Sunday, October 17, 2010

'Tribute' kepada pemandu, penumpang bas ekspres Delima

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takut mati; maka Allah berkata kepada mereka: "Matilah kamu", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai karunia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Al-Baqarah 2:243)

***
KIRA-KIRA 15 minit melepasi persimpangan bertingkat Pedas-Linggi, dari jarak 200 meter, saya yang sedang memandu di lebuh raya PLUS menghala selatan pada kira-kira jam 6.45 petang, 10.10.10 (10 Oktober 2010), sudah nampak sebuah bas terhumban, melintang di atas lebuh raya. Dalam jarak 100 meter kemudiannya, saya boleh lihat perkataan DELIMA pada dinding badan bas berwarna merah itu. Sahlah bas itu milik Delima Express yang mana bas-basnya hampir setiap hari saya tumpangi untuk perjalanan pergi balik Melaka-Kuala Lumpur.

Hati berdebar, dan apabila keluar daripada kenderaan, saya melihat seorang wanita India yang berada di luar kereta dalam laluan ke utara yang kemek-kemek di sebelah kanan dipercayai bergesel dengan besi pembahagi jalan, membebel menceritakan bagaimana kemalangan berlaku. Saya tidak mempedulikannya sebaliknya bersama seorang anak lelaki bergegas ke tempat bas terhempas. Namun sempat juga saya mendengar wanita India itu berkata bahawa bas ekspres Delima yang melintang di laluan ke selatan itu sebenarnya dalam perjalanan ke utara (Kuala Lumpur). Ini mengejutkan kerana bas itu pasti merempuh penghadang dan parit pembahagi lebuh raya.

Saya lihat sebuah kereta Myvi terperosok di bawah bas. Keadaan dalam kereta tiada pergerakan, tetapi orang ramai menjerit menyatakan ada mangsa masih hidup dalamnya. Ada yang berusaha menarik kereta dan mengangkat bas tetapi mustahil bas dapat digerakkan. Dari perut bas ekspres yang terbalik, seorang demi seorang mangsa dikeluarkan oleh orang ramai melalui tingkap yang pecah. Saya melihat minyak mengalir di jalan raya dari bahagian bawah bas, seorang dua menjerit melarang orang merokok daripada menghampiri tempat kejadian.

Mangsa yang selamat diangkat dan diletakkan di tepi lebuh raya, tetapi mereka yang dipercayai sudah mati ada dibiarkan. Saya ke bahagian depan, melepasi badan bas ekspres dan alangkah terperanjat saya menyaksikan keadaan di situ. Sebuah kenderaan kelihatan macam sudah terbakar manakala mayat-mayat bergelimpangan; ada dengan muka pecah, di sisi bawah bas ekspres ada dua tiga mangsa terhimpit, ada tangan terkapai manakala muka pecah. Ketika itu orang ramai tidak mempedulikannya kerana menyangka mereka sudah mati. Saya pun pasti mereka sudah mati, jadi tidaklah saya berbuat apa-apa sebaliknya saya ke tengah-tengah pembahagi lebuh raya, kemudian melaungkan azan.

Ketika azan, saya sedar seseorang berjalan di sisi saya membawa sebelah tangan seorang mangsa. Dia menjerit, bertanya siapa tahu tangan siapakah itu. Selepas azan, saya kembali ke tempat Myvi terperosok, ketika itu asap berkepul-kepul di udara yang berpunca daripada tempat minyak bas yang mengalir. Apa lagi orang ramai termasuk saya 'cabutlah', mana berani kerana takut-takut bas itu meletup.

Namun, apabila asap reda, orang ramai kembali untuk membantu. Saya cuba mengajar seorang pemuda yang cedera mengucap kalimah tauhid, namun nampaknya dia merayu-rayu meminta saya menolongnya. Apa boleh saya buat selain memintanya bersabar. Saat itu saya sedar bahawa setiap orang bertanggungjawab kepada dirinya sendiri - baik amalnya baiklah yang akan diterimanya dan jika buruk amal maka buruklah nasibnya menghadapi saat kritikal itu. Disebabkan kemalangan itu membabitkan ramai orang, tumpuan tidak dapat diberikan kepada seseorang kerana ada orang lain yang memerlukan pertolongan.

Demikianlah gambaran kemalangan dahsyat yang saya saksikan membabitkan bas ekspres Delima, sebuah bas jabatan kerajaan dan beberapa kenderaan lain beberapa kilometer dari persimpangan bertingkat Simpang Ampat-Alor Gajah-Tampin sejurus sebelum maghrib hari penuh makna 10.10.10, hari yang mana angkasawan Sheikh Muszaphar Shukur dan ramai lagi pasangan melangsungkan perkahwinan.

Pada hari keesokannya, tahulah saya bahawa antara 12 orang yang terbunuh itu adalah pemandu bas ekspres Delima, bernama R Ramachandra, berusia 52 tahun. Rama adalah sahabat saya, setidak-tidaknya teman perbualan sekali sekala sama ada ketika dalam bas atau di stesen. Sayalah yang menunjukkan dia jalan ke Hentian Bas Sementara Bukit Jalil ketika dia mula-mula berkhidmat dengan syarikat itu tiga tahun lalu. Mungkin sebelum itu dia tidak biasa dengan jalan ke stesen bas berkenaan yang beroperasi pada setiap kali musim Aidilfitri, kerana dia dulunya pemandu bas henti-henti di Melaka.

Adalah biasa, saya dengan dia kerap bergurau ketika berjumpa, dalam salah satu pertemuan, saya ada memberinya sehelai risalah dakwah bertajuk 'It all began with Read - A Jewish computer programmer accepts Islam'. Selepas menunaikan umrah tidak lama dulu, saya ada menghadiahnya sebungkus cenderahati kecil yang mengandungi sedikit buah kurma dan kekacang dari Tanah Suci.

