Friday, November 30, 2018

Jangan lari... (19): Perlukah 'berbogel' apabila bersukan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
SESEKALI ketika menghadiri kelas-kelas agama hatta mengikuti rancangan agama di radio atau televisyen, terasa diri 'terpukul' dengan 'kebodohan' dan 'kejahilan' diri sendiri dan masyarakat dalam melayari kehidupan dunia fana ini.
Pada suatu ceramah, seorang ustaz menyentuh bab sukan - katanya 'apa ke bendanya' ketika suatu-suatu temasya sukan terutama yang 'besar-besar' bermula dengan larian membawa obor. "Ini budaya mana ni?" katanya.
Sang ustaz berkata: "Upacara membawa lari api dan menyalakan api dalam acara sukan adalah daripada ajaran Majusi, dan jika diikuti oleh orang Islam boleh merosakkan akidah..."
Yalah, orang Greek, Yunani, orang Majusi berlari membawa api atau menyembahnya...jadi tak jahilkah kita jika sama-sama hidupkan budaya mereka?
Syukur alhamdulillah, baru-baru ini kita mendengar kerajaan negeri Terengganu akan mengemukakan sukan mengikut kehendak agama seperti melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri itu bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran termasuk dalam aspek sukan bagi memastikan ia bertepatan dengan tuntutan agama Islam.
Lebih 10 tahun lalu Ruqaya Al-Ghasara, atlet Qatar melalui Sukan Asia telah membuktikan pemakaian menutup aurat (hijab) tidak menghalang beliau bersukan malah bergelar juara pula. Ruqaya adalah sebutir permata yang bersinar dalam selutan lumpur. Mungkin ada seorang Ruqaya dalam 1,000 atau satu juta insan yang mendabik dada mengaku Muslim.
Ruqaya yang aktif membabitkan diri dalam masyarakat adalah lebih baik daripada Ruqaya yang beruzlah - menjalankan tanggungjawab agama tetapi menyepikan diri, tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Penulis percaya untuk menjadi Ruqaya yang muncul di kaca TV dan dada-dada akhbar sebagai seorang juara lengkap dengan identiti Muslimahnya, pasti melalui 1,001 ranjau dan duri. Biarlah Ruqaya menjadi idola baru, menjadi contoh kepada anak-anak termasuk anak gadis penulis sendiri dalam bidang sukan. Tidak salah untuk bersukan - renangkah, gimramakah, larian pecutkah, bola jaringkah, bola tampar pantaikah - semuanya boleh dengan syarat mematuhi syariat agama.

Dulu ketika remaja, penulis seronok melihat aksi sang juara badminton, Misbun Sidek. Tetapi ketika asyik menyaksikan pukulan pancung jagoan badminton dari Banting ini, terfikir pula penulis alangkah bagus jika Misbun pakai seluar panjang. Kalau pakai seluar panjang, aurat dapat jaga, juara pun boleh dapat. Pada fikiran penulis, sebagai juara tentulah Misbun ada suara untuk memakai pakaian menutup aurat. Ketika 'top', dia boleh 'demand', tentulah pegawai-pegawai sukan dan penganjur kejohanan akan ikut cakapnya. Penulis fikir Misbun layak berseluar panjang sebab ketika dia 'top' dulu ramai orang cakap Misbun ini warak orangnya. Kalau dah warak, tentulah dia akan fikirkan penampilannya.

Demikian juga masa bersukan. Kalau dah warak, takkan boleh 'start' permainan jam 7.00 malam. Solat maghrib bagaimana? Masa tengah 'top' buatlah 'demand'. Desak agar permainan dimulakan lebih lewat lagi bagi memberi peluang pemain, pegawai dan penonton Muslim untuk solat. Tetapi ahli sukan Muslim kita tidak buat begitu, tidak 'demand', jadi dari dulu sampai sekarang ada permainan bermula jam 7.00 atau 8.00 malam.

Atlet atau sesiapa saja yang terbabit dalam sukan, kalau ada semangat keislaman seperti Ruqaya, tentulah hal ini dapat diatasi. Kecintaan mereka untuk menunaikan suruhan agama akan mencairkan pembuat dasar dan peraturan yang bersikap kuku besi.

