Sekarang ini musim memilih pemimpin. Ada mencalonkan diri sendiri dengan berkata; "dengan rendah diri saya menawarkan diri..." Ada banyak jenis pemimpin, sehubungan itu orang yang memilih pemimpin perlu berwaspada.
Ketika Perang Teluk pertama dulu (1991) imej Presiden Iraq, Saddam Hussein, berteleku di sejadah menarik umat dan negara Islam. Ada pihak mengumpamakan Saddam dan Iraq yang ketika itu menghadapi serangan pakatan lebih 20 negara, seperti Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera Muslimin menghadapi pasukan orang Quraisy dan Yahudi yang mengepung Madinah dalam Peperangan Ahzab.
Demikian betapa bijak bekas Presiden Iraq itu (kini Almarhum) bermain imej dan PR dengan memprojek dirinya sebagai pahlawan dan pemimpin umat Islam. Seluruh dunia Islam terpukau dan tersentuh dengan gambaran betapa abidnya Saddam.
Semasa pilihan raya umum lalu (2004), imej Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi yang berteleku, berdoa banyak kedapatan pada poster dan banner pilihan raya, menghiasi lebuh raya, jalan raya dan lorong. Selain itu, media pula gemar mengulang siar gambar beliau menjadi imam solat.
Tetapi hairan bin ajaib, gambar-gambar dan poster aksi begitu hampir tiada pula pada pilihan raya kali ini. Mungkinkah perubahan bentuk kempen kali ini ada kaitan dan perubahan sikap si empunya diri atau pun tukang kempen dan propaganda yang telah mengkaji dan menganalisis pemikiran serta mood rakyat, khasnya pengundi kali ini?
Mungkinkah pakar perang saraf BN sedar, jika imej Saddam berteleku di atas sejadah kurang kesannya bagi menambat hati dan sokongan dunia Islam, imej yang sama tidak perlu dipertahankan oleh bos mereka?
Selain sesetengah orang Islam yang kurang senang imej begitu, orang bukan Islam yang berperangai dan bersikap seperti Presiden George W Bush juga mungkin tidak senang dengan pemimpin Islam yang asyik berteleku di sejadah. Sebab itu agaknya imej pemimpin berteleku tidak laku lagi pada kempen pilihan raya ini.
Imej pemimpin yang tetap berteleku di atas sejadah ini ada pada pemimpin PAS. Dulu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berteleku di atas sejadah, sekarang pun beliau berteleku, berdoa dan ribuan jemaah di belakangnya.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga begitu. Dulu beliau berteleku, sekarang pun berteleku. Malah beliau berteleku ketika penamaan calon 24 Februari lalu, mengimami solat hajat. Jadi imej kedua-dua pemimpin PAS ini tidak berubah. Mereka konsisten. Mereka terus menadah tangan, tidak kira musim, memohon Ilahi menunjuki jalan lurus dan memberi kemenangan kepada perjuangan Islam.
Orang yang suka menukar-nukar wajah ini boleh diibaratkan sesumpah (sumpah-sumpah) yang boleh menukar warna berdasarkan persekitarannya. Jika dahan pokok ditumpanginya berwarna kelabu, ia akan tukar menjadi kelabu, jika pokok itu coklat, dia akan bertukar warna coklat.
Dulu ketika saya belajar di IPT pada tahun 80-an, perangai sesumpah ini jelas pada segelintir pelajar perempuan (maaf, saya beri contoh saja bukan mahu mengata). Jika memasuki kelas Pengajian Islam, semua bertudung, walaupun ada yang ternampak jambulnya.
Apabila ustaz atau ustazah keluar, meninggalkan kelas; mereka mencampakkan tudung dalam laci. Bye, bye pada tudung. Pada mereka kewajipan pakai tudung hanya pada kelas pengajian ustaz, yang lain tidak perlu.
