Friday, June 24, 2011

Diawasi soldadu ketika kencing di celah batu di Kashmir

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya." (QS, Adz-Dzariyat: 7-8)
***

MELALUI artikel dalam blog ini saya sudah mengucapkan ‘sayonara’ kepada India. Hakikatnya, tidak begitu. Dalam artikel ini saya tetap meneruskan penceritaan mengenai kisah saya di India, kali ini apa yang saya amat-amati di Kashmir, sebuah rantau dengan suasana alam dan pemandangan memukau; 95 peratus daripada kira-kira lima juta penduduknya beragama Islam.

Namun seperti hampir semua orang Kashmir yang saya temui tidak mengaku negerinya berada dalam jajahan India, saya yang mengalami jerih payah di sana terikut-ikut untuk tidak menyatakan rantau ini berada dalam taklukan pihak berkenaan.

Oleh itu, saya berpendapat ucapan ‘sayonara India’ dalam artikel saya yang terdahulu adalah tepat, namun pembaca perlu memaafkan saya kerana dalam penceritaan saya mengenai Kashmir ini saya tidak menyatakan tempat dan nama-nama orang yang saya temui dan wawancara dengan tepat demi tujuan keselamatan.

Sebelum melanjutkan penceritaan sepenuhnya mengenai Kashmir, saya berpendapat pembaca perlu diberitahu apa yang saya maksudkan dengan ‘jerih payah’ yang saya alami.

Antaranya, ketika berada di Kashmir, inilah pertama kali saya menginap di mana-mana hotel termasuklah di Afrika Selatan (ketika pilihan raya penuh gelora 1994) dan Moscow (selepas berkecainya Soviet Union pada 1992), tempat tinggal kami menggalami ‘black out’ (tepat jam 12.00 malam atau kadang-kadang lebih awal) sampailah ke siang hari.

Akibat terputus bekalan elektrik itu selama tiga hari berturut-turut yang pada pendapat saya sengaja diputuskan, terpaksalah kami teraba-teraba dalam kegelapan malam, termasuklah untuk mengambil wuduk jam 4.00 pagi untuk solat subuh.

Apabila tiada elektrik, tiadalah bekalan air panas, maka terpaksalah berwuduk dengan air yang sejuk bagaikan air batu itu! Kedinginan pagi usah diceritakan di sini kerana suatu ketika berlaku hujan air batu, saya melihat sendiri butiran air batu sebesar biji saga melanda bumi.

Kemudian untuk memasuki dan keluar dari Kashmir, pemeriksaan adalah terlalu ketat; dalam perjalanan meninggalkan Kashmir, kami diperiksa sekurang-kurangnya lima kali. Habis segala barangan dalam beg diselongkar, tubuh badan kami diraba, hatta ubat-ubatan yang biasa dibawa seperti ubat diabetes dibelek-belek dan diajukan pelbagai soalan.

Askar dan polis India pula berada di mana-mana bumi Kashmir. Di lapangan terbang, di tempat penginapan, malah suatu ketika sedang saya membuang air kecil (saya tidak tertahan lagi) di celah-celah batu sebuah bukit (membuang air di pinggir jalan bukan pemandangan luar biasa di India dan Pakistan), apabila saya mendongak, beberapa soldadu India yang menggalas senjata memandang saya tanpa sedikit senyuman pun.

Cis, manalah saya perasaan kehadiran mereka di atas bukit sana, namun setidak-tidaknya bangga juga kerana ‘mendapat kawalan keselamatan ketika kencing’! Seorang penduduk memberitahu saya ada satu juta askar India di Kashmir; ini bermakna seorang askar menjaga lima penduduk, itulah ‘aku kencing pun dikawal mereka’.

Kenapa terlalu ketat sekali langkah keselamatan pihak berkuasa India di Kashmir? Pembaca perlu difahamkan bahawa negeri Kashmir di India secara sendirinya sebenarnya tidak wujud. Apa yang ada sekarang, negeri Jammu dan Kashmir. Maksudnya Jammu yang majoriti penduduknya beragama Hindu disatukan dengan Kashmir yang hampir semua penduduknya beragama Islam.

Apabila ini dilakukan, faham-fahamlah, orang Islam tidak lagi menjadi golongan majoriti besar sebaliknya mereka hanya sebahagian biasa penduduk Jammu Kashmir dengan Srinagar diisytiharkan sebagai ibu kota musim panasnya.

Kashmir juga sebenarnya sudah terbahagi kepada dua. Kashmir yang beribu-kotakan Srinagar itu didakwa oleh New Delhi sebagai sebahagian rantau kekuasaannya sedangkan satu lagi Kashmir berada di bawah kekuasaan Pakistan. Negeri di Pakistan itu dinamai Azad Kashmir.

Jadi konflik di Kashmir, terutama yang membabitkan umat Islam adalah tersangat hebat tetapi sayangnya ia seolah-olah dilupakan umat Islam seluruh dunia.

Tidak seperti isu Palestin, persoalan Kashmir tidak diendahkan, malah kalau tidak silap saya hanya sekali dua saja pernah dibincangkan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mendakwa memayungi umat Islam seluruh dunia.

Isu Kashmir telah mengheret India dan Pakistan dalam tiga peperangan; umat Islam di sana terus menanggung penderitaan yang tiada kesudahan.

No comments: