Menjelang Hari Raya antara tempat menjadi tumpuan ialah bengkel kereta. Saya juga tidak terkecuali ke sana. Apabila ramai pelanggan terpaksalah sabar menunggu.
Salah satu cara mengisi masa terluang ialah berbual dengan pelanggan lain.
Banyaklah perkara dibualkan tetapi yang paling hangat ialah berkaitan kenderaan yang diservis itu. Maklumlah perkara ini ada hubungan dengan pengalaman masing-masing.
Seorang lelaki Cina membuka cerita mengenai keburukan pegawai penguatkuasa undang-undang jalan raya. Soal rasuah adalah perkara biasa, dakwanya. Sehinggakan pada bulan Ramadan ini, ada pegawai meminta rasuah rokok daripada lelaki Cina itu.
"Dia tak tahukah, 'Tuan Alla' (Tuhan Allah) nampak dia punya kerja," kata lelaki Cina itu membuatkan muka saya tebal. Untuk menyembunyikan rasa malu itu, saya buat-buat ketawa.
Demikianlah betapa segelintir orang Islam mempamerkan wajah dan perlakuan tidak Islamik menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik kepada Islam.
Kepada sesetengah orang bukan Islam, Islam dilihat berdasarkan keadaan umatnya. Jika kehidupan orang Islam susah dan perlakuan mereka buruk, bagaimana mereka boleh tertarik untuk mengenal seterusnya mendekati Islam?
Perkembangan kurang sihat ini turut diperkatakan oleh seorang penceramah terkenal, Ann Wan Seng tidak lama dulu.
Beliau menceritakan bagaimana sebuah keluarga miskin di Klang yang tinggal berhampiran masjid tetapi tidak diambil peduli oleh masyarakat Islam di situ termasuklah jawatankuasa masjid.
Khabarnya, kumpulan Kristian mula mendekati keluarga berkenaan dan perkembangan ini tentulah tidak memberi gambaran baik mengenai Islam. Hakikatnya yang tidak baik itu bukanlah Islam tetapi umatnya yang mempamerkan perlakuan yang bertentangan dengan nilai murni penghidupan.
Seorang teman saya yang bertugas sebagai guru juga diajukan soalan yang sukar dijawab oleh teman sekerjanya daripada kaum Tionghua.
Kata guru Tionghua itu, dia hairan mengapa sebahagian besar muda-mudi yang berdua-duan adalah di kalangan orang Melayu, malah ramai juga gadis terbabit adalah dari kalangan orang bertudung.
Beliau juga berkata mengapa pelajar Melayu suka 'berkepit' ke sana sini sedangkan pelajar Cina lebih serius dalam pelajaran masing-masing.
Katanya, bukankah Islam itu melarang pergaulan bebas lelaki dan perempuan tetapi kalau dilihat apa yang berlaku di sekeliling, orang Islamlah 'lebih hebat' daripada golongan lain.
Soalan 'killer' daripada guru Tionghua itu membuatkan teman saya itu terduduk. Dia tidak mampu menjawabnya.
Demikianlah betapa segelintir orang Islam telah memalukan umat Islam lain.
Senario yang dibincangkan berlaku dalam negara tetapi jika kita melihat suasana global, perkembangannya lebih membimbangkan.
Berikutan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001, umat Islam kerap dikaitkan dengan keganasan. Istilah kurang enak seperti militan, radikal, teroris dan pengganas dihubungkaitkan dengan Islam.
Perkara ini amat mendukacitakan kerana hakikatnya umat Islamlah yang paling banyak menderita akibat keganasan yang dipaksakan ke atas mereka.
Lihatlah betapa rakyat awam Palestin, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Arakan (Myanmar) dan Gujarat (India) disembelih beramai-ramai sedangkan penjenayahnya tidak pula dianggap sebagai teroris, militan dan sebagainya.
Dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini, kebebasan beragama dilaung-laungkan oleh pelbagai pihak. Semua orang dikatakan bebas mengamalkan ajaran masing-masing tetapi hakikatnya apabila ia membabitkan Islam, hal itu tidak pula berlaku.
Contohnya apabila Taliban Afghanistan menguatkuasakan peraturan agama yang ketat mereka dianggap sebagai pengganas.
Demikian juga apabila undang-undang Islam cuba dikuatkuasakan di sebuah negeri di utara Nigeria, pihak terbabit dianggap mahu kembali ke zaman batu. Orang Islam Nigeria yang menentang negara mereka dijadikan tuan rumah pertandingan Ratu Cantik Dunia dituduh sebagai fundamentalis dan pengganas.
Nasib umat Islam diperburukkan lagi oleh orang Islam yang menentang hukum-hakam Islam sendiri. Contohnya, ada kumpulan orang Islam di Turki yang tidak mahu wanitanya bertudung dan ada pihak yang menolak mentah-mentah hukum hudud.
Perlakuan buruk orang Islam ini dijadikan landasan oleh pihak yang bencikan Islam meningkatkan tekanan ke atas orang Islam. Jadi tidak hairanlah jika kuasa besar dunia baik di Barat dan Timur menganggap orang dan Islam sebagai penjenayah yang mesti diperangi.
Inilah tragedi yang memedihkan umat Islam akhir zaman ini. Orang Islam bukan saja ditindas oleh musuh Islam tetapi juga oleh orang Islam sendiri. Apabila ini berlaku, rasa hormat orang bukan Islam kepada orang Islam terhakis. Itulah sebabnya dalam kisah awal tadi, mengapa pegawai penguatkuasa Islam tidak dihormati lagi kerana dia sendiri tidak takut 'Tuan Alla' (Allah).
No comments:
Post a Comment