Friday, October 15, 2010

Mengukur kesabaran diri di Masjid Nabawi

Posted on 15th October 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada orang-orang yang benar." (Al-A'raaf Ayat 70)
***

PEMERGIAN kali ketiga saya ke Tanah Suci (Jun 2010) adalah bersama isteri, seorang anak perempuan berusia lapan tahun dan ibu bapa saya yang sudah agak berusia. Ibu saya berumur lebih 60 tahun manakala bapa lebih 70 tahun. Tentunya, pengalaman pergi haji dan umrah bersendirian berbeza dengan bersama isteri atau dengan anggota keluarga lebih besar.

Pada hari-hari awal di Madinah, ibu saya tidak dapat ke Masjid Nabawi kerana kurang sihat, demikian juga isteri yang keuzuran. Anak gadis sunti saya tumpang semangkok, jadi saya dan bapalah sering berulang alik ke masjid menunaikan solat waktu berjemaah.

Suatu pagi, sejam dua sebelum subuh, ayah dan saya memasuki Masjid Nabawi dan terus bergegas ke Raudhah. Ayah mahu meletakkan sandalnya di pintu masuk, tetapi saya meminta sandal itu disatukan dengan selipar saya dalam sebuah bungkusan dan kemudian menjinjingnya hingga hampir ke kawasan Raudhah. Adalah menjadi kebiasaan di Masjid Nabawi dan Masjidilharam, jemaah membawa alas kaki (kasut) sehingga ke dalam masjid dan meletakkannya di rak-rak berhampiran tempat mereka solat.

Pagi itu ayah saya bergegas memasuki Raudhah, tanpa sempat saya berpesan apa-apa mengenai sandalnya. Pada mulanya, memanglah saya dapat menjejakinya, tetapi lama kelamaan dia sudah hilang dalam kesesakan jemaah.

Sukarlah saya mengesannya, saya terjenguk sana, terjenguk sini, ternyata dia sudah memasuki kawasan Raudhah yang amat sesak, lebih-lebih lagi selepas petugas memasang pemidang bagi mengepung Raudhah bagi menghalang jemaah merempuh masuk.

Jadi saya batalkan saja usaha mengesan ayah saya, sebaliknya mententeramkan diri untuk beriktikaf seterusnya melakukan pelbagai solat sunat sambil menunggu azan subuh.

Selepas solat subuh, saya membiarkan jemaah beredar dan kemudian meninjau ke sana sini, mengesan ayah saya. Bagaimana ini, fikir saya, sandalnya ada dalam tangan saya, tentunya dia juga akan tercari-cari saya. Kalau tidak bagaimana dia mahu pulang ke hotel yang jaraknya lebih kurang satu kilometer dari Masjid Nabawi? Mungkinkah dia berkaki ayam untuk pulang? Saya fikir, ayah tidak akan berbuat begitu, dia akan mencari saya, setidak-tidaknya dia akan menunggu di muka pintu besar ketika kami masuk tadi.

Masa berlalu pantas, dan selepas setengah jam memanjang-manjangkan leher dalam Masjid Nabawi, saya mengambil keputusan menunggu berhampiran pintu kami masuk tadi. Saya menunggu dan terus menunggu di situ. Daripada suasana gelap, bertukar cerah apabila sang suria mula menebarkan cahayanya, saya terus menunggu.

Saya telah mengambil keputusan menunggu sebagai tanda penghormatan saya kepada si ayah. Fikirku, apa salah aku berkorbankan sedikit masa dan tenaga bagi menantinya. Tentunya itu tidak ada galas ganti dengan pengorbanan beliau yang telah membesarkan saya dan terus berjasa sehingga kini walaupun sehingga janggut saya sudah mulai memutih sekarang ini.

Di Melaka, rumah saya dan rumah ayah ibu sebelah menyebelah; pada hampir setiap pagi hujung minggu atau cuti sekolah, ayah akan menghulurkan bungkusan nasi lemak dan kuih kepada anak-anak saya. Demikian juga pada petang hari, ada saja barangan makanan seperti buah-buahan akan dihulurkan. Saya jadi malu, sepatutnya saya yang menghulurkan kepada orang tua, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Benarlah penantian itu satu penyeksaan, bak kata Allahyarham Zubir Ali melalui salah satu lagu popularnya. Namun saya tidak mahu menyeksa diri. Terlintas ilham, bukankah saya kini berada di Masjid Nabawi, di mana setiap ibadah dilipatkan-gandakan ganda pahalanya sebanyak 1,000 kali. Jadi dalam masa menunggu itu saya pun berzikirlah sedaya mungkin. Saya terus berzikir dan berzikir sehingga jam 8.00 pagi. Jadi dapatlah saya memperbanyak zikir sedangkan perkara itu sukar dilakukan jika berada dalam bilik hotel.

Kemudian saya solat sunat dhuha dan pelbagai solat lagi. Selepas menaruh keyakinan bapa saya tidak muncul di pintu itu, saya kembalilah ke hotel. Memang betul ayah saya sudah ada di sana, dia berkaki ayam semasa pulang. Kasihan ayah, nasib baiklah ketika itu selepas subuh, kalau waktu zuhur atau asar, saya tidak dapat bayangkan bagaimana dia berjalan di atas aspal panas akibat dipanahi cahaya terik mentari di gurun Arab.

Ayah tidak marah, dia nampak ‘cool’ saja. Malah ketika berjumpa itu, dia sudah berselipar lain. Saya meminta maaf, masing-masing sedar sudah tersilap langkah. Ada pengajaran daripada kejadian itu, tetapi tafsirannya entahlah, saya tidak bijak untuk menduga.

Menurut ayah, ibu saya cukup bimbang kerana saya tidak pulang-pulang daripada Masjid Nabawi. Ibu berkata dia yakin saya akan terus menunggu dan itulah yang telah saya lakukan. Saya mahu menjadi anak yang salih, tetapi betulkah langkah yang sudah saya lakukan?

Perkara ini terus bermain di minda saya, ada kisah yang saya baca menyatakan bahawa tidak mungkin seorang anak dapat membalas jasa ibu bapanya, hatta jika seorang anak itu mendukung ibu atau bapanya bagi mengerjakan tawaf di Baitullah, itu pun hanya sekelumit pekerjaan baik berbanding jasa dan budi mereka!

No comments: