***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Kecurangan Mengambil Tanah Jiran
Daripada Abu Malik al-Asya'i, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kecurangan paling besar menurut pandangan Allah ialah sejengkal tanah. Kamu melihat dua orang yang tanahnya atau rumahnya bersempadanan. Kemudian salah seorang daripada keduanya mengambil sejengkal daripada milik saudaranya itu. Maka jika dia mengambilnya, akan dikalungkan kepadanya daripada tujuh lapis bumi pada hari kiamat." (HR Ahmad) - Hidayah Jun 2011
***
KETIKA saya diajar mata pelajaran Tawarikh (Sejarah) semasa dalam darjan empat pada tahun 1972, ada satu topik mengenai Gautama Buddha. Anak raja ini dikatakan hidup mewah dalam istana lengkap dengan taman saujana mata memandang sehingga beliau tidak mengertai apa itu penderitaan dan kesusahan. Ketika berada di bumi India, dapatlah saya bayangkan betapa pengasas agama Buddha ini berada dalam kawasan penuh kemewahan, tidak mengerti penderitaan rakyat kebanyakan kerana istananya dibentengi tembok tinggi.
Suatu hari Gautama secara tidak sengaja telah bergerak melampaui tembok berkenaan dan terlihatlah dia penderitaan, kematian dan kesusahan. Hal ini menginsafkannya sehingga akhirnya dia menjadi orang penyelamat golongan miskin dan sengsara. Hari ini di kebanyakan tempat di bumi India, kedapatan tembok-tembok pemisah.
Di Delhi, tersergam gagah Red Fort (Kubu Merah) yang didalamnya didiami oleh pembesar ketika kekuasaan Maharaja Moghul. Istana, taman malah perkuburan – kebanyakannya dikelilingi oleh tembok; memisahkan golongan berada daripada golongan marhaen dan gelandangan.
Jika dulu, tembok jadi pemisah golongan berada dan miskin, hari ini (berdasarkan pengalaman saya selama beberapa hari di Delhi, Agra dan Kashmir), salah satu pemisahnya (mungkin pandangan saya ini kurang tepat) adalah penggunaan bahasa. Orang berada dan berpendidikan tinggi kebanyakannya berbahasa Inggeris sedangkan untuk berkomunikasi dengan rakyat marhaen tidak mudah kerana mereka tidak tahu bahasa ini.
Seorang penduduk memberitahu saya sistem pendidikan di India adalah berpaksikan bahasa Inggeris. Hanya sekolah swasta termasuklah sekolah aliran agama seperti Kashmir menggunakan bahasa lain termasuk Arab. Memang sukar untuk menyatu-padukan penduduk India yang berjumlah 1.5 bilion itu dengan pelbagai rencah dan ragam itu dengan satu bahasa, jadi bahasa Inggeris didapati jalan penyelesaian paling baik dalam sistem pendidikannya.
Namun pendidikan dalam bahasa Inggeris melahirkan jurang kaya miskin yang semakin hebat. Sekalipun India muncul sebagai antara negara berteknologi tinggi paling hebat di dunia termasuk mampu menghasilkan senjata nuklear, golongan gelandangannya mungkin antara yang teramai di dunia. Kini semakin banyak kota berteknologi tinggi seperti Bangalore yang dikatakan lembah silikon India, muncul tetapi penduduk merempatnya gagal dikurangkan sebaliknya meningkat dengan pesat. Kunjungan ke tempat tumpuan ramai akan disambut pengemis dan penjual jalanan yang terlalu ramai. Jika seorang dilayan, akan muncullah ramai lagi.
Seorang profesor pendidikan memberitahu saya sedikit masa dulu bahawa India adalah contoh kegagalan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Anak-anak golongan miskin terus tertinggal sedangkan anak orang kaya mempunyai peluang sangat luas kerana kemampuan mereka berbahasa Inggeris. Hasilnya lahirlah jurang miskin dan kaya yang semakin melebar di negara demokrasi terbesar di dunia ini.
No comments:
Post a Comment