Sunday, October 3, 2010

Akhbar: Mana ada kebebasan mutlak?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan
"Dan jika dihasut oleh suatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah (iaitu dengan membaca A'uzu billahi minas syaitanir rajim), sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-A'raf Ayat 200)

***
ADA tiga insiden membuatkan saya memilih topik kebebasan akhbar (media massa) pada penulisan kali ini. Pertama adalah kunjungan seorang pelajar Sarjana Komunikasi Massa UiTM yang mewawancara saya bagi menyiapkan tugasannya; kedua pertanyaan seorang anak saya yang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi mengenai kebebasan akhbar dan ketiganya selepas berlaku polemik membabitkan kenyataan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari mengenai perkara sama.

Pelajar UiTM itu mewawancara saya mengenai etika kewartawanan dan kekangan dihadapi petugas media yang mungkin menyebabkan mereka terpaksa melanggar etika berkenaan. Apa yang menarik dalam wawancara itu, pelajar tersebut telah menjadikan akhbar Harakah sebagai kes rujukan. Sebagai salah seorang editor akhbar dwi-mingguan itu, maka terpaksalah saya menjawabnya.

Sebenarnya sejak meninggalkan Berita Harian 12 tahun lalu (selepas 12 tahun bertugas di sana) dan kini selepas memasuki tahun ke-12 di Harakah, saya tidak ghairah membicarakan soal kebebasan akhbar. Lebih baik membicarakan soal lain daripada isu yang ibarat tang tu tang tu jugak, lebih baik mengisi yang terbaik dalam batasan dibenarkan dengan amalan-amalan salih sebagai bekalan ‘untuk ke sana’ nanti.

Sama seperti nasihat kepada anak saya, kepada penuntut UiTM itu saya beritahu bahawa syarat pertama untuk menjadi seorang wartawan yang baik adalah menjadi seorang Muslim yang taat. Bagi yang bukan Muslim tertakluklah kepada agama masing-masing. Apabila tertakluk kepada kehendak agama, tentunya tiada kebebasan mutlak dalam kehidupan, termasuk dalam dunia kewartawanan. Kalau mahu bebas sepenuhnya, nanti disiarkan gambar lucah atas nama kebebasan, apa mahu dikata?

“Berkenaan etika kewartawanan bolehlah saudara semak perkara itu dalam buku-buku kewartawanan dan komunikasi massa. Tetapi sebagai wartawan (dan apa jua profesion) saudara perlulah berpegang teguh kepada hukum-hakam Islam dalam menjalankan tanggungjawab saudara.

“Apa yang disuruh agama buatlah, apa yang dilarang tinggalkan. Semuanya tertakluk dalam hukum halal dan haram. Membuat laporan berita tentunya halal, memesong berita tentunya haram; menyiarkan gambar baik-baik tentunya halal, menyiarkan gambar lucah atau separuh lucah tentunya haram; menyiarkan artikel mengenai bahana arak dan judinya tentunya halal tetapi menyiarkan iklan arak dan judi tentunya haram. Jadi itulah etikanya, jangan terpesong daripada halal dan haram ini.”

Pelajar itu bersuara: “Tetapi saya sudah buat kajian, banyak daripada laporan dan berita Harakah ini fitnah. (Pelajar itu menunjukkan kepada saya keratan laporan muka depan mengenai satu dakwaan Anwar Ibrahim dengan tajuk ‘Israel di Pejabat Perdana Menteri’ (Harakah Bilangan 1527, 2-4 April 2010). Bagaimana berita fitnah seumpama ini boleh disiarkan? Adakah semua editor sudah bersetuju dengan memilih berita ini sebagai ‘lead’ muka depan? Tidakkah ini bermakna, etika kewartawanan yang saudara sanjung itu terpaksa diketepikan demi periuk nasi saudara?”

Muka dan hati saya terasa panas. Saya terkejut dengan keberanian pelajar itu mengemukakan soalan sedemikian rupa. Memanglah budak-budak zaman sekarang ‘direct’(straight to the point), mereka tidak berbahasa basi seperti zaman saya muda (ketika menuntut dulu). Berdasarkan sikap saya yang ‘low profile’ dan hampir tidak pernah terbabit dalam perbahasan panas, saya terkedu untuk menjawab soalan yang ‘begitu ganas’ itu.