Nak dijadikan cerita, pada awal semester baru, seorang pensyarah Sains Komputer buat kejutan. Katanya, dia tak nak tengok lagi muka pelajar perempuan tidak bertudung dalam kelasnya. Kepada mereka yang tidak bertudung beliau dengan keras berkata: "Please get out."
Terkejut beruk pelajar perempuan tidak bertudung. Ingatkan dalam kelas pengajian Islam saja kena bertudung. Tup-tup penyakit ini merebak pula dalam kelas Komputer pula. Bukan ustaz saja mahu pastikan mereka bertudung, pensyarah bukan ustaz pun sama-sama sibuk.
Demikian betapa ramai daripada anggota masyarakat bersifat dan berperangai macam sumpah-sumpah. Mereka ingat akan agama berhubung perkara berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa dan hal-hal di masjid saja. Apabila pergi masjid dan solat, semua ikuti peraturan; bertudung litup tetapi keluar saja masjid, tudung sudah terbang entah ke mana. Dalam masjid aje perangai baik, luar masjid sudah jadi lain kes.
Itulah ada ustaz menyindir, sesetengah orang Melayu ini ambil agama pada tiga situasi saja. Pertama masa kelahiran; kedua masa nak kahwin (itu sebab ramai artis dan anggota masyarakat bertudung litup ketika nikah) dan ketiga masa meninggal. Mengenai bab ini, Ustaz Abd Ghani Abdul Rahman (kini Pesuruhjaya PAS Melaka) ada berkata, kalau bab solat jenazah, masyarakat seboleh-boleh mahukan orang seperti dia (ustaz) jadi imam, tetapi dalam bab lain terutama kepimpinan, ustaz tidak diperlukan. Harap-harap dan semoga Allah memberi kemenangan kepada Ustaz kali ini!
Ketika musim pilihan raya ini banyak sumpah-sumpah berkeliaran dalam masyarakat. Wah masa glamour dan pergi ke majlis-majlis hebat mereka tak bertudung pun, masing-masing mahu tunjuk rambut blond celup tetapi sekarang ini ketika berkempen, jumpa mak cik dan pak cik di kampung, aduh mak bertudung litup pula. Tak percaya tanya, Kak...daripada Puteri Umno tu atau Mak...daripada Wanita Umno tu.
Inilah dia sebahagian spesies sesumpah itu. Bukan setakat boleh tukar colour tetapi perangai pun boleh modified.
Bagi calon-calon pula, masa meraih undi inilah kita nak tergelak tengok mereka tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah. Adegan ini masa meraih undi saja, lepas mereka jadi wakil rakyat, jadi YB jangan haraplah mereka buat kerja itu. Nanti dikatakan YB gilakah masuk bawah rumah orang? Tanyalah pada calon pemimpin BN yang masuk bawah rumah orang di Penang tu.
Itulah namanya, banyak orang sudah jadi sumpah-sumpah pada masa pilihan raya. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. Itu depan orang, belakang orang siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Kalau dah tahu begitu tak baiknya spesies sesetengah calon, buat apalah dipilih pemimpin jenis sesumpah ini? Banyak orang kata, mereka mengikut saja. Orang undi pemimpin itu, aku pun undilah. Ketua kampung, imam kampung, pengerusi JKKK dan tok siak kampung pilih dia maka aku pun pangkahlah. Orang kata Pak Loh tu baik, aku pun pangkah Pak Loh.
Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A'Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: "...berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka." Allah berfirman "kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut "Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami." Allah berfirman "rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan."
Demikianlah, janganlah diundi pemimpin dan calon sumpah-sumpah ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan mereka (melesenkan arak, menggalakkan judi, pub dan disko, konsert sana konsert sini seperti Sure...) yang dilakukan sesetengah pemimpin ini sedangkan kita relakan tangan kita mengundi mereka. Oleh itu berfikirlah sebelum mengundi, bagaimana mahu menyelamatkan diri, anak isteri dan sekian muslimin dan muslimat daripada azab Allah SWT sebelum memangkah nanti.
No comments:
Post a Comment