Kini Kuala Lumpur dikuasai Pakatan Rakyat. Ini kerana 10 daripada 11 ahli Parlimennya terdiri daripada gabungan parti yang disertai KeADILan, DAP dan PAS. Hanya sebuah saja Parlimen dikuasai BN iaitu Setiawangsa melalui wakilnya Zulhasnan Rafique.
Sekalipun Pakatan Rakyat menang besar di Kuala Lumpur, kuasa dan wang masih di tangan kerajaan dan pemimpin BN. Zulhasnan masih Menteri Wilayah Persekutuan, malah mempunyai seorang timbalan. Kedudukan Datuk Bandar, Ab Hakim Borhan juga tidak berubah.
Jadi Zulhasnan dan Ab Hakim adalah tokoh selayaknya diberikan warkah ini. Namun begitu, jika wakil rakyat Pakatan Rakyat dapat menyokong untuk mengukuh atau mengutarakan permasalahan ini, ia dikira satu kemajuan juga demi kepentingan rakyat terbanyak - orang awam.
Masalahnya adalah berkenaan Hentian Puduraya. Disebabkan hampir setiap hari penulis menaiki bas di Puduraya, jadi penulis sudah masak akan permasalahannya. Stesen bas yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn pada 2 Oktober 1976 itu, sudah terlalu nazak, tidak mampu lagi menampung kepesatan pembangunan pengangkutan awam masa kini.
Dilaporkan sebanyak 90 syarikat bas beroperasi di sini di samping perkhidmatan teksi ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air. Ada antara syarikat bas ini seperti Transnasional dan Durian Burong sudah mengorak langkah ke depan termasuk menyediakan perkhidmatan bas dua tingkat.
Bahagian bawah Hentian Puduraya tidak dapat dimasuki bas-bas ini, jadi terpaksalah diletakkan di tepi-tepi jalan bersebelahan hentian. Ini menyebabkan laluan menjadi sempit, mengakibatkan kesesakan amat teruk. Berdasarkan hujah ini saja (kemajuan dalam bidang pengangkutan awam), Puduraya tidak sesuai lagi sebagai hentian bas utama ibu kota yang sering didakwa bertaraf antarabangsa itu.
Kedua, laluan masuk bas ke bahagian bawah (tempat mengambil dan menurunkan penumpang) adalah selorong saja. Jadi pada kebanyakan masa, bas-bas berbaris panjang, kadang-kadang sampai sekilometer jauhnya dari Puduraya. Bagi pemandu bas tentulah keadaan ini mengazabkan selain menghabiskan masa. Bagi penumpang yang baru sampai, mereka terpaksa turun dan kadang-kadang berjalan sekilometer jauhnya untuk ke hentian.
Bahagian bawah yang menempatkan bas, selain begitu sempit bagi pemandu memasukkan bas (terbanyak banyak tanda-tanda tiang dilanggar), keadaan di situ begitu tercemar dengan asap dan kotoran lain. Hanya mereka yang mengalaminya dapat merasakan azabnya sedangkan menteri dan pegawai tinggi yang sesekali membuat tinjauan di Puduraya tidak merasakannya.
Banyak lagi kedaifan Puduraya, yang jika ditulis, akan berjela-jela panjangnya. Penulis tidak berminat melanjutkannya sebaliknya mengundang wakil rakyat atau menteri menjadi penumpang bas (tanpa diiringi pengawal) bagi merasai sendiri suasana berada di Puduraya.
Cuma penulis mahu menarik perhatian wakil rakyat dan menteri mengapa sehingga kini Plaza Rakyat di sebelah Hentian Puduraya yang diuar-uarkan sebagai hab pengangkutan moden tidak siap-siap sekalipun sudah lebih sedekad dibangunkan.
Kuala Lumpur kini sudah dikuasai Pakatan Rakyat, malah negeri jirannya (Selangor) sudah berkerajaan baru (Pakatan Rakyat), tetapi Plaza Rakyat tidak siap 'dulu, kini dan selama-lamanya'. Tidak lama dulu, Zulhasnan (Menteri Wilayah Persekutuan) ketika ditanya bila Plaza Rakyat akan disiapkan, dengan yakin menyatakan tahun 2007. Kini bukan saja tidak siap, struktur asasnya pun terbiar begitu saja.
Sudah 10 tahun penulis berulang-alik antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat (hanya stesen LRT yang boleh digunakan), keadaannya tetap sama, melalui susur gajah sementara yang dari sehari ke sehari semakin uzur. Dinding dan bumbung susur gajah sudah menghitam dan apabila melalui kawasan pembuangan sampah, keadaan begitu meloyakan.
Dari platform stesen LRT, boleh dilihat dengan jelas kehodohan Plaza Rakyat yang dijanjikan untuk keselesaan rakyat itu. Struktur asasnya sudah hitam, kren berkarat, besi-besi yang juga berkarat bergelimpangan, manakala kawasan terbuka menjadi lompang menakung air, mungkin menampung ribuan nyamuk. Mungkin inilah nyamuk yang menyebarkan pelbagai penyakit termasuk denggi di ibu kota!
Ohh, alangkah sedihnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua ini. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun lamanya atau mungkin sepanjang hayat. Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, penulis merayu orang besar dan berkuasa, tolonglah rakyat awam kerana merekalah yang telah meletakkan anda ke kedudukan sekarang.
Antara perkara perlu disegerakan - fikir, rancang dan usahakan bagaimana bas-bas boleh memasuki bahagian bawah Hentian Puduraya dengan selesa dan cepat. Memanglah selama ini kerja gila dilakukan - bas-bas yang banyak itu (ingat ada 90 syarikat bas beroperasi di Puduraya) semuanya terpaksa melalui genting (bottle neck) yang dapat dilalui sebuah bas saja!
Orang tidak sekolah tinggi pun tahu, jika ada satu lorong saja untuk bas memasuki bahagian bawah Hentian Puduraya, keadaan akan menjadi kelam-kabut setiap hari. Jadi kepada pakar-pakar bangunan dan bandar, buatlah sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini buat sementara waktu sebelum sebuah perhentian baru dapat disiapkan.
Jika masalah ini dapat dilakukan, tidaklah ada kalanya penulis terpaksa menaiki bas yang dijadualkan berlepas 6 petang pada 8 malam, insya-Allah.
2 comments:
Saya juga salah seorang pengguna Hentian Puduraya, walaupun tidak sekerap saudara penulis. Sejak dari zaman saya pelajar di UM, kemudian bekerja di KL, dan hingga sekarang tatkala saya bekerja di luar negara. Sudah hampir 20 tahun, saya menjadi pengguna jasa Hentian Puduraya, malangnya dengan segala kemudahan dan prasarana lain di KL yg sudah berubah menjadi lebih baik... Hentian Puduraya tetap sama, sesak, buruk, panas, busuk, walaupun cuba ditampal dgn kosmetik sekali-kala....Malah sekarang lebih parah, dengan kehadiran ulat2 tiket yg kadang2 agresif dlm menarik pelanggan. Mungkin pak Menteri dan Datuk Bandar dah lupa ada suatu tempat namanya Hentian Puduraya di KL... atau buat2 lupa. Aneh, tempat yg digunapakai oleh ramai org, termasuk pelancung luar.,.. dianaktirikan...
Assalamualaikum.............
Selamat menyambut hari raya aidilfitri En LanH. Maaf zahir dan batin...jemput ah datang ke rumah, kalau BUZZ, jemputlah datang ke blog saya.....www.nabilapress.blogspot.com
Post a Comment