***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Rabb-nya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahkan tiada ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (QS: Ali Imran: 169-170)
***
APABILA kapal terbang tambang murah GoAir (semacam AirAsia) selamat mendarat di Lapangan Terbang Srinagar, saya yang menjengok dari tingkap, dapat melihat huruf 'jawi' (Arab) beserta dengan tulisan 'rumi' Srinagar dan 'India' (saya tidak tahu bahasa apa) pada papan tanda besar lapangan terbang itu.
Terdetiklah di hati saya, mungkinkah tulisan 'jawi' itu adalah huruf bahasa orang Kashmir (yang kemudiannya yang tahu Kashmiri) mempunyai ikatan yang kuat dengan bahasa Arab, sekali gus menunjukkan bahawa Islam adalah dominan di negeri India paling utara ini. Selain bahasa Kashmiri itu, sesetengah orang Kashmir berbahasa Urdu iaitu yang sama digunakan di Pakistan.
Baiklah, sebelum saya menceritakan apa yang saya lihat dan alami seterusnya di bumi Kashmir, tergerak di hati ini untuk menyatakan apa yang saya dengari dalam pesawat GoAir dari New Delhi ke Srinagar (juga dikenali sebagai Iqbalabad) itu yang berhenti sebentar (transit) di Lapangan Terbang Jammu.
Ketika pesawat bersiap sedia berlepas, selain 'pertunjukan biasa' pramugari mengenai prosedur keselamatan, terdengar nyaring pengumuman dalam bahasa Inggeris: "Tuan Puan diingatkan bahawa minum (mengambil minuman keras) dan merokok adalah dilarang di dalam pesawat ini."
Maka terkenanglah saya akan sejumlah perjalanan saya dengan menaiki pesawat MAS selama ini, memang merokok tidak dibenarkan tetapi dalam bab MINUMAN KERAS itu tiada pula larangannya. Malah saban waktu saya dapat saksikan betapa pramugari MAS dengan bangga menolak troli makanan yang di atas jelas kelihatan botol-botol arak yang pada perkiraan saya tentunya jenis yang mahal-mahal. Apa kata, kalau MAS dapat contohi GoAir ini, getus hati saya.
Bagi perjalanan satu setengah jam ke Srinagar itu, saya perhatikan pramugari GoAir berseluar panjang seakan-akan warna biru manakala baju yang dipakai panjang, menutupi bahagian punggung. Jadi fikir saya, apakah salahnya 'orang' AirAsia dapat mencontohinya sebab sudah kedengaran di telinga hamba ini, orang 'komplen' skirt dipakai pramugarinya begitu singkat; amat jelek sekali jika mereka dalam situasi membongkok untuk mengambil sesuatu.
Di lapangan terbang Srinagar, di samping warga awam yang bersesak-sesak untuk keluar; ada setumbukan askar India. Jumlahnya agak saya dalam 50 orang. Mereka juga sibuk mengambil bagasi untuk keluar. Ketika saya ke tandas, satu tandas dipenuhi askar India. Cepat-cepat saya membereskan urusan saya; tidak senang saya melihat muka mereka yang bengis-bengis itu.
Kenapa askar India terlalu ramai di bumi Kashmir? Seorang penduduk memberitahu saya jumlahnya lebih sejuta orang sedangkan orang Kashmir hanya lapan juta jiwa. Ertinya seorang soldalu mengawal lapan penduduk. Mengapa begitu ketat sekali kawalan India ke atas bumi Kashmir ini?
Pembaca perlu faham bahawa bumi yang dikenali sebagai 'Syurga Dunia' kerana kecantikan alam semulanya yang mempersona ini sebagai salah satu kawasan paling bergolak, menyamai isu Palestin kerana ia gagal diselesaikan sejak 1947 apabila India dan Pakistan mendapat kemerdekaan masing-masing daripada British.
Sama seperti orang Kurdis (kebanyakannya mendiami Iran, Iraq dan Turki), orang Kashmir juga tidak mempunyai negara. Wilayah orang Kashmir hari ini terletak di Pakistan, India dan China. Ketiga-tiga negara tidak berganjak dalam menduduki rantau yang mereka dakwa sebahagian daripada negara mereka. China tidak menuntut apa-apa daripada wilayah yang dipertikaikan oleh India-Pakistan, tetapi mencengkam kukuh rantau dan orang Kashmir yang telah dimasukkan dalam wilayah kekuasaannya.
No comments:
Post a Comment