Hakikatnya dalam kehidupan harian seorang Muslim, kebanyakan daripada kita pandai 'menyesuaikan' dirinya dengan suasana, hidup bagaikan sumpah-sumpah. Apabila suasana memerlukan kita jadi baik, maka kita jadi baik. Tetapi apabila suasana memerlukan kita jadi jahat, kita pun jadi jahat.

Ambil kisah haji dan umrah sebagai contoh. Semua jemaah baik-baik belaka. Semua bertudung litup. Yang lelaki pula ramai yang berjubah macam syeikh Arab. Tidak ada yang dedah aurat.

Tetapi apabila kembali ke tanah air, lain halnya. Ada sesetengah itu, sudah tidak lagi memakai tudung. Bukan saja tidak bertudung, ada yang berani dedah sana, dedah sini. Di Makkah kenapa tak buat benda yang sama, bukankah Tuhan itu ada di mana-mana saja.

Di masjid orang patuh suruhan agama. Yang perempuan bertudung. Yang lelaki juga menutup aurat. Tiada orang perempuan yang pergi masjid dalam keadaan 'togel'. Tetapi itu di masjid saja. Keluar masjid, seolah-olah peraturan agama sudah tak ada lagi.

Orang pergi kelas agama pun baik-baik belaka. Tetapi kenapa di kelas agama saja, tidak di pejabat dan tempat lain seperti pasar, kompleks beli belah dan stesen bas dan jalan raya.

Kerana mengamalkan hidup bagai sumpah-sumpah ini, ketika membicara hal agama, kita macam orang baik-baik tetapi di pejabat dan jalan raya, kita melakukan perkara mungkar seperti rasuah. Kemungkaran ini berleluasa seolah-olah agama itu terkurung dalam masjid, dalam amalan khusus seperti solat, haji dan puasa. Selain daripada itu, kita tidak terikat kepada hukam-hakam agama.

Berhubung tindakan terpuji Ruqaya, penulis syorkan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya memperjuangkan hak wanita Islam untuk berpakaian serupa (menutup aurat) dalam kejohananan antarabangsa lebih besar seperti Sukan Dunia, Olimpik dan Komanwel. Kalau hal ini pun tidak dapat diperjuangkan oleh OIC, entahlah, OIC mahu perjuangkan apa agaknya? JANGAN LARI daripada tanggungjawab ini!

Thursday, November 29, 2018

Bina bangunan untuk keselesaan bukan menyombong diri

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

ALHAMDULILLAH baru-baru ini saya dan isteri berkesempatan menghadiri majlis konvokesyen seorang anak kami di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. 

Sebelum penyampaian skrol kepada graduan, Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berucap; salah satu isu disentuh beliau adalah kepentingan pelestarian alam sekitar dalam pembinaan bangunan.

Beliau berkata sekarang ini sudah timbul kesedaran untuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan...yalah bagaimana datuk nenek kita dulu membina bangunan yang mesra alam tetapi hari ini hampir semuanya bersifat komersial - yang dipentingkan keuntungan lantas mengetepikan keselesaan penghuni apatah lagi alam semula jadi.

Lantas Rektor UIAM itu menggesa graduan seni bina UIAM bersedia menyumbang pemikiran dan tenaga semampu mungkin dalam menjadikan pembinaan bangunan sebagai benar-benar bermanfaat bagi semua pihak termasuklah dari segi pelestarian alam sekitar.

Bercakap mengenai pembinaan bangunan ini, saya teringat sebuah rencana televisyen yang saya tonton baru-baru ini menunjukkan sejumlah negara Arab/Islam sedang 'bertarung hebat' bagi membina pencakar langit super - insya-Allah tidak lama lagi Jeddah Tower di Arab Saudi akan disiapkan - ketinggiannya adalah 1,000 meter = 1 kilometer menjulang ke langit mengatasi Burj Khalifa di Dubai (UAE) yang tingginya 828 meter.

Malaysia pun tidak kurang hebat, banyak pencakar langit sudah dan sedang dibina; Menara Kembar Petronas dengan ketinggian 452 meter pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dulu.

Apa yang menarik dalam rencana ini, pengkritik bertanya "apakah banyak faedah" negara Arab/Islam membina bangunan-bangunan hebat ini dengan kos berbilion-bilion dolar Amerika sedangkan wang yang banyak itu dapat dimanfaatkan untuk membantu ramai umat Islam yang hidup menderita di seluruh dunia. Adalah diketahui umum, sejumlah negara Islam terletak di bahagian bawah senarai negara termiskin dunia.