Rama fasih bercakap bahasa Melayu malah ada yang menyangkanya orang Melayu. Orangnya baik sekali, daripada pemerhatian saya dia antara pemandu paling berhemah dalam syarikat Delima, membawa bas dengan kelajuan sederhana, mungkin antara yang 'slow'. Oleh demikian saya amat tersinggung apabila membaca dan mendengar komentar selepas kemalangan yang menyebut pemandu bas ekspres itu mungkin mabuk, di bawah pengaruh dadah dan juga memandu terlalu laju. Malah seorang menteri tergamak berkata kemalangan tidak akan berlaku jika bas tidak dipandu laju. Adalah biasa untuk pemandu dari Melaka Sentral mengambil masa setengah jam ke Plaza Tol Ayer Keroh dan 15 minit lagi ke lokasi di mana bas itu berlanggar. Maka tepatlah kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang.

Ada satu peristiwa yang membuatkan saya mempunyai tanggapan tinggi terhadap Rama. Suatu malam, saya terlambat, lantas menaiki basnya tanpa tiket. Selepas sampai di Melaka Sentral saya pun menyerahkan wang harga tiket secukupnya (RM12.20) kepadanya, tetapi alangkah terperanjatnya saya dia tidak mahukan duit itu. Kerap berlaku, pemandu bas akan mengambil wang berkenaan walaupun jumlah yang diserahkan kurang daripada harga tiket seperti RM10 dan tidaklah saya tahu dimasukkan dalam poket sendiri atau diserahkan kepada syarikat.

Rama yang ada harga diri tidak mahukan wang itu, maka pada hari keesokannya untuk ke Kuala Lumpur, saya membeli dua tiket - satu untuk perjalanan hari itu dan satu lagi untuk membayar tiket hari semalam walaupun hakikatnya saya perlukan satu tempat duduk saja. Apabila mengikuti berita yang melaporkan penyiasat mendapati Rama mempunyai rekod bersih, demikian juga dengan syarikat majikannya, hati saya rasa lega, sekurang-kurangnya tidak benarlah tanggapan stereotaip kebanyakan pihak bahawa pemandu bas ekspres adalah individu bermasalah. Kasihani mereka, ramai yang jujur dalam mencari sesuap nasi demi anak isteri.

Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan Rama sudah melakukan yang terbaik, tetapi apabila malang menimpa, ia tidak mengenal siapa. Ditakdirkan Rama mati, jadi tertutuplah peluang untuk menyalah dan menghukumnya. Jika dia hidup, akan bertambah pedih hati ini jika melihat orang sebaik Rama digari tangannya dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memandu secara bahaya dan boleh dihukum penjara. Namun terpulanglah kepada penyiasat bagi mengesan apa sebenar yang berlaku pada ketika kemalangan.

Akhir sekali, kepada keluarga pemandu bas dan semua keluarga mangsa nahas terutama penumpang bas awam yang menggambarkan kesusahan rakyat (orang kebanyakan) diucapkan takziah dan bersabarlah menghadapi dugaan ini. Kepada keluarga Rama, anda semua perlu berbangga kerana Rama seorang berprinisp tinggi dan itulah yang dapat saya katakan sebagai seorang penumpang setia, melihat hemahnya secara zahir!

Saya begitu trauma dengan kejadian itu. Isnin itu (11.10.10) saya tidak pergi kerja di Kuala Lumpur walaupun dalam dompet saya ada tiket bas Dilema, yang akan saya naiki jam 7.00 pagi. Saya tidak mahu bayangkan apa perasan saya apabila melalui lokasi kemalangan di kilometer 223 lebuh raya itu. Lagi pun, bas lain seperti dipandu Rama yang berlepas jam 6.00 petang di Melaka Sentral biasanya akan tiba di Stesen Bas Bukit Jalil jam 8.00 malam dan pada setiap malam saya akan menaiki bas syarikat ini pulang ke Melaka pada jam 9.00 atau 9.30 malam.

Pagi-pagi hari Selasa (12.10.10), ketika mahu membeli tiket bas di kaunter Delima, saya melihat sekeping nota mempelawa pemandu menyumbang bantuan untuk keluarga Rama. Dengan hati pilu, saya menyeluk poket, menyerah sekeping not lantas ditanya oleh si kerani kaunter: “Nama pak haji?” “Tulis saja Hamba Allah,” kata saya.

1 comment:

Metrio said...

Salam,

Sedihnya baca cerita saudara ini tentang persahabatan saudara dengan Rama. Saya diantara yang terperangkap dalam kesesakan kerana kemalangan tersebut. Saya cuma 5 minit "terlambat" ketika kemalangan berlaku.

Saya perhatikan setengah pemandu kereta tukar laluan di lebuhraya tanpa menghidupkan lampu isyarat, dan ini boleh menyebabkan menyebabkan kemalangan.

Malangnya mereka tidak pernah mengambil iktibar dari apa yang berlaku.

Bila kita selalu ucapkan pandu berhati-hati kepada yang tersayang, kita tahu dan percaya mereka akan berbuat demikian dan saya percaya Rama adalah salah seorang darinya berdasarkan penerangan saudara, tetapi masaalahnya pemandu lain tidak memandu dengan berhati-hati dan pemandu seperti Rama lah yang akan menerima akibatnya dan penumpang-penumpangnya.

Saya percaya apa yang berlaku adalah takdir dan kita redha dengan kehendakNya. Namun kita juga hendaklah mengambil iktibar dari apa yang berlaku.

Saya mohon untuk menyiarkan cerita saudara ini di blog saya di http://duniaitu.blogspot.com/2010/10/tragedi-lebuh-raya-101010.html