***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Maksud Surah Ali Imran: 92)
***
Sempena Hari Bapa yang dipelopori Barat dan disambut penuh bersemangat oleh sesetengah anggota masyarakat kita baru-baru ini, kita terpanggil untuk saling ingat mengingati sesama Muslim terutama insan bergelar bapa agar menyelamatkan seluruh anggota keluarganya terutama anak isterinya daripada menjadi bahan bakar api neraka.
Ini kerana Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran di dalam Surah at Tahrim (66), ayat enam, yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
Kita mengutarakan subjek bapa untuk dimuzakarahkan pada ruangan ini kerana menyaksi dan membaca banyak laporan yang sungguh menyentap jiwa mengenai ketua keluarga yang bukan saja tidak menjalankan peranan dan tugas bagi menyelamatkan anak isteri daripada api neraka, malah ada yang sudah menjadi syaitan bertopengkan manusia apabila bertindak bersekedukan, merogol, membunuh dan menjual kehormatan zuriat masing-masing.
Apa sudah berlaku kepada masyarakat kita hari ini sehinggakan orang yang sewajarnya memberi perlindungan kepada anak isteri, tidak lagi mengerti batasan halal dan haram; mereka menjerumuskan keluarga mereka ke lembah kehinaan di dunia apatah lagi di akhirat. Kemudian ada bapa menzalimi anak isteri dengan tidak memberikan hak masing-masing termasuklah nafkah.
Perihal bapa meninggalkan anak isteri terkontang-kanting menjalani kehidupan penuh ranjau juga bukan asing daripada pengetahuan kita.
Bapa zalim ini satu bab; selain itu kita turut saksikan betapa ramai bapa berfikiran sekular yang berusaha membahagiakan anak isteri mengikut acuan Barat. Benar sebahagian daripada mereka dan keluarga masing-masing saling sayang menyayangi termasuklah mengingati satu sama lain seperti meraikan Hari Bapa, namun sayang seribu kali sayang, dalam kebanyakan kes kehidupan mereka jauh terpesong daripada kehendak Islam, lantas kita amat khuatir bapa-bapa seperti ini tidak dapat menyelamatkan anak isteri mereka daripada menjadi bahan api neraka seperti diberi peringatkan oleh Allah SWT.
Cuba kita rujuk pendekatan bapa-bapa ini berdasarkan kehendak asas Islam dalam kehidupan berkeluarga termasuklah sumber rezeki, pergaulan, kepatuhan kepada Rukun Islam dan hukum-hakam Islam dalam kegiatan seharian seperti berpakaian.
Adakah golongan bapa ini bersedia memastikan sumber rezeki yang dibawa pulang adalah halal? Kita dapat saksikan betapa banyak ketua keluarga menyimpang daripada amanah ini; ada yang terbabit dalam kegiatan rasuah dan aneka penyelewengan lain seperti berjudi yang hasilnya diberi makan kepada anak isteri. Kemudian betapa ramai bapa yang terbabit dalam kerjaya yang walaupun halal pada tanggapan masyarakat tetapi jijik dari segi agama seperti berpolitik secara kotor, bercampur lelaki dan perempuan bukan muhrim secara bebas ataupun menerbitkan akhbar dan majalah serta program televisyen penuh fitnah dan lucah.
Kemudian dalam masalah kepatuhan suruhan agama; adakah ketua keluarga peduli anak isterinya solat, puasa, memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya dan berakhlak mulia. Apa yang kita perhatikan dalam sesetengah kes, sekalipun si bapa dan ibu sudah bergelar haji dan hajah, anak-anak dibiarkan tidak solat dan bertudung.
Hairan sungguh kita melihat bapa berkopiah dan ibu bertudung labuh tetapi anak daranya berpakaian hampir telanjang manakala anak bujang mereka bersubang, berantai dan memakai seluar pendek. Ibu bapa ini pula memberi sokongan jika anak-anak mereka terbabit dalam program hiburan melampau. Apakah ibu bapa atau lebih tegas lagi si bapa jenis ini dapat memelihara anak isterinya daripada menjadi bahan bakar api neraka?
Ingatlah, Ibnu Umar pernah berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. Bersabda, 'Setiap diri kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang ia pimpin. Seorang imam adalah pemimpin, ia akan diminta pertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya (rakyatnya). Setiap lelaki adalah pemimpin di dalam keluarganya dan ia akan diminta pertanggungjawabkan terhadap yang ia pimpin. Setiap perempuan adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan ia akan diminta pertanggungjawabkan pula dengan apa yang ia pimpin'."
No comments:
Post a Comment