Pengkritik mendakwa pihak membina bangunan hebat ini adalah untuk menyombong diri sedangkan keperluan sebenar kewujudan bangunan ini adalah tidak mendesak. Kos untuk menyelenggara bangunan super tinggi adalah tersangat mahal manakala pengguna dan premis perlu disesuaikan dengan persekitaran - misalnya udara dan tekanan di puncak yang terletak satu (1) kilometer ke atas adalah tidak sama di permukaan bumi.

Kembali kepada isu pembinaan bangunan terutama rumah kediaman di negara kita, antara isu terhangat sekarang adalah kecenderungan pemaju mengejar untung berlipat ganda bukan membina rumah ikut kemampuan rakyat. 

Baru-baru ini didedahkan bahawa sebahagian besar daripada rumah-rumah tidak terjual di seluruh negara terdiri daripada rumah yang berharga RM250,000 dan ke atas dengan nilainya mencecah RM22.5 bilion. Ertinya pemaju membina rumah bukan untuk didiami rakyat kebanyakan tetapi untuk mereka 'mampu lihat' saja!

Rumah berharga RM250,000 di bandar besar mungkin kecil saja dari segi saiznya tetapi bagi rakyat kebanyakan harganya terlalu tinggi dan di luar kemampuan mereka...ya bank pun tidak mahu membiayai pembeliannya bagi orang awam yang bergaji atau berpendapatan kecil.

Dulu pun sebuah kajian oleh Khazanah (Institut Penyelidikan Khazanah - KRiS) menyatakan rumah-rumah di Malaysia berharga berganda lebih mahal daripada kediaman di Singapura hatta di Amerika Syarikat dari segi perbandingan gaji.

Menurut penemuan KRiS dalam bukunya bertajuk 'The State of Households' (Keadaan Isi Rumah) rumah-rumah di Malaysia berharga 5.5 kali ganda daripada pendapatan median tahunan (annual median income), menjadikannya berganda lebih mahal daripada kediaman hatta di Singapura dan Amerika Syarikat. 

Berdasarkan senario sekarang ini, saya berpendapat adalah sangat relevan apa yang diperkatakan Prof Dr Dzulkifli pada konvokesyen UIAM itu - semua pihak perlu merujuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan-bangunan kita terutama rumah kediaman. Ya, kita tak perlu terikut-ikut negara lain atau 'menyombong' dalam membina rumah atau memilikinya (seperti sesetengah negara Arab/Islam yang membina menara super) tetapi apa yang kita mahukan semua pihak 'berada dalam keadaan selesa'.

Penulis sebagai 'orang asing' dalam ilmu seni bina dan pembinaan tidak dapat membincangkan lebih lanjut mengenai hal ini tetapi menyerahkannya kepada profesional di bidang ini seperti arkitek, perancang dan jurutera untuk menilai, mengkaji serta mengaplikasikan pandangan serta cadangan yang diutarakan oleh Rektor UIAM itu.

Friday, November 23, 2018

Jangan lari... (18): Negara berjaya jika pemimpin, rakyat bertakwa

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
ENAM bulan selepas pemerintahan negara bertukar tangan - daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (Harapan), keluh kesah rakyat semakin berat - yang terbaru di kalangan golongan muda yang kurang senang dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Berhubung perkara ini saya teringat antara ungkapan terbaik seorang sarjana Islam, Abul A'Ala Maududi bahawa tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.   

Maududi berkata kuasa mutlak hak Allah...kita jangan cuba sesekali LARI daripada hakikat ini. Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah. 

Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. 

Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan. 

Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. 

Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. 

Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin. 

Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut. 

Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya. 

Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah). 

Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah. 

Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran. 

Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri. 

Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah. 

Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini. 

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam. 

Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat. 

Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. 

Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. 

Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. 

Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. 

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. 

Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. 

Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. 

Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. 

Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. 

Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. 

Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. 

Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. 

Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. 

Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. 

Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. 

Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. 

Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik.

