***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar." (Quran, Al-Anfal: 28)
***
INDIA adalah sebuah rantau yang kaya. Ia memiliki sumber yang dieksploitasi sepenuhnya oleh British secara rasmi memulai 1876 apabila Ratu Victoria England dimasyhurkan sebagai Maharani India. Habis khazanah kekayaannya seperti permata, kapas dan gandum dijarah oleh British sehinggalah kuasa ini berundur pada 1947 apabila India mendapat kemerdekaan.
Sebagai tanah jajahan paling berharga kepada British, ia digelar ‘Jewel in the crown’ (Manikam di mahkota). Prasa ini mempunyai kaitan dengan Benjamin Disraeli, perdana menteri Britain (1874-1881) yang menggelarkan India ‘the brightest jewel in the crown’ (manikam paling bercahaya di mahkota).
Bercerita mengenai India, mungkin kita teringat filem-filem Hindustan yang biasa kita tengok. Kerap kehidupan dalam filem digambar begitu gah, dengan watak-wataknya hidup mewah di istana-istana indah. Pasangan kekasih pula menari di lereng gunung dan padang rumput menghijau saujana mata memandang atau pun taman-taman bunga dengan puncak gunung diselaputi salji.
Demikianlah filem menjadi larian (escapism) sesetengah insan di India daripada kehidupan sebenar. Mereka yang hidup merempat membayangkan sesuatu yang indah; hal itu hampir mustahil dicapai walaupun senario kehidupan penuh kemewahan itu berada di depan mata.
Taj Mahal adalah contohnya. Perkuburan indah yang dibina oleh maharaja kelima Moghul, Shah Jahan untuk isteri tercintanya Mumtaz Mahal pada 1631, adalah bukti jelas rakyat kebanyakan hanya dapat melihat saja betapa gah sesetengah golongan sedangkan hakikatnya mereka sendiri merempat.
Bagi pelancong ke India (Delhi dan kawasan sekitarnya) tentunya kunjungan mereka tidak bermakna jika tidak melawat Taj Mahal di Agra yang diiktiraf dan dipulihara oleh Unesco sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia.
Kompleks Taj Mahal yang terdiri daripada bangunan utama yang menempatkan makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal, masjid, bangunan sekeliling dan taman mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan dengan tenaga kerja lebih 20,000 orang.
Kompleks Taj Mahal yang dilingkungi tembok tinggi tentunya menakjubkan dan seseorang pengunjung mungkin boleh berangan berada di kayangan, tetapi di luar tembok kompleks ini, pertarungan kehidupan tidak pernah berhenti.
Pengemis, penjual jalanan, penjaga kuda (menawarkan khidmat menunggang kuda), penarik beca dan sebagainya berebut-rebut bagi meraih serupee dua. Pertarungan untuk mendapatkan sesuap nasi atau sepotong roti adalah hebat, hatta nyawa sanggup mereka pertaruhkan.
Demikianlah, India dengan penduduk 1.5 bilion menyaksikan kontras kehidupan tersangat hebat – yang kaya terlalu hebat kemewahannya sedangkan golongan gelandangan yang terlalu ramai berada di hampir serata tempat di luar tembok kediaman dan premis mewah.
Semuanya menjadi iktibar bagi mereka yang melihat dan menilai apabila berpeluang melawat India yang bergelar ‘Jewel in the crown’.
No comments:
Post a Comment