Monday, October 13, 2008

Amalan hipokrit semakin berleluasa

Seorang rakan begitu takut membicarakan persoalan munafik/hipokrit. Katanya, jika kita mendakwa orang lain mempunyai ciri-ciri munafik, diri kita apa kurangnya.

Sebagai contoh, katanya, ambil saja diri kita sebagai pekerja biasa. Kalau waktu mula kerja jam 9.00 pagi, kita datang jam 9.15, kita sudah tidak amanah. Ciri-ciri munafik sudah ada dalam diri kita.

Kemudian ketika bekerja, kita main-main. Itu pun ciri-ciri munafik. Waktu balik kerja jam 5.00 petang, tetapi jam 4.45, kita sudah 'cabut'.

Sekali lagi kita tidak amanah. Itulah sebabnya kawan itu takut membincangkan soal munafik kerana diri kita sendiri pun tidak terlepas daripada ciri-ciri tidak baik ini.

Berhubung persoalan munafik ini, saya tertarik dengan tulisan seorang pembaca dalam akhbar 'The Sun' tidak lama dulu. Penulis bimbang sifat munafik yang semakin berleluasa dalam masyarakat akan menjejaskan masa depan anak-anak.

Antara lain, Noel F D'Oliveiro menulis: "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat kita. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama."

Kita lihat amalan munafik dalam bidang politik. Kita lihat dulu politik antarabangsa.

Biasalah bagi kuasa besar dunia (Amerika Syarikat, Britain dan sebagainya) bercakap hebat mengenai amalan demokrasi dan hak asasi manusia.

Tetapi hakikatnya, mereka tidak pedulikan apa yang mereka hebohkan itu. Kuasa besar ini mahu negara lain mengikut telunjuk mereka. Yang melawan akan menerima padah seperti Iraq, Sudan, Libya atau Iran. Yang tidak melawan seperti sesetengah pemimpin Palestin, juga dipermain-mainkan.

Laungan demokrasi dan hak asasi adalah untuk memuaskan nafsu mereka saja. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mereka wujudkan diperkudakan untuk kepentingan sendiri. PBB dijadikan topeng untuk mengesahkan sifat munafik mereka.

Politik negara kita juga menyaksikan perkara yang sama. Dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui.

Sekatan ceramah, tahanan tanpa bicara (ISA) adalah bukti semakin terhakisnya amalan demokrasi di kalangan rakyat.

Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan menjelang satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik - mungkir janji.

Kemudian kita saksikan gelagat sesetengah tokoh politik dan pemimpin kita yang 'cakap tak serupa bikin'.

Contohnya, seorang pemimpin pernah berkata dia tidak akan balik ke Kuala Lumpur jika partinya tewas dalam satu pilihan raya kecil tetapi nyata dia balik juga. Seorang pemimpin pula berkata, si polan lebam mata disebabkan dia cederakan dirinya sendiri tetapi kemudian ternyata dakwaan itu palsu.

Pembohongan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari.

Kemudian kita lihat pula pembohongan yang dilakukan oleh sesetengah media kita.

Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita.

Contoh klasik pembohongan media ialah mengenai perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada November 2007 dulu. Juga perhimpunan dekat Lebuh Raya Kesas, Klang pada tahun 2000 . Akhbar Melayu melaporkan hanya beberapa ribu orang saja hadir sedangkan akhbar Cina melaporkan puluhan ribu hadir. Gambar-gambar yang disiarkan oleh akhbar Cina membuktikan perkara itu.

Dalam bidang pengiklanan juga berlaku pelbagai pembohongan. Dikatakan sesuatu barangan mempunyai pelbagai keistimewaan sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sekalipun dunia dikatakan sudah sampai ke kemuncak ketamadunan manusia, wanita terus diekspolitasi, termasuk dalam dunia pengiklanan. Kecantikan wanita terus diperdagang sedangkan seluruh dunia dicanang bahawa wanita kini menikmati kehidupan paling bermaruah.

Cuba kita renung dan fikirkan nasib wanita berdasarkan Academy Award bintang-bintang Hollywood baru-baru ini. Kebanyakan gambar artis wanita yang dipancarkan ke seluruh dunia sama ada melalui media cetak atau elektronik, menunjukkan buah dada masing-masing sedangkan pasangan mereka (lelaki) berpakaian serba lengkap.

Artis-artis ini dan kebanyakan pertubuhan wanita dunia menganggap cara hidup ini adalah yang terbaik, sebagai sesuatu yang bertamadun, hakikatnya ia satu langkah menzalimi wanita itu sendiri.

Ironinya, wanita Islam Afghanistan yang memakai burqa dituduh sebagai kolot dan pemerintah yang memaksa pemakaiannya dianggap zalim dan perlu diperangi. Itulah sebabnya Taliban dihancurkan dan hari ini cara hidup Barat dihidupkan kembali di Afghanistan.

Bukankah semua ini menunjukkan manusia amat hipokrit dalam menjalani penghidupan?

Sifat hipokrit/munafik paling besar adalah berkaitan agama. Selalunya kita dengar seruan seperti 'hayati Islam sepenuhnya' atau 'jadikan al-Quran panduan' tetapi apabila ada pihak mahu melaksanakan hukum-hakam Islam seperti hudud, banyak pula alasan pihak yang membuat seruan itu.

2 comments:

cakapaje said...

Assalamu'alaikum Haji!

Alhamdulillah, akhirnya jumpa gak blog Haji. Saya minta izin untuk merujuk dan perluaskan blog Haji pada teman lain ye.

ps. Saya cuma social blogger je.

Lanh Sr. said...

waalaikumusalam, terima kasih cakapaje, dipersilakan, macam allahyarham mahmud june cakap dalam filem si badul, kecil tapak tangan, lori jkr aku tadahkan, bukan saya tengok ceita si badul, tetapi tertengok iklannya di TV.