Thursday, October 9, 2008

Babi ditakuti tetapi tidak rasuah, judi dan todi

Kali pertama saya ke Dubai, UAE tahun 1992. Pakej penginapan di sebuah hotel di sana termasuklah minum pagi. Ketika mengambil lauk-pauk, saya terperasan di sebelah bekas daging ayam, disediakan daging babi. Istimewanya, setiap jenis makanan yang dihidangkan ada labelnya. Kalau lauk 'ayam' ditulis 'chicken', daging lembu ditulis 'beef' manakala daging babi ditulis 'pork'.

Guanno ni, kata hati saya, di tanah Arab pun disediakan makanan haram itu. Macam mana ni, mahu makan atau tidak? Maksud saya bukan makan daging babi itu tetapi makanan lain. Apakah boleh dimakan hidangan 'chicken' yang terletak bersebelahan dengan 'pork'?

Akhirnya saya terpaksa berpuas hati dengan menikmati roti bercicahkan air kopi. Guano, hotel-hotel pak syekh Arab ini, rungut hati saya. Hidangan daging babi disediakan, bercampur-gaul dengan makanan lain.

Ketika itu, saya yang kurang pengalaman, ingat negara-negara Arab bebas daripada hidangan daging babi, tetapi rupa-rupanya tidak begitu. Kota-kota seperti Dubai, Beirut dan Doha yang menjadi transit utama penerbangan nampaknya sudah menepati cirri-ciri antarabangsa, termasuk menghidangkan makanan dan minuman haram. Bir adalah biasa saja di hotel.

Kalau sesetengah orang Arab di beberapa negara Arab sudah tidak sensitif dengan babi, bagaimana pula reaksi orang Melayu Malaysia yang boleh dikatakan semuanya beragama Islam. Oohh, berdasarkan perkembangan semasa, orang Melayu tetap sensitif dengan babi.

Pantang cakap babi, orang Melayu akan melenting. Dengar babi saja pun orang Melayu tak nak, apa lagi makan babi. Mungkin itu sebabnya nama babi itu ditukar kepada khinzir.

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya telah menerima sejumlah e-mel dan SMS menyentuh isu babi ini. Seorang peminat, meminta pihak editorial membuat satu keluaran khas mengenai isu babi ini.

Katanya, dia tidak berpuas hati dengan cercaan pihak tertentu termasuk akhbar arus perdana yang memutarbelitkan isu ladang ternakan babi secara moden di Selangor. Katanya, dakwaan itu perlu ditangkis, jangan biarkan puak-puak ini bertindak kotor, menipu rakyat terutama orang Melayu.

Seorang pembaca menghantar e-mel menempelak saya, sidang pengarang Harakah dan kerajaan Pakatan Rakyat dengan mendakwa berikutan kesediaan kerajaan Selangor memberi laluan kepada pusat ternakan babi moden itu, 'tidak lama lagi akan terbinalah ladang babi terbesar di Kedah dan Perak'.

"Itulah," tulisnya, "bahana memilih Pakatan Rakyat. Orang Melayu terpaksa hidup dalam lingkungan babi-babi ini."

Seorang lagi menulis: "Lebih baik bina ladang babi moden itu di Pulau Ketam. Di sana banyak orang makan babi."

Penulis tidak mahu komen mengenai isu penternakan babi ini, hanya menyerahkannya kepada kebijaksanaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menanganinya.

Cuma yang mahu disentuh penulis adalah mengenai kebagusan orang Melayu yang menolak benda haram seperti babi. Dengar saja mereka sudah jijik. Penulis yakin tidak ada orang Melayu-Islam yang makan babi. Sebab sudah jelas makan babi haram.

Di sini penulis berfikir jika orang Melayu-Islam 100 peratus jijik dan tidak makan daging babi kerana 'keharamannya', alangkah bagusnya jika 100 peratus daripada mereka jijik dan berusaha menolak perkara haram seperti rasuah, riba, mencuri, khianat, kesaksian palsu atau mengambil harta dan kuasa dengan sumpah palsu.

