Tuesday, February 22, 2011

Pergilah sebelum orang benci…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Yusuf: 2)
***

SEJARAH mencatat pemimpin yang berada terlalu lama di puncak kuasa, menjadi kebencian orang. Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya.

Kini mereka disusuli diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir). Tidak lama lagi tentu ada tokoh dan parti lain mengikuti.

Jadi lebih baiklah pemimpin yang ‘makan cili’ pergi sebelum rakyat benci! Dua puluh atau 30 tahun berkuasa adalah terlalu lama; seseorang bayi sudah menjadi dewasa dalam tempoh ini; orang tua pula sudah ganyut; dunia kata pergi kubur kata mari.

Dalam dunia politik antarabangsa kontemporari, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994).

Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Ya, Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya.

Pada pilihan raya 1994, ANC pimpinan Mandela mendapat lebih 60 peratus undi, membolehkan beliau menjadi presiden pertama di kalangan orang kulit hitam bagi Afrika Selatan. Sokongan terhadap beliau terus meningkat selepas itu, memungkinkan beliau untuk terus berkuasa tetapi beliau enggan membuat demikian.

Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi.

Mubarak, Saddam Hussein dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya tetapi cara lain.

Mubarak dan Zein el-Abiden tersingkir melalui tunjuk perasaan rakyat di jalan raya; Saddam tersungkur dalam perang dan digantung sampai mati oleh pentadbir Amerika Syarikat manakala Ali Abdullah terus berkuasa tetapi menjanjikan kepada rakyat beliau akan berundur pada 2013. Persoalannya sabarkah rakyat Yaman menunggu tempoh itu?

Di rantau sebelah sini, diktator Marcos dan Suharto juga disingkirkan oleh rakyat yang berdemonstrasi di jalan raya. Sama seperti diktator dunia Arab, kedua-dua mencatatkan kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang setiap kali pilihan raya.

No comments: