***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih, dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’.” (Surah Fussilat, ayat 33)
***
SEBELUM menjejakkan kami di bumi India, seorang rakan daripada kumpulan tabligh yang pernah ke India memberitahu saya bahawa negara itu adalah tapak untuk mempelajari erti kemanusiaan. Apabila berada di negara ini, saya mengakui kebenaran dakwaannya – India adalah universiti kemanusiaan terhebat di dunia.
Ciri-ciri ‘keindianan’ sudah bermula sejak dalam pesawat MAS dari KLIA ke New Delhi. Contohnya makanan dihidangkan, antara menunya kari kacang merah dan salad daripada kacang kuda. Bagi saya ini suatu kelainan; kacang merah itu sinonim dengan air batu campur (ABC) atau ais krim potong manakala kacang kuda dimakan begitu saja sebagai sebahagian kacang goreng.
Bagaimana makanan dipelbagaikan, demikian juga kepelbagaian begitu ketara dalam kehidupan di India. Di bumi ini kedapatan ramai insan kaya mewah yang melampau dan sebagai kontrasnya pengemis jalanan dan manusia gelandangan lain yang begitu ramai di tepi-tepi jalan.
India dengan penduduk lebih satu bilion orang (hanya kalah dengan China), tidak dapat menyembunyikan kemiskinan penduduknya; di hampir setiap tempat ada saja golongan merempat; hatta di tengah-tengah jalan raya dan lebuh raya (kawasan pembahagi dan bulatan jalan) dihuni manusia; penampilan dan wajah-wajah mereka menceritakan penderitaan yang bukan dibuat-buat, tidak sama seperti ‘pengemis lakonan’ yang sekali-sekala meminta wang daripada kita di tanah air.
Disebabkan jurang ketara antara golongan miskin dan kaya, apa yang saya perhatikan kebanyakan rumah kediaman dan premis ternama termasuk hotel di Delhi yang saya didiami, dibentengi oleh tembok tinggi – orang kaya di dalamnya (termasuklah saya untuk tempoh sehari dua…heh…heh) hidup dalam dunia terasing daripada orang merempat di jalanan.
Suatu pagi ketika termenung-menung melihat persekitaran, saya ternampak seorang ibu dan anak; dalam pakaian compang-camping berhenti dan tercegat di pintu utama tembok hotel yang saya diami. Itulah kedudukan terakhir yang boleh diredahnya, itulah benteng pemisah antara si miskin dan kaya.
Oleh itu dalam kebanyakan keadaan, fikir saya, mungkin terlalu sukar berlakunya interaksi orang kaya dan miskin; orang gelandangan hidup bersepah di jalanan manaka si kaya dalam kawasan tembok tinggi bikinannya.
Kehadiran si ibu dan anak gelandangan tidak disenangi, lantas apabila seorang pengawal bergegas di pintu tembok itu, mereka cepat-cepat angkat kaki. Jika di tanah air, semakin ramai orang gemar membikin tembok atau pagar bagi mengepung persekitaran kediaman mereka, di India saya melihat bukti jelas betapa tembok bikinan itu sebenarnya adalah pemisah antara golongan merempat dan mereka yang kaya dan berkuasa.
Daripada sebuah buku kesufian yang saya baca, dinyatakan bahawa rumah adalah aset paling tidak menguntungkan kepada seseorang yang mencari kebahagian akhirat. Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap harta yang dinafkahkan itu kesemuanya dikira fisabilillah kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya.”
Jika membina rumah kurang keuntungan dari segi akhirat, maka apa dapat dikatakan jika seseorang itu memasang pagar atau tembok tinggi di mana orang miskin terhalang daripada mendapatkan seteguk air dan sesuap makanan; namun itulah yang saya saksikan di India, tembok kediaman adalah pemisah si kaya dan golongan merempat!
No comments:
Post a Comment