Wednesday, June 22, 2011

Jualan langsung: Satu pandangan kritis

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya tidak mahu untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh." (Al-Quran, Al-Ahzab: 72)
***

BARU-BARU ini saya menghadiri Malam Penganugerahan 2011 sebuah syarikat jualan langsung terkemuka. Terpegun saya menyaksikannya, termasuklah acara persembahan; tepat jangkaan saya sebahagian besar insan yang bertugas di firma swasta mempunyai idea sangat kreatif kerana itulah salah satu modal dalam persaingan sengit dunia korporat.

Pada peringkat awal majlis yang bermula jam 7.00 malam itu, antara lain mengetengahkan rombongan perarakan kereta mewah, sekali gus menepati salah satu cirri berjaya yang dicanangkan syarikat iaitu kaya, berwang, memiliki kereta mewah dan percutian ke destinasi antarabangsa .

Bagi pemimpin syarikat berkenaan semua ini boleh menjadi kenyataan dengan mereka yang sudah berada di kemuncak kejayaan, berusaha membantu insan-insan yang berimpian agar sama-sama menikmati pencapaian tahap tertinggi.

Namun penerajunya sendiri mengaku di sebalik malam mengiktiraf kekayaan itu, bukan semua peserta syarikat jualan langsung berjaya ke kemuncak takhta; ada yang hanya setakat suka-suka, lemah semangat dan patah hati, lantas terus dilupakan berdasarkan peredaran masa.

Terpegun saya menyaksikan perarakan masuk ratusan para pengedar yang sudah mencipta nama; kebanyakan mereka berpasang-pasangan, berpakaian hebat, berpimpinan tangan, mungkin suami isteri, dengan wajah berseri-seri jelas kelihatan apabila lampu sorot dihalakan ke arah mereka.

Peserta lelaki kebanyakannya berkot hitam manaka pasangan mereka mengenakan pakaian bergemerlapan sama ada fesyen potongan moden, berbaju kurung atau berkebaya. Hampir semuanya bertudung litup, menunjukkan mereka orang Melayu/Islam.

Apabila semua sudah mengambil kedudukan masing-masing, majlis diisi dengan ucapan oleh beberapa pemimpin syarikat yang semuanya daripada satu bangsa saja. Antara ungkapan yang tertancap dalam minda saya adalah: “……masukkan dalam jiwa anda,” dan “percayalah kepada……”

Begitu berkocak hati saya mendengar pesanan itu, setahu saya yang patut ditanam dalam jiwa kita terutama anak-anak kecil adalah “masuk dan tanamkan kebesaran Allah dalam jiwa (hati) kita dan “tidak ada apa lain yang aku percaya melainkan kepada apa yang dibawa oleh junjungan Rasul” dan bukannya benda-benda material dan bersifat baharu (boleh musnah) seperti disebutkan.

Selepas ucapan pemilik dan peneraju syarikat dan beberapa persembahan, tibalah giliran pengedar yang mendapat pengiktirafan tertinggi memberikan ucapan. Seorang hajah menceritakan bagaimana beliau sanggup meninggalkan profesion perguruan bagi mengejar impiannya dalam dunia jualan langsung.
Katanya, jika dulu pendapatannya RM3,000 sebulan, kini dia meraih RM30,000. Katanya; “Saya memang mampu, tuah ayam nampak di kaki, tua manusia perlu diusahakan. Apabila kita lakukan yang biasa-biasa saja kita tidak akan jadi luar biasa.”

Memang, bekas pendidik ini sudah berada dalam kedudukan luar biasa. “Pasir yang kugenggam, kini sudah menjadi permata,” katanya. Yalah, apa yang tidak jadi permata kerana sekarang beliau sudah mempunyai kereta BMW dan Mercedes, pendapatan lima angka dan saban bercuti ke luar negara.

Demikianlah, bukan saja guru; kakitangan kerajaan, pekerja kilang, malah doktor pun ramai yang meninggalkan pekerjaan asal mereka untuk membabitkan diri dalam jualan langsung kerana ia menjanjikan kekayaan dan kemewahan.

Ya, setiap orang mempunyai matlamat, cita-cita dan impian masing-masing. Lantas, lakukan apa saja asalkan ia tidak menyalahi hukum negara apatah lagi hukum agama. Setiap orang berhak berada di puncak jaya – berwang ‘lebat’ ataupun hidup mewah, tetapi pada pandangan hamba (penulis) yang fakir ini, kebahagiaan bukanlah berpaksikan kepada perkara-perkara material yang dinyatakan.


Ambil contoh seorang guru yang telah meninggalkan tugas mulianya bagi mendidik anak bangsa. Segala material yang diraih sebenarnya tidak dapat menandingi kebahagiaan duniawi dan akhirat yang dijanjikan bagi membuka minda manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Apapun seorang guru yang meninggalkan terus profesion perguruan adalah lebih baik daripada mereka yang masih bergelar pendidik tetapi mencuri-curi masa terbabit dalam dunia jualan langsung. Sekalipun masa digunakan mungkin di luar waktu persekolahan, namun tumpuan mendidik anak murid sudah tersasar kerana keletihan.

Akhir sekali, sedarlah wahai saudara-saudariku, siapa sebenarnya yang anda untungkan daripada jualan langsung ini? Anda menjayakan impian kapitalis non-Muslim yang jelas meracuni pemikiran anda dengan persembahan dan penampilan gadis –gadis dedah belakang sedangkan kebanyakan anda (muslimah) bertudung litup.

Anda tidak menambah produk Muslim di pasaran atau memajukan ekonomi orang dan dunia Islam sebaliknya meraih kekayaan dan kemasyhuran untuk diri sendiri dan orang-orang sealiran di sekeliling anda. Maaflah, jika hamba yang fakir ini tersilap dan terkasar bahasa dalam menegakkan hujah usang ini semata-mata kerana ingin melihat orang Islam berjaya di dunia dan akhirat, insya-Allah.

2 comments:

abu muaz said...

benar sekali tuan.

Lanh Sr. said...

terima kasih saudara muaz