POSTED ON 5th OCT 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar dengan yang batil dan kamu sembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui." (Al-Baqarah, Ayat 42)
***
Kita tertarik dengan cadangan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan baru-baru ini bahawa Umno-BN usahlah bertanding pada pilihan raya kecil Dun Galas bagi mengelakkan perpecahan orang Melayu.
Sungguhpun syor Adun Bunut Payung yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan itu hanya satu lontaran idea yang terasa amat sukar terlaksana, setidak-tidak ia boleh dijadikan kayu pengukur sama ada pihak yang beriya-iya mencanangkan perpaduan benar-benar mahukan perkara itu atau bersandiwa saja. Selama ini seriuskah mereka atau adakah itu cakap-cakap politik atau retorik saja?
Hakikatnya, perpaduan berdasarkan bangsa atau asabiyah tidak dapat dijayakan. Berhubung perpaduan, salah seorang ulama ulung di kalangan orang Melayu (kita bercakap mengenai perpaduan bangsa Melayu), Allahyarham Prof Dr Hamka melalui Tafsir Al-Azhar (Juzuk 1) antara lain menulis: “Persatuan seluruh umat manusia hanya akan tercapai bilamana penyerahan mereka hanya satu, yaitu kepada Allah saja. Apabila berpaling daripada Allah kepada yang lain, nescaya perpecahanlah yang timbul, sebab Allah Esa, dan yang lain adalah berbilang atau cerai-berai.”
Dalam Surah Ali Imran (ayat 103), Allah SWT berfirman, bermaksud: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Apa ditekankan di sini adalah kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada agama Allah yang apabila dapat dilaksanakan barulah dapat disatu-satukan hati-hati manusia untuk mendapat keredaan-Nya semata dalam segenap aspek kehidupan termasuklah dalam soal politik dan pilihan raya.
Bagi pilihan raya kecil Dun Galas ini, kita melihat ada kewajaran dalam syor Takiyuddin agar Umno-BN tidak bertanding bagi mengelakkan ‘pertempuran’ sesama Melayu yang sudah pasti membawa kepada pergeseran dan perbalahan.
Oleh yang demikian atas nama perpaduan Melayu yang kerap dicanang-canang pihak terbabit, ada kebenaran hujah untuk pihak ini tidak bertanding. Bagi Dun Galas, Takiyuddin mengesyorkan Umno-BN tidak bertanding kerana kerusi itu sebelum ini adalah milik PAS yang diwakil Adunnya, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 47, selepas memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008 dengan majoriti 646 undi. Kemenangan Umno-BN pada pilihan raya kecil nanti tidak akan mengubah status quo Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Namun jelas sekali perpaduan Melayu ini tidak dapat dijayakan, kedua-dua pihak (Umno-PAS) pasti bertanding juga akhirnya. Ternyata benarlah seperti yang ditegaskan oleh Allahyarham Hamka bahawa persatuan umat manusia hanya akan tercapai bilamana penyerahan mereka hanya satu, yaitu kepada Allah saja. Apabila berpaling daripada Allah kepada yang lain, nescaya perpecahanlah yang timbul.
Berdasarkan ini, adalah penting bagi masyarakat khasnya pengundi di Dun Galas, membuka pintu hati mereka bagi mengenal pihak yang berjuang untuk mendapatkan keredaan Allah atau yang mempunyai kepentingan tertentu. Orang yang mengejar kebahagiaan akhirat adalah ibarat menanam padi; selain padi yang tumbuh, sawah turut ditumbuhi lalang. Ertinya dunia akan turut mengejar (dimiliki)nya, tetapi bagi orang yang mengejar dunia semata-mata (ibarat menanam lalang) dia tidak akan sekali-kali mendapat hasil padi. Ertinya dia akan rugi di dunia dan akhirat. Demikianlah amat berbeza sekali orang menanam padi dan orang menanam lalang.
Perkara inilah yang perlu diamat-amati masyarakat dan pengundi. Ini kerana kita bukan saja mengharapkan kesenangan di dunia semata-mata tetapi kebahagiaan itu perlulah bersinambungan dari dunia hingga ke akhirat.
No comments:
Post a Comment