Awal pagi 28 Disember tahun lalu sebelum menaiki bas ekspres Melaka-KL, seperti biasa saya singgah di gerai akhbar. Terkejut besar saya lihat tertampang di hampir semua akhbar laporan BENAZIR TERBUNUH. Terasa debaran jantung saya sedikit kencang kerana Benazir 'bukanlah asing pada saya'.
Ini kerana ketika Benazir menjadi Perdana Menteri Pakistan bagi kali kedua (1993-1996) secara kebetulan ketika itu saya adalah Pengarang Luar Negara sebuah akhbar arus perdana. Tempoh pertama Benazir menjadi Perdana Menteri adalah pada tahun 1988-1990.
Ketika menerajui negara pada penggal kedua itu, Benazir pernah membuat lawatan ke Malaysia. Sempena lawatan itu, 'bos' mengarahkan saya mengatur dan membuat wawancara eksklusif dengan Benazir.
Hendak dijadikan cerita saya gagal dalam misi itu. Maka 'bos' pun hentam saya cukup-cukup, apatah lagi sebuah akhbar pesaing berjaya mewawancara Perdana Menteri Pakistan itu.
Benazir punya pasallah saya kena marah. Oleh itu saya sentiasa ingat akan Benazir. Jadi apabila saya menatap laporan dia terbunuh dalam satu letupan di Rawalpindi, saya tersentak sebentar tetapi tidaklah terkejut sangat kerana berdasarkan perkembangan dan sejarah politik di Pakistan dan cabaran Benazir sendiri, kejadian menyedihkan itu bukanlah sesuatu luar biasa.
Benazir, sebelum kembali ke Pakistan, dalam satu sidang akhbarnya di London pada September 2007, menyatakan dia bersedia menghadapi apa saja kemungkinan dalam misinya pulang ke tanah air. Beliau kembali ke Pakistan sebulan kemudian selepas berada lapan tahun di luar negara.
Sekalipun bernasib baik berbanding seorang lagi bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, yang terpaksa kembali dalam buangan di Arab Saudi sebaik saja pesawatnya mendarat, Benazir hampir terbunuh apabila satu serangan berani mati ketika beliau menyertai satu perhimpunan umum yang menyebabkan lebih 120 terbunuh.
Benazir nampaknya tidak serik dengan kejadian itu. Beliau terus mengkritik kepimpinan Presiden Pervez Musharraf sekalipun laporan-laporan agensi berita Barat menyatakan kepulangan Benazir adalah untuk berkongsi kuasa dengan Musharraf yang terkenal sebagai anak emas Barat dalam kempen memerangani keganasan global, kononnya.
Gandingan Musharraf-Benazir amat direstui kuasa Barat. Kedua-duanya pro-Barat, sedia tunduk kepada kehendak paksi Amerika dan kuncu-kuncunya. Tetapi nampaknya ada yang tidak kena menyebabkan hajat Barat melihat perkongsian kuasa Musharraf-Benazir tidak menjadi. Malah Benazir makin lantang mengkritik Musharraf menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijudualkan 8 Januari depan.
Sebelum terbunuh, Benazir sebagai pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), disifatkan sebagai tokoh paling hampir yang boleh menjatuhkan Musharraf. Nawaz Sharif jauh ke belakang, demikian juga pemimpin-pemimpin lain.
Berikutan pembunuhan Benazir, apa kesudahannya bagi Pakistan? Berdasarkan sejarah di benua kecil India (Pakistan, India, Bangladesh dan Sri Lanka), apabila berlaku pembunuhan seseorang pemimpin itu, partinya akan disanjung dan tokoh yang menggantikannya kemungkinan besar akan menjadi pemimpin negara.
Di Pakistan sendiri, selepas penggantungan bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto, (Perdana Menteri Pakistan pada awal 1970-an), namanya (Benazir) menjadi masyhur sehingga dia berupaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Tetapi hajat Benazir untuk menjadi pemimpin Pakistan buat kali ketiga tidak kesampaian, sebaliknya dia sendiri maut.
Di India pembunuhan pemimpin dinasti Nehru-Gandhi seperti PM Indira Gandhi menyemarakkan nama anaknya, Rajiv. Kemudian selepas Rajiv dibunuh, pemimpin Parti Kongres (I) begitu disanjung sehingga membolehkan seperti Narashima Rao menjadi Perdana Menteri.
Demikian juga berlaku di Bangladesh yang membabitkan Presiden Mujibur Rahman, Sheikh Hasina dan Begum Khaleda Zia manakala di Sri Lanka nama-nama seperti Bandaranaike menghiasi tampuk pemerintahan kerana berlaku pembunuhan terhadap anggota keluarga.
Jadi di Pakistan, kemungkinan besar, sokongan simpati rakyat diperolehi oleh PPP selepas ini. Oleh itu tidak menghairankan jika penganti Benazir sebagai pemimpin PPP akan menerajui kuasa di Pakistan selepas ini.
Namun apa yang menjadi kebimbangan, pemimpin-pemimpin ini akan bergantung kuasa kepada 'Polis Dunia' (Amerika) yang tidak akan membiarkan perkembangan di Pakistan berjalan begitu saja.
Jika Pakistan tunduk dan pak turut kepada 'Polis Dunia', ia akan menjadi kebimbangan seluruh umat Islam. Ini kerana Pakistan, sebagai satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear, dilihat sebagai model Republik Islam oleh sesetengah pihak.
Pergolakan berterusan di Pakistan sebahagiannya disebabkan pemimpin dan rakyatnya tidak mengikut garis panduan yang sediakan negarawannya seperti Muhammad Ali Jinnah dan Abul A'Ala Maududi.
Kuasa mutlak hak Allah
Berhubung perkara ini adalah menarik untuk kita melihat pandangan intelektual dan negarawan Islam kebanggaan Pakistan, Abul A'Ala Maududi, mengenai 'asas-asas pemerintahan Islam'.
"Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah.
Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT.
Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan.
Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah.
Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia.
Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin.
Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut.
Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya.
Selama tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah).
Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah.
Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran.
Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri.
Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah.
Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini.
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam.
Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat.
Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia.
Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.
Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber.
Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia.
Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut.
Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut.
Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya.
Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut.
Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan.
Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri.
Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak.
Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik.
Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta.
Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya.
Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia.
Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik."
No comments:
Post a Comment