Selain daging babi yang sudah jelas haram dimakan, makan atau menggunakan faedah daripada hasil yang haram adalah juga haram. Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam al-Quran, ayat 29 Surah An-Nisa' yang bermaksud: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil..."

Ibnu Hibban meriwayatkan, "Tidak akan masuk syurga, daging dan darah yang tumbuh daripada usaha yang haram. Bahkan neraka lebih patut baginya. At-Tarmizi pula meriwayatkan; "Tidak baik (subur) daging yang tumbuh daripada usaha haram, melainkan neraka lebih patut baginya."

Dalam buku 'Penenang Jiwa - Pengubatan dan Rawatan' yang diterjemahkan daripada kitab Imam Al-Ghazali 'Mukashafah Al-Qulub' ada ditulis: "Al-Bazzar (meriwayatkan); "Sungguh tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah, solat dan zakat. Siapa yang memakai baju daripada duit yang haram, maka tidak diterima solatnya sehingga baju itu dilepaskan. Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Agung. Tidak akan diterima solat lelaki yang memakai pakaian haram."

Ahmad daripada Ibnu Umar, dia berkata, "Siapa membeli pakaian 10 dirham tetapi satu dirham daripadanya adalah haram, Allah tidak akan menerima solatnya selama ia dipakai." Kemudian dia memasukkan dua jarinya ke dua-dua telinganya sambil berkata, "Tuli saja aku jika Nabi tidak mengatakannya." Al-Baihaqi (meriyawatkan), "Siapa yang membeli barang curi, sedang dia tahu, maka dia turut berdosa."

Berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman penulis, orang Melayu jijik sekali dengan babi. Tiada orang Melayu-Islam yang makan daging babi, apatah lagi sentuh atau berdekatan dengan babi (kecuali 'tokoh' yang menunjukkan tanda bagus di kandang babi di Jerman).

Tetapi berdasarkan suasana persekitaran, ada orang Melayu-Islam tikam ekor (berjudi), minum arak (todi), makan rasuah, riba, dedah aurat dan yang terakhir ini ramai yang mahu menjadi penyanyi (artis) sedangkan Imam Al-Ghazali dalam bukunya itu menyatakan: "Al-Qadi Abu Thaiyyib ath-Thabrani mengutarakan beberapa pendapat daripada Asy-Safie. Abu Hanifah, Sufyan dan segolongan ulama, bahawasanya mendengar lagu dan seumpamanya adalah haram."

Abu Thaiyyib mengatakan, "Mendengar nyanyian daripada wanita yang bukan muhrim tidak dibolehkan menurut ulama Syafie, baik terbuka atau dari balik hijab, baik merdeka atau budak. Dia mengatakan bahawa telah berkata Imam Syafie, "Pemilik jariah (budak perempuan) apabila dia mengumpulkan manusia untuk memperdengarkan nyanyiannya, maka dia adalah bodoh dan harus ditolak kesaksiannya."

Jika Imam Syafie yang diakui hampir setiap Melayu-Muslim di negara ini sebagai imam mereka (mereka mengaku bermahzabkan Iman Shafie), tetapi mengapa tidak mengikut ajarannya sebaliknya terus menghimpunkan penyanyi dan artis dalam pelbagai pertandingan dan akademi serta anugerah dengan hadiah lumayan?

Pada majlis ini, selain percampuran bebas, artis perempuan mengambil kesempatan 'berbogel'. Dengan anugerah mewah dan kerap, jelaslah artis disanjung-sanjung sedangkan ulama dan amanat mereka dihumbankan. Jadi amat tersasarlah untuk pihak-pihak ini mengaku, mereka sedang mencari Asy-Shafie atau Al-Ghazali seperti didakwa Imam Hadhari!

No comments: