itu. Memang jelas perkataan ‘Kepada…(nama penuh saya). Tetapi alamatnya bukan Malay College Kuala Kangsar atau Kolej Melayu Kuala Kangsar tetapi Sekolah Melayu Kuala Kangsar. Posmen yang menghantar surat itu sudah tersilap besar, menyangka Sekolah Melayu Kuala Kangsar sebagai Kolej Melayu Kuala Kangsar. Sepatutnya dia menghantar surat itu ke Sekolah Melayu dan bukannya Kolej Melayu.

Tanpa bertangguh lagi saya pun memulangkan surat itu kepada kerani sekolah. Saya tidak tahu sama ada pelajar yang sama namanya dengan nama saya di Sekolah Melayu itu menerima surat berdaftar yang saya pulangkan itu atau tidak.

Namun peristiwa itu memberikan saya pengajaran paling mengesankan dan cepat mematangkan saya dalam menilai erti kehidupan, termasuk pengorbanan seorang insan bernama ayah!

2 comments:

khairul naim jaafar said...

Ya Allah...terharunya..
Allahummaghfirli zunubi wa li walidayya wa li walidihim warhamhuma warhamhum... Amiiinn....

Unknown said...

Arwah bapa saya (Mohd Zahir Bin Mohd Salleh) bekas pelajar tahun 1975-1979 jika tak silap saya. Sengaja saya cari keyword 'bekas pelajar mckk 1975 1979' mana tau terjumpa gambar2 lama arwah di sekolah tapi tak jumpa. Lalu saya terjumpa blog ini yang mungkin satu batch dengan arwah bapa saya. Agaknya? Hehe maaf kalau tersalah batch sebab saya pun x igt tahun sebenarnya.