Namun entahlah, tiba-tiba ilham datang, saya dapat menjawabnya dengan lancar dan akhirnya wawancara yang sepatutnya berlangsung 20 minit menjadi dua jam dengan saya yang banyak bercakap dengan pelajar itu tekun mendengar, mengiyakan saja.

“Saudara, kamu perlu akui bahawa semua akhbar ada ‘master’ (tuan) masing-masing. Hal ini bukan terhad di Malaysia saja. Akhbar antarabangsa pun begitu. Tentu kamu pernah dengar nama taikun media, Rupert Murdoch yang memiliki banyak akhbar.

“Di Malaysia pun, akhbar-akhbar ini ada ‘bos’ masing-masing. Ada orang kata Utusan Malaysia itu milik orang Umno, Kumpulan NSTP (termasuk Berita Harian) juga milik orang Umno manakala Star milik orang MCA. Pendeknya semuanya ada pemiliknya. Umno, MCA, MIC dan parti-parti sekutunya yang membentuk Barisan Nasional (BN) sedang berkuasa sekarang ini. Jadi ‘master’ akhbar-akhbar ini adalah pihak berkuasa inilah.

“Kamu lihatlah laporan akhbar-akhbar ini. Selalunya berita besar adalah mengenai apa yang pemimpin cakap. Apa saja PM Najib Razak cakap jadi berita utama. Apa yang Najib dan kuncu-kuncunya cakap sama ada betul atau tidak, merapu atau tidak, semuanya masuk dalam ‘paper’ berkenaan. Jadi inilah ‘standard’ kewartawanan Malaysia, apa yang pemimpin cakap itulah berita. Inilah sumber utama pemberitaan, apa yang pemimpin (termasuk bekas PM Mahathir Mohamad) cakap itulah berita sedangkan hal ini tidak pula diajar di sekolah-sekolah kewartawanan.

“Jika apa saja yang Najib cakap itu jadi bahan utama akhbar arus perdana, maka sebagai kebalikannya apa yang pemimpin pembangkang cakap itulah sumber berita utama akhbar-akhbar alternatif seperti Harakah. Dalam berita ‘Israel di Pejabat Perdana Menteri’ itu sumbernya adalah daripada Ketua Pembangkang (Anwar) sendiri. Beliau bercakap di Parlimen pula, kalau awak kata fitnah mengapa orang difitnah tidak bertindak balik dengan menyaman Anwar dan akhbar yang menyiarkan dakwaan Anwar itu?

“Awak lihatlah sendiri, kebanyakan berita dalam Harakah ini memetik kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin PAS dan juga rakannya dalam Pakatan Rakyat. Yalah, kita ini kan bekerja untuk pemilik akhbar kita, kita mestilah ‘highlight’kan apa pemimpin perkatakan. Kalau awak kata mereka buat fitnah dan editor menyiarkan fitnah tersebut, maka samanlah, tetapi mengapa ini jarang berlaku? Kamu lihatlah watak orang bercakap itu, tanyalah hati kamu sendiri, logikkah orang macam Tuan Guru Nik Abdul Aziz buat fitnah?

“Satu hal yang awak mesti faham, apabila Najib bercakap, kata-katanya disiarkan oleh semua akhbar arus perdana yang boleh diakses semua orang tetapi apabila Anwar dan ‘gengnya’ bercakap, hanya akhbar alternatif seperti Harakah yang hanya boleh dibeli oleh ahli PAS, menyiarkannya. Kenapa suara Najib mahu dipaksa semua orang dengar tetapi suara Anwar dimatikan? Lebih malang lagi, akhbar alternatif ini dikenakan pelbagai kekangan, ringkasnya suaranya tidak sampai ke khalayak, jadi adilkah ini?

Entahlah, hari itu idea datang mencurah-curah, selepas bercakap dua jam saya mengakhirinya dengan bertanya pelajar itu: “Apakah semua yang saya cakap ini akan awak keluarkan, atau awak tapis-tapis (mana tahu pensyarah penyokong kuat Umno-BN), maklumlah takkan awak nak lulus dengan cukup makan (2 pointer) saja? Periuk nasi kena jaga juga!”

No comments: