Posted on 24th Oct 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan tidaklah Kami mengutus engkau (rasul), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Al-Abiya', 107)
***
TERKEJUT saya melihat paparan eksklusif muka depan New Sunday Times (17 Oktober) yang memetik Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata subjek Sains dan Matematik untuk Tahun Satu akan diajar dalam bahasa Melayu mulai Januari depan, setahun lebih awal daripada dijadualkan (2012).
Beliau juga dipetik sebagai berkata sekolah diberi pilihan melaksanakan pembelajaran dalam bahasa Inggeris atau Melayu bagi subjek itu untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.
Tentunya, ini satu perkembangan amat mengejutkan kerana masa peralihan itu sungguh singkat, hanya ada dua bulan saja (November dan Disember) sebelum murid-murid memulakan sesi baru persekolahan Januari depan.
Apabila tindakan mengejut ini dilakukan, mahu tidak mahu kita terpaksa mengheret sama isu kedudukan dan taraf bahasa Melayu yang kini giat dikempenkan melalui bulan bahasanya.
Pada tahun 2002 ketika digembar-gemburkan Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris, guru-guru diberi pelbagai insentif, dihantar mengikuti pelbagai kursus dan disediakan prasarana termasuk aplikasi komputer dengan peruntukan berbilion-bilion ringgit tetapi kini keadaan sepi sahaja, seolah-olah semua orang sudah mahir berbahasa Melayu hatta dalam Sains dan Matematik.
Apa, adakah pertukaran itu kata-kata dalam bentuk air liur saja? Kita pun tidak terdengar usaha giat dilakukan oleh menyiapkan buku-buku rujukan dan aplikasi komputer bagi kegunaan pelajar berkenaan, apatah lagi buku-buku bagi bacaan umum berbahasa Melayu dalam bidang Sains dan Teknologi. Kita percaya buku teks, latihan dan ulang kaji sedang disiapkan bagi proses pertukaran bahasa itu, tetapi apakah itu memadai?
Jika peruntukan bagi pertukaran ke bahasa Inggeris boleh dikorbankan beberapa bilion ringgit, tidakkah peruntukan bagi pertukaran ke bahasa Melayu juga memerlukan jumlah yang sama?
Kenapa boleh mewah berbelanja untuk pembelajaran dalam bahasa Inggeris tetapi kedekut bagi pembelajaran dalam bahasa Melayu? Apakah pertukaran ke bahasa Melayu mudah dilakukan dan tiada usaha besar-besaran dilakukan ke arah itu? Atau bahasa Melayu tiada standard, lantas tidak dipedulikan walaupun berlaku pertukaran bahasa dua subjek penting itu di sekolah?
Jika inilah mentaliti sebahagian besar pemimpin negara yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu, tidak hairanlah kempen dan bulan bahasa Melayu (kebangsaan) terpaksa diadakan sedangkan negara ini sudah merdeka 53 tahun lalu.
Bagi seorang manusia umur setengah abad sudah merangkak memasuki usia tua tetapi negara kita masih menjalankan kempen bahasa kebangsaan (Melayu). Mengapa hal ini berlaku, jika soal bahasa pun kita belum dapat selesaikan bagaimana kita gampang bercakap mengenai 1-Malaysia, apa yang satunya sedangkan masih ada rakyat yang tergagap-gagap bercakap dalam bahasa kebangsaan?
Kita melihat pertukaran bahasa pengantar Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan ibunda adalah sandiwara politik bagi memenangi hati rakyat termasuk pilihan raya sedangkan tiada kesungguhan bagi mendaulatkan bahasa Melayu dalam erti kata sebenarnya. Hal ini boleh dilihat daripada keputusan kerajaan yang membenarkan pertukaran dari segi bahasa ini pada peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga Tingkatan Lima saja.
Apakah ini bermakna bahasa Melayu tidak layak untuk membicarakan Sains dan Teknologi pada peringkat lebih tinggi daripada itu? Jika andaian ini benar, akan malangnya nasib bahasa Melayu, perkembangannya terbantut, penggunaannya adalah semata-mata bagi memenuhi nafsu politik pihak tertentu yang mahu terus mengekalkan kuasa.
Apa yang sewajarnya dilakukan adalah membina kekuatan bahasa ini, daripada peringkat serendah-serendah sehingga ke tahap paling tinggi. Untuk itu diperlukan pengorbanan yang bukan sedikit termasuklah pelaburan dari segi kewangan.
Jika untuk kemajuan anak bangsa dalam bahasa Inggeris boleh dilaburkan berbilion-bilion ringgit, mengapa tidak tidak pelaburan yang sama digunakan bagi memperkasakan pembelajaran dalam bahasa Melayu? Adakah pembelajaran dalam bahasa Melayu begitu remeh, guru-guru pun tidak ditekankan untuk mengikuti kursus mengenainya?
Jika ada pihak berhelah, kononnya bahasa Melayu tidak cukup mantap untuk kegunaan dalam bidang Sains dan Teknologi di peringkat pengajian tinggi, mereka sudah mendapat jawapan kepada punca masalah. Apabila kelemahan diakui, carilah ubat kepada kelemahan itu dan bukannya lari daripadanya. Jika cendekiawan dan bijak pandai tidak membantu dalam memperhebatkan bahasa Melayu, kita mahu berharap kepada siapa sebenarnya?
Adakah kita berharap orang British atau Amerika untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Teknologi? Atau kita hendak serahkan tugas itu kepada orang Arab, India dan China atau bagi mencari jalan penyelesaian mudah kita serahkan kepada orang Indonesia, al-maklumlah bahasa Indonesia dan Malaysia hampir sama?
Bahasa hebat di dunia ini sekarang ini pun bermula daripada bawah. Dulu dunia Barat mengenali bahasa Latin, kemudian barulah bahasa Inggeris. Bahasa Arab jahiliah juga tidak dipedulikan tetapi selepas kedatangan Islam dan kewujudan tamadun besar Arab-Islam barulah bahasa ini berkembang maju.
Tentunya kemajuan seumpama ini mengambil masa yang panjang, tetapi tiada jalan pintas untuk memajukan bahasa sesuatu bangsa itu. Jika orang Melayu (Malaysia) hendak maju, tentunya bahasanya juga perlu maju. Hal ini adalah lumrah, cuba namakan satu bangsa yang maju sedangkan bahasanya tidak maju?
Jepun maju, bahasa Jepun pun maju; China maju bahasa Cina (Mandarin) pun maju; manakala di India bahasa Inggeris hebat digunakan tetapi kemajuan rakyatnya tidak sekata, ada yang maju ada yang terlalu mundur. Demikian juga di Filipina yang mengutamakan bahasa Inggeris, rakyatnya tidak maju-maju juga.
Jadi adakah negara kita mahu mencontohi India atau Filipina; sesetengah rakyatnya maju tetapi majoritinya ketinggalan kerana bahasanya sendiri tidak maju, tidak didaulatkan. Maju bahasa majulah bangsa, mundur bahasa mundurlah bangsa!
No comments:
Post a Comment