Wednesday, June 29, 2011

‘Bertimbang rasa’ apabila kahwinkan anak

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya. Dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana." (An-Nur Ayat 59)
***

APABILA hampir memasuki umur setengah abad, kini saya pula berada di barisan depan bagi mengahwinkan anak-anak dan anak buah. Sekalipun seorang pun daripada lima orang anak saya belum menyuarakan hasrat hati untuk berkahwin, saya sedar masanya tidak lama lagi kerana anak yang sulung sudah berusia 22 tahun.

Baru-baru ini saya terbabit dalam majlis pertunangan seorang anak saudara. Rombongan meminang diketuai sendiri ayah anak saudara saya itu (abang saya), tetapi bagi memulakan majlis, terpaksalah saya membuka mulut kerana saya satu-satunya bapa saudara yang hadir dan paling ‘senior’ di kalangan adik beradik (selain abang saya itu).

Sebagai ‘orang baru’ dalam pekerjaaan ‘mendirikan masjid’ (merisik, bertunang, majlis nikah dan walimah), selepas mengucap salam, memperkenalkan diri dan bertanya khabar kepada pihak tuan rumah, saya mengucapkan pantun ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya ini budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Selepas menyampaikan pantun ini, saya terus menyerahkan majlis kepada abang saya; memberikan peluang sepenuhnya kepada beliau untuk merundingkan masa depan anaknya dengan tuan rumah.

Di sini saya tidak berhajat menyatakan kisah selanjutnya pada majlis itu, tetapi saya tertarik untuk memanjangkan pedoman mengadakan majlis walimah anak-anak yang disampaikan oleh seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya.

Berhubung usaha ‘mendirikan masjid’, ustaz itu bercakap ‘direct’ (terus terang) mengenai belanja hantaran. Kata ustaz ibu bapa pihak perempuan janganlah meletakkan wang hantaran terlalu tinggi. “Hantaran RM10,000 sebenarnya sudah tinggi, apatah lagi jika diletakkan RM15,000, RM20,000 atau RM25,000.

“Kita sebagai orang-orang tua, kena fikirkan bagaimana seorang anak muda dapat menyediakan wang sebanyak itu. Jika dia lulus universiti pun, dengan gaji RM1,500 sebulan; kalau sebulan dia boleh kumpul RM200 untuk tujuan kahwin setahun baru RM2,400. Kalau pihak perempuan minta RM25,000, dia perlukan masa 10 tahun. Jika dia mula kerja umurnya 23 tahun, umur 33 tahun baru dapat kahwin.

“Itu baru wang hantaran. Bagi belanja lain seperti cincin, barang perhiasan, pakaian persalinan, tambang, upah dan majlis perkahwinan lain bab pula. Kalau majlis kecil pun perlukan sekurang-kurangnya RM10,000. Jadi bagaimana anak muda kita dapat kahwin dengan tidak menanggung beban hutang yang banyak?

“Bagi anak muda yang nak kahwin, dapat kumpul RM200 sebulan itu pun sudah dikira besar. Sekarang ini kalau duduk KL, daripada gaji RM1,500 itu, bayar duit ansuran kereta, bayar pinjaman pelajaran, bayar sewa rumah, dan belanja makan minum, dapatlah hulur mak bapak RM50-RM100 sebulan.

“Tapi pertengahan bulan apabila anak balik kampung, kita pulak kena bagi dia RM100-RM200 kerana dia dah tak ada wang. Kasihan tengok dia nak balik KL tapi duit minyak kereta tak ada,” kata ustaz itu.

Menurutnya, antara sebab anak-anak muda tak dapat kahwin cepat malah ada yang hilang minat untuk berkahwin kerana wang hantaran yang tinggi.

“Jadi kepada mak bapak semua, bertimbang rasalah dalam soal hantaran ini apabila anak dara kita dipinang orang. Tengoklah dulu kemampuan bakal menantu kita itu. Kalau baru kerja dua tiga bulan selepas keluar universiti, tak mungkin duit dia sendiri ada RM15,000 atau RM20,000.

“Kalau hantaran dah tinggi, mahu tak mahu terpaksalah dia berhutang. Wang hantaran pinjam bank, majlis kahwin pun hutang, beli lembu pun hutang, sewa khemah pun hutang; jawabnya selepas kahwin, bertahun-tahunlah anak menantu kita menanggung beban hutan.

“Kerana hutang inilah selalu berlaku ‘Perang Teluk’ dalam rumah tangga. Kini kes cerai berai terlalu banyak, jadi insaflah mak bapak sekalian. Bertimbang rasalah dalam meletakkan wang hantaran anak-anak kita.

Ustaz itu berkata, itu kisah pemuda berhutang tetapi syukurlah masih dapat mendirikan rumah tangga (menikah). Tetapi ada pasangan gagal berkahwin, tetapi cinta punya pasal, berapa ramai anak gadis sudah mengandung luar nikah.

Beliau mendakwa di sebuah pusat perlindungan wanita terlanjur di ibu kota, ada kira-kira 1,000 orang menunggu masa untuk melahirkan anak luar nikah masing-masing.

“Keadaan sosial kita sekarang ini sudah tersangat teruk,” kata ustaz itu. “Antara puncanya kita meletakkan wang hantaran yang terlalu mahal sehingga ada anak-anak kita tidak dapat kahwin.

“Saya haraplah ibu bapa tidak terlalu terikut-ikut orang dalam melakukan majlis perkahwinan anak-anak kita. Buatlah majlis setakat yang kita mampu.

“Kalau kita mampu sembelih lembu, maka lakukanlah, kalau kita hanya mampu sembelih kambing untuk jamuan itu, syukur alhamdulillah.

“Kalau kambing pun kita tidak mampu, tak salah kita sembelih 10 ekor ayam. Buatlah kenduri kecil, panggil saudara-saudara dan jiran dekat, habis cerita, yang penting anak-anak kita sudah selamat nikah.

"Anak kita selamat dunia akhirat, kita pun sama-sama selamat. Inilah dinamakan kebahagiaan dunia akhirat!”

No comments: