Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menulis mengenai apa didakwa salah laku Anwar Ibrahim. Penulis tidak mahu menggunakan istilah jijik (lxxxt) itu. Pengalaman membabitkan istilah itu mengajar penulis berhati-hati. Selain membabitkan hukum-hakam agama, ia juga menjejaskan suasana keharmonian dalam rumah tangga. Pada 1998 dulu, dua orang anak penulis yang ketika itu berumur 9 dan 7 tahun bertanya; "lxxx itu apa ayah?" Maka terkial-kiallah saya nak menjawabnya, "err, err,errr."
Kini saya menulis juga mengenai perkara ini selepas menjumpai risalah mengenainya di pintu masuk masjid baru-baru ini. Pada pandangan saya, kandungan risalah itu bernas untuk tatapan dan renungan bersama. Antara lain risalah sebaran (untuk jemaah solat Jumaat) dengan tajuk 'Isu lxxxt Dato' Seri Anwar Ibrahim ? Cara Penyelesaian' (saya tidak bersetuju dengan tajuk ini, bukankah lebih elok ditulis 'Isu dakwaan salah laku ke atas...') ditulis;
"Kita sedang terjebak dalam satu krisis perpecahan Melayu-Islam. Perpecahan ini sangat besar selepas pilihan raya, kesan daripada pemimpin-pemimpin kita yang berbalah sesama sendiri. Ancaman kepada Melayu masa kini ialah Anwar melakukan lxxxt (wahai penulis, takkan awak tergamak menuduh begini sedangkan kes ini baru di peringkat mendakwa saja, tak takutkah kamu kepada Allah, oleh itu tulislah secara berhemah).
"Isu ini bukan satu isu yang mudah. Semua orang akan buat berbagai-bagai tuduhan. Ini tidak baik dan dilarang oleh agama. Yang menyokong Anwar menuduh kerajaan berkonspirasi. Yang menyokong kerajaan pula sedang mencari bukti. Akhirnya orang Melayu Islam berbalah sesama sendiri, mempertahankan perkara-perkara yang mereka sendiri tidak jelas. Kesan tahun 1998 dulu, kita sudah merasa sangat buruk kepada bangsa dan negara.
"Bagi mengatasi kemelut dan masalah ini, yang terbaik ialah kita serahkan kepada Allah SWT. Caranya ialah semua orang Melayu Islam, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi masjid/surau, sekolah-sekolah dan universiti mencari satu hari khas untuk menganjurkan sembahyang hajat beramai-ramai memohon Allah SWT memberi petunjuk kepada mana-mana pihak yang bersalah dalam perkara ini. "Sembahyang hajat boleh diadakan di tempat masing-masing. Pohon sokongan semua pihak supaya kita dapat menyelamatkan negara kita dari malapetaka. "Mulai hari ini hentikan tuduh menuduh dan kita kembali kepada Allah SWT. Sebarkan supaya semua orang mengambil bahagian." - AL-SUFI
Cadangan Al-Sufi perlu pertimbangan semua pihak. Selain pandangan beliau, tazkirah di Masjid Balai Islam sebelum solat Jumaat tengah hari baru-baru ini juga menyegarkan jiwa. Penceramahnya berkata semua permasalahan dan kemelut dalam negara dapat diselesaikan jika pemimpin dan rakyat berpandukan al-Quran. Yang menjadi masalahnya, manusia itu tidak mahu al-Quran, katanya.
Tuduhan melxxxt dan berzina dan seumpamanya membabitkan harga diri. Tetapi hari ini dapat kita saksikan betapa lancang dan jahatnya mulut pemimpin dan bukan pemimpin. Berkata begitu, berkata begini sedangkan mereka tidak tahu kedudukan perkara. Mereka main agak-agak saja. Mana boleh main agak-agak dalam kes membabitkan maruah diri ini?
Membicarakan bab harga diri ini, penulis teringat bahan bernas yang kerap menjadi hujah seorang sahabat. Beliau membawakan kisah Shakespeare yang memetik kata seorang penasihat kepada Raja.
Kata penasihat itu, jika Tuanku kehilangan kerajaan, Tuanku tidak hilang apa-apa; kerajaan boleh dirampas balik dengan cara memperhebatkan perjuangan. Jika Tuanku hilang kesihatan (jatuh sakit) Tuanku baru hilang separuh daripada diri Tuanku; tetapi jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku telah hilang segala-galanya.
Demikianlah pada ketika harga barangan keperluan asas termasuk tepung, beras dan minyak yang berterusan naik, semakin ramai orang yang hilang harga diri. Ada yang menjaja kisah terlampau diri sendiri. Ada pula membuka kisah aib orang lain. Jika dilihat dari satu segi, seolah-olah kedua-dua perkara ini (harga diri dan harga barang) telah diletakkan di atas neraca. Jika harga barang naik, maka harga diri akan jatuh.
Mungkinkah pada ketika harga diri naik, harga barangan akan jatuh? Jika direnung secara berilmu memang begitu. Jika seseorang itu terutama peniaga dan pemimpin dikawal oleh agama (takut kepada Allah), harga barangan keperluan akan berada pada tahap terkawal kerana barangan dan keperluan asas seperti padang ragut (beras, gandum), air dan api sudah terjamin di bahu kerajaan sebagai sebahagian tanggungjawab pemerintah kepada rakyat.
Seorang tuan guru dalam tazkirah pada satu majlis yang diikuti penulis baru-baru ini, mengingatkan hadirin dengan amaran menakutkan; dua daripada tiga hakim akan masuk nereka; manakala pemimpin (imam) zalim tidak akan dipandang langsung oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.
Siapakah pemimpin yang zalim itu? Mereka adalah orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Mereka memerintah ikut nafsu dan syahwat. Mereka menangkan kroni. Mereka makan suap. Mereka mengamalkan undang-undang rimba. Menghumban manusia dalam penjara tanpa bicara. Inilah manusia yang paling dimurkai Allah SWT. Mereka paling jauh daripada rahmat Allah SWT.
Sementara itu peniaga yang jujur, hakim serta pemerintah yang adil, kedudukan mereka adalah di bawah Nabi-Nabi dan begitu hampir dengan Allah SWT, demikian kata tuan guru itu.
Jika semua orang termasuk pemimpin ada harga diri, harga barang akan berada pada paras dimampui orang awam kerana negara dibarakahi Allah SWT. Insya-Allah jika harga diri naik, harga barangan akan jatuh!
No comments:
Post a Comment