Friday, October 29, 2010

Tip haji kepada seorang sahabat

Posted on 29th October 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan (Bertakwalah kepada Allah)
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Bertakwalah kepada Allah, solatlah lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, tunaikanlah zakat dan taat kepada pemimpinmu, nescaya kamu akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhanmu." (HR. Al-Termizi)

NOTA: Ketaatan kepada pemimpin hanya pemimpin yang mukmin yang menjalankan perintah Allah dan menegahkan kemungkaran dan menjauhi larangan Allah. Tidak wajib taat kepada pemimpin yang menentang Allah, yang mempersenda-sendakan hukum-hukum Allah, pemimpin yang tidak adil dan zalim terhadap rakyat dan dirinya. - Hidayah Okt 2010


***

SEORANG sahabat saya, Daud berangkat ke Tanah Suci pada hari Isnin, 25.10.2010. Selamat pergi dan pulang, semoga mendapat haji mabrur, saya memeluknya, meminta maaf dan meminta dia menyampaikan salam kepada Rasulullah s.a.w.

Sebagai jemaah yang pertama kali ke Tanah Suci, saya terpanggil memberikan beberapa tip kepada Daud. Banyak perkara kami bualkan di masjid ketika menunggu solat isyak selepas menunaikan solat sunat selepas maghrib sehari sebelum dia berlepas. Namun tumpuan saya adalah pada hari-hari kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.

Kata saya tanamkan rasa kekhusyukan dan keseronokan di hati bagi menjalani manasik haji pada hari-hari penuh cabaran itu. Apabila hati rasa seronok untuk bermunajat pada Illahi, insya-Allah segala kesukaran dan bebanan tidak terasa, timbul pula semangat meluap-luap untuk melakukan yang terbaik semata-mata bagi mencari keredaan-Nya. Kesukaran akan dilihat sebagai ujian, sama ada diri kita sabar, ada kita pandai beretorik saja.

Jemaah Malaysia yang melakukan haji tamattu’ biasanya akan berniat ihram haji di hotel seterusnya menaiki bas (kini dikhabarkan kereta api ringan sudah beroperasi) ke Arafah pada 8 Zulhijah. Mereka akan berwukuf di Arafah selepas gelincir matahari (zuhur) dan kemudian berangkat di Mudzalifah selepas maghrib atau isyak.

Apa yang berlaku ada jemaah berebut-rebut untuk menaiki bas. Ada isteri sudah naik bas, si suami tertinggal. Ini semua akan menimbulkan kekecohan. Sebenarnya tidak ada apa perlu direbutkan. Insya-Allah semua jemaah dapat ke Mudzalifah.

Jarak Arafah-Mudzalifah tidak jauh, tetapi disebabkan kesesakan luar biasa, masa diambil mungkin tiga jam. Di Mudzalifah jemaah ditempatkan dalam kawasan luas berpagar beratapkan langit dan bintang, dan mereka diperlukan menunggu di sini sehingga separuh malam. Di sinilah antara ujian yang perlu dihadapi jemaah.

Ketika berada di lapangan terbuka itu, kadang-kadang angin bertiup kencang, jadi akan terasa kesejukan terutama pada pada jemaah lelaki yang memakai dua keping kain (ihram). Apabila teringin menyelimutkan kepala terdedah kepada kesejukan malam, ingat-ingatlah bahawa perbutan itu dilarang Apabila terasa gatal, jangan pandai-pandai mahu menggaru sana sini, nanti tercabut rambut dan bulu yang akan menyebabkan seseorang itu melanggar pantang larang ihram seterusnya dikenakan dam. Apa yang boleh dibuat, bersabarlah, terus berzikir dan berzikir diiringi solat sunat.

Buku panduan haji ada disertakan doa untuk dibaca di Mudzalifah ini. Tetapi suasana gelap menyukarkan pembacaan. Namun dengan bantuan lampu suluh yang tujuan utama dibawa adalah untuk mengutip batu-batu kecil untuk dilontar di jamrah, dalam kegelapan malam itu, bolehlah seseorang itu membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ya Tuhan! Sebagaimana Engkau himpunkan kami dan Engkau perlihatkan kami untuk mengingati dan memuji-muji kebesaran Engkau sepertimana yang Engkau tunjukkan kepada kami.

“Ampunilah kami serta kasihkanlah kepada kami sebagaimana yang telah Engkau janjikan kepada kami di dalam kitab Engkau al-Quran (apabila kamu telah selesai menunaikan rukun haji kamu, iaitu berwukuf di Padang Arafah maka hendaklah kamu mengingati Allah banyak-banyak dengan menyebut-nyebut-Nya di al-Masy’ar al-Haram (Muzdalifah) sebagaimana yang telah diberi petunjuk kepada kamu sesungguhnya kamu sebelum mendapat hidayat petunjuk daripada Allah adalah di dalam keadaan sesat yang amat nyata.

“Setelah kamu selesai berzikir di sini turunlah kamu ke Mina seperti yang dilakukan oleh semua manusia dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, bahawasanya Allah itu Amat Mengampuni dan Amat Mengasihani.

“Ya Allah, kami memohon kepada-Mu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Belas Kasihan, terimalah segala permintaan kami, wahai Tuhan yang menerima segala permintaan mereka semasa dalam kecemasan. Wahai Tuhan, apabila menghendaki sesuatu berlakulah perkara itu dengan tidak dapat dirintangi lagi.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, kami ini datang beramai-ramai untuk mendapatkan keampunan daripada Engkau di atas segala dosa kami. Janganlah Engkau kecewakan kami, berilah kepada kami seperti yang Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang salih. Janganlah Engkau palingkan kami daripada tempat suci ini, melainkan kami mendapat kemenangan dan tidak kecewa, tidak menyesal dan tidak pula kami daripada golongan orang yang sesat dan menyesatkan. Wahai Tuhan Yang Amat Mengasihani.

“Ya Allah, Ya Tuhan! Berilah petunjuk dan taufik kepada kami. Peliharalah kami daripada terjerumus dalam lembah kejahilan dan kemusnahan, selamatkan kami daripada segala penyakit jiwa, jadikanlah kami daripada golongan orang yang menjaukan diri daripada runtunan hawa nafsu yang buas kerana itulah sejahat-jahat musuh yang berjangkit ya Allah, jadikan kami daripada golongan mereka yang sentiasa menghadapi Engkau tidak kepada yang lain. Bawalah kami ke jalan Engkau, kasihan belaslah, ketika kami bertadharuk bersemadi terhadap Engkau.

“Ya Allah, perbetulkan kami kiranya kami telah menyeleweng, perkuatkanlah kami dalam pendirian kami, hidupkan kami dalam iman dan taat kepada Engkau, matikan kami di dalam Islam, daripada golongan mereka yang bertaubat, begitu juga semasa soal di akhirat. Jadikanlah kami daripada mereka yang yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, jadikan kami daripada golongan mereka yang beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada kami, ya Allah dengan dapat memandang wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

No comments: