Pada diri ini, kehadiran di Arafah (Wukuf) pada 9 Zulhijah 1426, memberi kesempatan terbuka untuk muhasabah diri. Menangislah saya sepuas hati, mengenang segala dosa dan kesilapan lalu. Hari Wukuf atau Hari Arafah dikatakan saat seseorang hamba itu tersangat dekat dengan Tuhannya. Mintalah keampunan-Nya dan berdoalah, semoga selepas haji, kita menjadi hamba-Nya dalam pengertian sebenar-benarnya.
Keberangkatan dari Arafah ke Mudzalifah bermula selepas solat Asar. Saya dan isteri terpilih untuk berangkat selepas Maghrib. Perjalanan Arafah-Mudzalifah menguji ketahanan diri – sama ada dari segi mental dan fizikal. Apabila ratusan ribu jemaah berhimpun, berlaku ketidak-tentuan yang menguji keimanan dan kesabaran diri.
Bayangkan dalam masa mengerjakan manasik haji, masih ada jemaah berebut-rebut, takut ketinggalan bas. Ada isteri yang sudah naik bas, suaminya belum. Berlakulah kekecohan dan perselisihan, sedangkan perbalahan dilarang sama sekali ketika menunaikan haji.
Mudzalifah adalah tempat di mana jemaah berhenti sebentar untuk mengutip batu-batu kecil untuk dilontar di jamrah kemudiannya. Mulai tahun 2005, pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan sistem baru yang menghendaki jemaah berada di situ selepas mereka keluar dari Arafah sehinggalah keberangkatan sekali lagi ke Mina yang bermula selepas tengah malam.
Sebelum ini, bas dari Arafah berhenti sebentar di Mudzalifah bagi membolehkan jemaah mengutip batu, kemudian jemaah naik bas yang sama untuk meneruskan perjalanan ke Mina.
Bagaimanapun, berdasarkan sistem baru ini, jemaah berada di sebuah kawasan terbuka yang dipagar di Mudzalifah untuk mabit. Di situlah jemaah berehat, berbaring berlantaikan tikar dan beratapkan langit. Sambil baring-baring, sesekali sekala terbau najis binatang, mungkin pada siangnya tempat itu menjadi lokasi persinggahan kumpulan unta.
Jika mahu tidur, tidurlah berbantalkan beg atau lengan. Jika mahu bersandar, bersandarkanlah belakang isteri atau peluklah lutut sendiri, sambil itu sedarlah diri betapa banyak dosa yang sudah dilakukan.
Suasana malam begitu dingin, menggigit hingga ke tulang. Hanya kepada Allah tempat pergantungan pada malam itu, jadi perbanyakanlah solat dan doa sekalipun diri berada dalam lautan manusia.
Berusahalah untuk menjaga wuduk kerana untuk memperbaharuinya atau ke tandas, selain jaraknya yang jauh, terpaksa menempuh ribuan manusia, kemudian beratur panjang. Bersabar dan terus bersabarlah sepanjang malam itu.
Dalam keadaan sesak itu, untuk bergerak payah. Di depan orang, di belakang orang, di kedua-dua sisi pun orang. Jadi untuk ketenangan diri, berzikir dan terus berzikir sepanjang malam. Penat duduk, baring; penat baring, berdiri sambil menguakkan anggota tubuh.
Pada malam yang dingin itu, akan terasalah seseorang itu akan kekerdilan dirinya. Sedarlah, siapakah dirinya dalam lautan manusia itu. Semuanya sama, yang lelaki berihram putih manakala perempuan berbungkus, bertelekung seperti ketika bersolat.
Angin malam yang menyentuh diri dalam keadaan berihram (hanya dua kain tidak berjahit membalut diri) begitu sejuk terasa. Apabila berpakaian begitu tentulah ada anggota badan terdedah. Misalnya kepala tidak dapat ditutup. Untuk berselimut bagi menahan kesejukan, tidak boleh sebab ketika itu berada dalam ihram. Rasanya sudah tidak tahan berkeadaan begitu, tetapi keyakinan akan janji-Nya membantu memantapkan diri.
Kebanyakan jemaah suami isteri. Jadi boleh luangkan masa untuk makan bersama (makanan ringkas seperti epal) dan berbual-bual, saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Semakin larut malam, suasana semakin dingin. Kabus sudah kelihatan di udara. Jemaah terus mabit, menunggu kedatangan bas untuk mengangkut mereka ke Mina. Sebelum berlepas, jemaah sudah siap mengumpul batu-batu kecil dalam uncang masing-masing.
Saya dan isteri bersyukur kerana giliran kami menaiki bas sebelum detik tengah malam. Dengar khabar ada jemaah yang mendapat bas hampir subuh. Ratusan bas bergerak perlahan-lahan, menyusuri laluan ke Mina di mana jemaah akan ditempatkan di dalam khemah. Saya perhatikan ramai jemaah negara lain seperti Pakistan dan India berjalan kaki saja dalam kegelapan malam, menuju Mina.
Jemaah Malaysia seperti saya tidak selasak mereka. Baru sebahagian malam berembun di Mudzalifah, ramai yang sebelum ini batuk-batuk dan selesema, semakin parah sakit mereka. Senggal-senggal dan lenguh anggota usah cerita.
Bersyukur kepada Ilahi, saya dan isteri tiba di perkhemahan Mina kira-kira jam 3.00 pagi, 10 Zulhijah (Hari Raya Haji). Kami dikira sungguh bernasib baik kerana ada jemaah yang tiba selepas subuh malah ada selepas zuhur. Di Mina, jemaah bermalam dua atau tiga hari, selain bersiap-siap untuk melontar di jamrah.
Ketika berbaring dalam khemah di Mina, terbayang dalam kotak fikiran saya akan kesukaran sesetengah jemaah dalam perjalanan Arafah-Mudzalifah-Mina yang diceritakan oleh ibu saya ketika beliau menunaikan haji.
Katanya, antara masalah terbesar dihadapi jemaah veteran adalah berkaitan buang air kecil dan besar. Bayangkan jika seseorang jemaah yang lemah sistem perkumuhannya, bagaimana dia dapat bertahan sehingga berbelas-belas jam dalam bas. Tiada apa yang dapat dilakukan, kecuali berdoa dan berdoalah agar perkara mengaibkan diri tidak berlaku ketika perjalanan yang amat sukar itu.
Demikian juga apabila berlaku kes kecemasan, seperti jemaah tiba-tiba jatuh sakit kuat atau meninggal dunia dalam bas. Maka terpaksalah pesakit dibantu oleh jemaah lain setakat yang mampu manakala jenazah terus dibawa sehingga bas dapat keluar daripada kesesakan itu.
Demikianlah cabaran Mudzalifah yang perlu dilalui semua jemaah haji kerana mabit di situ adalah salah satu wajib haji, tidak buat dengan sengaja hukumnya berdosa tetapi tidaklah sehingga membatalkan haji, cuma kena bayar denda (dam).
No comments:
Post a Comment