Wednesday, November 21, 2018

Semarakkan lagi semangat Ali, Ah Kau, Muthu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


SEMPENA cuti Deepavali, saya sekeluarga pergi bercuti; alhamdulillah kami dapat menginap di sebuah rumah inap (homestay) di Sekinchan, Selangor. Kediaman ini terletak di lokasi 'lain daripada biasa' iaitu di tengah-tengah sawah; jadi banyaklah pengalaman termasuk yang mencuit hati dapat dirakam dan dicatatkan.

Suatu awal pagi selepas solat subuh, saya berjalan bersendirian berkilometer jauhnya...menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa terutama sang mentari yang mula menyinar. Pemandangan sawah padi yang luas terbentang dengan barisan rimpunan pokok padi sedang 'membunting' dan ada yang 'menerbitkan hasil', begitu mempersonakan.

Penanaman padi di Sekinchan ini begitu sistematik sekali - saya perhatikan ada papan tanda nama pada sejumlah petak padi termasuk disertakan nama petani, jenis padi dan tarikh padi mula ditanam. Hampir semua nama petani adalah orang Tionghua manakala bakinya adalah syarikat-syarikat.

Ya, hebat petani Cina Sekinchan menanam padi. Kesungguhan mereka dapat dirasai apabila saya melihat ada tali air (terusan) yang turut ditanam pohon padi. Kelihatan barisan panjang pohon padi sejajar dengan tebing terusan. Pendeknya petani memanfaatkan sepenuhnya kawasan bagi mendapatkan hasil yang banyak dan terbaik. Syabas petani-petani Cina Sekinchan!

Terfikir di benak saya, alangkah bagus jika bangsa-bangsa yang ada di tanah air kita dapat memanfaatkan (berkongsi) pengetahuan dan pengalaman...di sini pesawah Melayu mungkin dapat belajar sesuatu daripada petani Cina di Sekinchan iaitu bagaimana menghasilkan padi bermutu tinggi dan banyak pula secara sistematik. Saya tidak bermaksud pesawah Melayu 'tidak bagus' (di Kedah sawah petani Melayu adalah lebih besar saiznya) tetapi, ya tak salahkan  untuk saling belajar dan mengajar...

Demikianlah...dengan wujudnya pelbagai bangsa di tanah air kita apatah lagi pada era Malaysia Baharu sekarang ini, setiap kaum perlu membuka hati dan minda untuk menghebat atau menyemarakkan lagi semangat 'kekitaan kita' sebagai rakyat Malaysia. Alangkah indahnya jika Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain dapat saling tolong menolong dalam memajukan negara.

Berkenaan perkara ini, teringat saya akan buku-buku teks sekolah saya pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kerap memaparkan watak Ali, Ah Kau dan Muthu sebagai lambang perpaduan kaum. Kini dengan terciptanya Malaysia Baharu; 'semangat' Ali, Ah Kau dan Muthu boleh di-'upgrade'-kan ke peringkat lebih hebat agar Malaysia menjadi negara yang rakyatnya dikagumi di persada antarabangsa.

Saya juga teringat akan novel Melayu pertama ditulis oleh orang Tionghua. Ya novel 'Hidup Antara Duri' yang ditulis oleh Chong Chee Seong pada 1969 adalah lambang kerukunan hidup orang Melayu-Cina

Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan 50 tahun lalu.

Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.

'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.

Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.

Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu. Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.

Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Hari ini Malaysia Baharu memerlukan seramai mungkin
 Ang Chow, Hitam dan Pak Samad (Ali, Ah Kau dan Muthu) bergandingan tangan bagi melonjakkan negara ke tahap tertinggi!

