***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)
***
Dari perspektif bahasa, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada sesuatu. Menurut pengertian istilah, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada Islam (Suminto, 73).
Syeikh Ali Mahfuds pula mendefinisikan dakwah sebagai 'mendorong manusia agar melakukan kebaikan dan mengikuti pentunjuk, menyuruhnya membuat kebajikan dan meninggalkan kemungkaran agar mereka memperolehi kebahagian dunia dan akhirat' (Syeikh Ali Mahfuds, petikan oleh Suminto, 1973).
Agama Islam berusaha meyakinkan manusia mengenai kebenarannya dan melatih mereka menjadi penganutnya. Dalam hal ini, Islam mempunyai ciri-ciri agung untuk menarik seluruh manusia kepadanya dan mendorong mereka ke arah mencapai keadilan, kebenaran, kesucian dan keindahan.
Orang Islam menganggap diri mereka sebagai diperintahkan Allah untuk menyeru semua manusia tunduk kepada-Nya (42:15). Matlamat hidup orang Islam ialah untuk membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam, iaitu agama bagi manusia, agama Allah yang merangkumi teologi dan syariah, etika dan institusinya (Isma'il R Al-Faruqi dan Lois Lamnya dalam buku mereka 'Atlas Budaya Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992).
Dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang Islam: "Serulah manusia ke jalan Allah dengan bijaksana dengan nasihat yang baik. Nyatakan alasan-alasan yang munasabah (6:125). Dakwah merupakan pengisian kepada perintah ini. Dakwah melibatkan usaha mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai; membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan tentang nikmat syurga; memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan tentang kesengsaraan di alam ini (22:67).
Tugas memenuhi perintah ini dinyatakan oleh al-Quran sebagai puncak kebaikan dan kebahagiaan. "Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah." (41:33). Rasulullah (s.a.w.) juga menganggap bahawa dakwah merupakan usaha paling mulia dan hasilnya, iaitu penganutan kepada Islam sebagai kesan paling agung.
Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas nilai - sosial, agama dan kebudayaan - dan penyelidikan melalui penglibatan.
Hasil daripada konsep pendekatan penyelidikan melalui penglibatan ini ialah satu aspek komunikasi antara perseorangan, yang mungkin merupakan suatu aspek komunikasi yang paling mengarah kepada sosio - agama - budaya (Pandangan Imtiaz Hasnain dalam buku Rahmah Hashim 'Komunikasi: Suatu Pendekatan Islam', DBP 1992).
Al-Quran dan hadis menyatakan di beberapa tempat mengenai prinsip dan kaedah komunikasi. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini ialah:
1. "...dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..." (Surah 2:83).
2. "(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati." (2:263).
3. "...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu..." (3:159).
4. Allah tidak suka kepada perbuatan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan." (Surah 4:148)
5. "Dan katakan (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata-kata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia." (17:53).
6. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut." (20:44).
7. "Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka..." (29:46).
8. "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini." (25:63).
9. "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah 62:2-3).
Dalam hadis juga terdapat beberapa prinsip komunikasi yang disabdakan oleh Rasulullah (s.a.w.). Dalam kita membicarakan mengenai bentuk komunikasi, Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda - seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Dunya yang bermaksud: "Sebutkan perkara baik mengenai saudara kamu yang tidak hadir dalam perjumpaan, terutama sekali perkara yang kamu suka diperkatakan oleh saudara kamu ketika kamu tidak hadir bersama."
Mengenai perkara yang perlu dijauhi seseorang, Dunya meriwayatkan dalam hadis yang sama, bagaimana Rasulullah (s.a.w.) meminta seorang pengulas supaya menjauhi memperkatakan apa juga yang tidak ada kena mengena dengan diri sendiri dan mengatakan apa juga tentang diri sendiri pada majlis yang salah.
Rasulullah (s.a.w.) juga bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan tidak suka orang seperti itu...yang memutarbelitkan (fakta) dengan lidah mereka seperti seekor lembu yang memusing-musingkan rumput dalam lidahnya."
Berhubung dakwah secara berhemah dan berhikmah di tengah-tengah masyarakat, penulis tertarik dengan pendakwah yang sanggup meronda 'lorong-lorong gelap' ibu kota, menasihati anak-anak muda supaya tidak memasuki hotel-hotel maksiat yang bertaburan di kawasan seperti Lorong Haji Taib.
Mereka berdakwah tepat kepada sasarannya sedangkan peringatan supaya tidak membuat maksiat yang disampaikan dalam kuliah dan khutbah di masjid sering didengari oleh orang yang hatinya sudah 'tertambat dengan kebaikan'.
Mengulang-ulangi ingatan, nasihat (berdakwah) kepada 'kaki masjid' adalah amat baik, tetapi jika ia dapat diperluaskan dengan menemui orang yang hidupnya terumbang-ambing seperti penagih dadah, 'kaki rock' seperti peminat Scorpions, kaki Lorong Haji Taib, tahi judi, kaki botol dan pelbagai 'kaki' lagi, alangkah besar manfaatnya.
Saya pernah terbaca laporan yang menyebut banduan dalam penjara ternanti-nanti kedatangan pendakwah Islam dan ini peluang terbuka untuk tuan guru dan ustaz/ustazah memainkan peranan masing-masing.
Usahlah hanya mengejar glamor seperti mengadakan ceramah fesyen atau 'cakaran harimau' atau asyik berpolitik, sebaliknya turunlah ke gelanggang berdakwah kepada insan-insan yang 'kehausan' itu.
No comments:
Post a Comment