***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian." (Maksud Ayat 29-31 Surah al-Fatir)
***
KOTA Delhi dan Agra (di mana pelancong dibawa melawat Taj Mahal) dihubungkan dengan lebuh raya. Jaraknya kira-kira 250 kilometer. Dalam buku panduan, masa perjalanan dicatatkan 3-4 jam, hakikatnya bas yang kami naiki mengambil masa kira-kira enam jam.
Sekalipun setiap hala laluan, mempunyai dua lorong, keadaan jalannya kurang baik ditambah dengan pelbagai gangguan seperti kehadiran kereta kuda dan lembu, bas berhenti sesuka hati di laluan tepi dan binatang ternakan, menjadikan perjalanan penuh cabaran.
Adalah suatu kelaziman di benua kecil India, hon dibunyikan setiap kali kenderaan memintas (memotong) kenderaan lain, menggamatkan keadaan di jalan raya yang begitu hiruk pikuk keadaannya.
Seperti di Malaysia, di lebuh rayanya dipasang pondok tol. Keadaannya begitu ringkas sekali. Hanya kerangka besi dipasang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti rempuhan.
Di kawasan luar bandar, apabila masuk ke sesetengah kampung, ada juga kutipan tol. Keadaannya seperti pintu keluar masuk sesebuah tapak pembinaan di negara kita; ada penjaga yang menurun-naikkan penghadang, wang dikutip begitu saja bagaikan tindakan segerombolan samseng dalam filem P Ramlee.
Di sesetengah jalan raya termasuk di tengah-tengah kota Agra sendiri, pengguna (manusia) berkongsi jalan dengan kambing, lembu, kerbau dan ayam. Sebahagian pemandu memandu kenderaan mereka sesuka hati termasuk memasuki laluan salah, tetapi peliknya kami tidak saksikan sebarang kemalangan.
Sama seperti lebuh raya dan jalan rayanya yang merakamkan 1,001 cerita unik dan pelik daripada kaca mata orang luar, rakyatnya juga mencatatkan 1,001 kehidupan penuh berliku yang melayakkan insan asing belajar erti sebuah kehidupan termasuk kesabaran dan penderitaan.
Seperti kelaziman, pemandu pelancong mengingatkan jangan dilayan pengemis kerana sesuatu pemberian akan mengundang kehadiran ramai lagi. Tetapi sebagai insan yang sedang membaiki diri dari segi kerohanian, saya terkesan dengan satu situasi yang tetap terbayang di depan mata saya sehingga kini.
Suatu tengah hari selepas makan kenyang di sebuah restoran, saya kembali ke bas, diikuti oleh seorang peminta sedekah muda yang mendukung seorang bayi. Penampilannya sungguh teruk dengan pakaian compang camping tanpa alas kaki sedangkan bayi itu berkudis-kudis keadaannya.
Dia merayu dan merayu tetapi saya buat ‘dek’ saja. Hinggakan saya sudah masuk ke dalam bas, duduk di sisi cermin bas, dia yang berada di luar memandang saya penuh sayu, mulutnya merayu-rayu tetapi saya tetap ingat apa dipesan pemandu pelancong. Berat sungguh hati dan tangan saya untuk menyeluk saku saya seterusnya mencampakkan kepadanya wang kecil 10 rupee (kira-kira 70 sen) daripada cermin tingkap.
Apabila bas sudah bergerak, tiba-tiba bergemalah maksud hadis ini dalam benak saya. “Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar.” (Hadis Riwayat Tabarani)
Ya, saya sudah kenyang dan mahu tidur selepas makan besar, dia mungkin kelaparan. Saya menjadi malu sendiri, rupa-rupanya diri saya bukanlah sebaik yang saya sangka.
Hanya kerana sedikit provokasi daripada si pemandu pelancong, saya sudah menjadi terlalu kedekut dan takut menyedekahkan sedikit rupee saya. Natijahnya petang itu saya gagal melelapkan mata dalam bas kerana asyik terfikir-fikir kejahatan diri!
No comments:
Post a Comment