Friday, November 16, 2018

Jangan lari... (17): Jadilah bapa bertanggungjawab bukan popular

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
SEKARANG ini universiti tempatan mengadakan konvokesyen masing-masing. Ibu bapa diundang untuk menyaksikan 'kemuncak kejayaan' anak masing-masing. Saya dan isteri turut terbabit. Alhamdulillah seorang anak gadis kami menerima skrol ijazahnya selepas empat tahun berjuang di menara ilmu.
Tahniah kepadanya - dengan penerimaan ijazah ini dan memasuki dunia pekerjaan; bermakna seorang lagi anak kami akan 'berpergian jauh'...biarlah dia berterbangan bagai burung membina kehidupan sendiri. Insya-Allah apabila kahwin nanti, dia akan 'terbang' lebih jauh lagi...
Namun sebagai bapa, tanggungjawabnya tidak tamat di situ. Anak yang sudah bekerja atau kahwin pun perlu dipantau - pastikan dia terus menjalani kehidupannya sebagai seorang Muslim yang lurus dan taat terutama dalam bab akidah dan ibadah seperti solat yang menjadi tiang agama.
Dalam sesebuah keluarga, bapa bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Dia adalah ketua keluarga. Bertanggungjawab terhadap mereka di dunia supaya bahagia di akhirat. Dalam Surah at-Tahrim ayat 6, Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." 
Pendidikan untuk si anak bermula awal, ada sarjana menyatakan ketika seseorang bayi dikandung manakala ada pula menyatakan tatkala memilih calon isteri. Tentunya pada peringkat awal perkahwinan, hanya ada suami dan isteri. Terpulanglah kepada si suami sama ada mahu menjadi popular (disenangi) isteri atau menjadi suami bertanggungjawab sekali gus menyelamatkan isterinya daripada ceburan api nereka. 
Seorang suami jika mahu popular atau dalam istilah orang sekarang 'abang begitu sporting' kepada isterinya, berilah kebebasan sepenuhnya kepada isteri. Jika isteri mahu keluar rumah berjumpa temannya tidak kira lelaki atau perempuan, biarkan; usah ditanya ke mana dia pergi. Jika dia keluar rumah tanpa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya seperti yang biasa dilakukannya sebelum berkahwin, biarkan. Ini kerana jika si suami cuba menghalang isteri daripada berbuat demikian, dia tidak lagi jadi popular malah ada kalanya menjadi bahan kemarahan. 
Kemudian berilah peruntukan (wang) yang besar kepada isteri. Apa isteri nak buat atau belanjakan wang itu biarkan. Jika isteri meminta diberikan cincin emas dan permata yang harganya tidak mampu dibiayai dengan wang gaji, usahakan untuk menjayakannya, hatta sehingga terpaksa makan wang rasuah pun tak apa. Ikutlah semua cakap isteri, pasti dia bertambah popularlah si suami. Namun insafilah, bapa kita Nabi Adam a.s. pun 'tergelincir' sebahagiannya disebabkan godaan dan rayuan isteri tercinta Hawa untuk makan buah larangan.
Si isteri pasti sentiasa mahu suami berada di sampingnya, jadi tak payahlah si suami pergi solat berjemaah di masjid; tak payahlah hadiri kelas pengajian di masjid; tak payahlah sertai jemaah memperjuangkan Islam apatah lagi berjihad di jalan-Nya. Jika dibuat semua ini pasti si suami akan menjadi popular di hati isterinya. Si isteri pula tak payahlah diminta ke masjid untuk mengikuti kelas pengajian kerana ia akan membuatkan si suami tidak popular. 
Sebaliknya biarkan si isteri bermalas-malasan menonton filem Hindustan, dari pagi sampai malam. Apabila sudah beranak pinak, untuk menjadi popular berikan anak wang belanja yang besar, sediakan pelbagai kemudahan kepada mereka. Apa yang anak-anak buat dengan duit itu biarkan kerana dengan itu si bapa akan popular di hati anak-anak. 
Jika anak-anak tidak menunaikan ibadat seperti solat atau puasa, biarkan kerana dengan menyuruh mereka, si ayah akan mengundang kemarahan mereka dan menjadi tidak popular. Jika anak-anak mula merokok biarkan kerana jika ditegur bapa akan tidak menjadi popular. Bapa tak 'sporting', kata mereka. Jika anak-anak sudah lebih teruk lagi seperti mengambil minuman keras dan main judi, biarkan kerana bapa 'sporting' akan popular di kalangan anak-anak. 
Bapa bertanggungjawab yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan biasanya tidak popular di kalangan anak-anak. Asyik-asyik ajak sembahyang, kata mereka; tetapi percayalah kesannya tersangat hebat. 
Apabila seorang anak itu sudah dewasa lebih-lebih lagi jika si bapa sudah meninggal dunia, barulah dia menghargai kesungguhan si bapa termasuk sentiasa teringat bagaimana dia dirotan tatkala tidak solat; sesungguh bapa yang tidak popular itulah yang berjuang bermati-matian menyelamatkannya daripada diceburkan ke dalam api neraka.