Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas jnjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya baslasan amal kamu di dunia kamu dahulu."
***
LAMAN ini lama saya tidak kemaskini kerana saya berada di bumi India. Sebagai peminat sejarah, saya mengikuti penuh minat pengkisahan penyebaran Islam ke rantau yang jauh dari Tanah Arab seperti Khurasan (kini Uzbekistan dan jiran-jirannya); China, India dan Nusantara.
Di Khurasan saya sudah mengunjungi makam tokoh terbabit mengIslamkan penduduk di rantau itu. Beliau adalah Khussam ibn Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Makamnya terletak di Samarkand, Uzbekistan. Seorang lagi tokoh Islam termasyhur di rantau ini adalah Imam Bukhari. Makamnya juga terletak tidak jauh dari Samarkand (beliau lahir di Bukhara), Uzbekistan juga sudah saya kunjungi.
Selain Khussam, sejumlah lagi sahabat Rasulullah s.a.w. telah bergerak lebih jauh termasuk menggunakan Jalan Sutera hatta seorang tokoh, Saad ibn Waqqas dikatakan berjaya sampai ke Canton (Guangzhou, China) dan memulakan perkampungan Islam di sana.
Di bahagian selatan laluan Sutera, penyebaran Islam juga bergerak pantas; seorang tokoh yang dikatakan berperanan besar dalam perkembangan Islam di benua kecil India yang kini merangkumi negara moden India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan Sri Lanka adalah Mahmud Ghaznawi (Ghazni).
Walaupun sebelum Mahmud Ghazni (memerintah kerajaan Ghazni pada 997-1030 Masihi), telah terdapat kerajaan Islam silih berganti berkuasa, beliaulah tokoh terulung terbabit dalam penyebaran agama Islam di India selepas berjaya merentasi Pergunungan Kyber (Khaibar) melalui Genting (Pass) Kyber seterusnya memasuki benua kecil itu.
Hari ini berdiri megah di laluan Kyber Pass adalah pintu gerbang Mahmud Ghazni, lambang kemasukan Islam ke bumi India. Penulis yang berpeluang mengikuti laluan Kyber Pass ini yang terletak di sempadan Afghanistan-Pakistan sedikit masa dulu mendapati ia laluan curam dan sukar (bagi kenderaan bermotor seperti jip dan pacuan empat roda), jadi dapat dibayangkan bagaimana kesukaran pasukan Mahmud Ghazni melaluinya 1,000 tahun lalu dengan hajat menyebarluaskankan Islam ke bumi India.
Selepas kerajaan Ghazni tumbang, muncullah sejumlah kerajaan-kerajaan Islam memerintah benua kecil India silih berganti sehinggalah kepada empayar Islam terakhir iaitu Mughal (Moghul).
Mengenai empayar ini, Wikipedia merekodkan: “Empayar Mughal, (Mughal Baadshah, atau sebutan lainnya Moghul) adalah sebuah kerajaan yang pada masa kemuncaknya memerintah Afghanistan, Balochistan, dan kebanyakan anak benua India antara 1526 dan 1857. Kerajaan ini didirikan oleh pemimpin Mongol, Babur, pada 1526, ketika dia mengalahkan Ibrahim Lodi, Sultan Delhi terakhir pada Pertempuran Pertama Panipat.
Perkataan mughal adalah versi Indo-Aryan daripada Mongol (Ertinya orang Mughal berasal daripada keturunan Mongol yang rajanya terkenal sepanjang zaman seperti Genghiz Khan dan Kublai Khan. Raja mereka Hulago Khan menyerang dan menghancurkan Baghdad, ibu kota Abasiyah pada 1258 Masihi. Ramai yang memeluk Islam selepas melihat kehebatan amalan orang Islam).
Kerajaan ini sebahagian besar ditakluk oleh Sher Shah ketika masa Humayun, namun di bawah Akbar, kerajaan ini berkembang pesat, dan terus berkembang sampai akhir pemerintahan Aurangzeb. Jahangir, anak Akbar, memerintah kerajaan ini antara 1605-1627. Pada Oktober 1627, Shah Jahan, anak daripada Jahangir mewarisi takhta dan kerajaan yang luas dan kaya di India. Pada abad tersebut, empayar ini mungkin merupakan kerajaan terbesar di dunia. Maharaja Mughal Shah Jahan, memerintahkan pembinaan Taj Mahal antara 1630-1653 di Agra, India.
Setelah kematian Aurangzeb pada 1707, kerajaan Mughal mulai mengalami kemunduran, walaupun masih berkuasa selama 150 tahun berikutnya. Pada 1739, empayar ini dikalahkan oleh pasukan dari Parsi yang dipimpin oleh Nadir Shah. Pada 1756, pasukan Ahmad Shahmenceroboh Delhi sekali lagi. Empayar British akhirnya membubarkannya pada 1857.”
Pada zaman Moghul ini; umat Islam di rantau lain juga menguasai wilayah yang amat luas. Di Timur Tengah dan Eropah Timur dan Afrika Utara, rantau berkenaan dikuasai kerajaan Uthmaniyah (1299-1923) manakala di China, dinasti Ming yang memerintah ketika itu (1368-1644) sesetengah rajanya dikatakan beragama Islam dengan laksamana armada lautnya Cheng Ho terkenal di serata dunia Islam; manakala di Alam Melayu, empayar Aceh berkembang maju, selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Ertinya dunia pada masa itu dikuasai oleh umat Islam, tetapi mengapa empayar Islam termasuk Moghul yang hebat itu tumbang jua akhirnya?
No comments:
Post a Comment