Friday, October 8, 2010

Makkah, Madinah terpahat dalam ingatan

Posted on 8th October 2010

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana." (Surah Luqman, ayat 27)
***

APABILA diberitahu seorang ibu saudara sebelah ayah akan berlepas ke Tanah Suci 13 September ini bagi menunaikan haji, segera saya menawarkan diri untuk membawanya dengan kereta saya dari Melaka ke Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya.

Beliau akan ke sana seorang diri, kasihan suaminya tidak dapat bersama kerana kekurangan ongkos, namun sudah menunaikan Rukun Islam itu beberapa tahun lalu dengan ihsan kerajaan bagi menghargai tugasnya sebagai seorang penggali kubur.

Saya tahu mak saudara saya itu hidup serba kekurangan, tetapi semangatnya untuk ke Tanah Suci begitu meluap-luap, akhirnya beliau (insya-Allah) akan menjejakkan kaki di tanah kelahiran Rasulullah s.a.w. dan juga kota suci Madinah Al-Munawarah yang menyaksikan Islam berkembang pesat ke serata pelosok dunia membolehkan kita semua berada dalam lindungan-Nya.

Mencoret kisah haji, umrah, Makkah dan Madinah mendatangkan kesyahduan pada diri ini. Air mata hampir menitis, mengenang detik-detik indah saya berada Tanah Suci sebanyak tiga kali, 2002 (menunaikan haji bersendirian), 2005 (menunaikan haji bersama isteri) dan Jun 2010 bagi menunaikan umrah.

Jarak waktu pemergian terakhir saya baru tiga bulan, tetapi hati bagai ditarik-tarik mahu ke sana lagi. Jadi sebagai mengubat hati, saya berusaha menyelami rasa, membantu serba sedikit saudara dan sahabat yang akan ke sana, dan insya-Allah pada 13 September ini akan menyertai ratusan, malah ribuan sanak saudara jemaah berkampung di Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya.

Tidak dapat pergi, dapat menghantar jemaah pun jadilah. Ganjaran daripada Allah SWT untuk orang menghantar jemaah (memudahkan jemaah) pun sudah besar apatah lagi jika kaki sendiri dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci. Allah Akbar, tidak dapat dibayangi segala rasa dialami jemaah, debarannya daripada saat berangkat di pintu rumah sehingga akhirnya kembali, memasuki rumah sendiri selepas 40-45 hari berkelana di bumi kelahiran Nabi tercinta, Muhammad s.a.w.

Bayangkanlah jika selama puluhan tahun (kebanyakan jemaah dapat ke Tanah Suci selepas berusia lebih 50 tahun), hanya gambar Kaabah yang terpampang di sejadah atau di dinding rumah sebagai perhiasan menjadi tontonan diri, kini Kaabah berada di depan mata. Bermimpikah diri ini apabila batu dan kain Kaabah itu dapat disentuh, diri ini berada dalam barisan bulat ratusan ribu manusia yang sama-sama rukuk dan sujud ke arahnya? Macam tidak percaya, dirinya ini termasuk dalam lautan manusia itu, tetapi itulah hakikatnya, jadi marilah bersama-sama menyertai keajaiban ini.

Memulakan langkah perjalanan ke Tanah Suci amat mudah berbanding apa disangka. Musim haji ini genggam dan lepaskanlah not biru, hijau dan merah ketika bersalaman dengan jemaah haji di kalangan saudara-mara dan sahabat. Sambil itu bisikkan kepada mereka dengan penuh pengharapan, “kirim salam ‘kat’ Rasulullah s.a.w. dan doakanlah agar aku dapat segera ke sana!” Perkara ini boleh dilakukan pada hari sahabat atau saudara kita itu berangkat di rumahnya atau di kompleks jemaah haji. Atau lebih baik ketika dia mengadakan kenduri beberapa minggu atau hari sebelum berlepas.

Insya-Allah, akan menitislah air mata ketika berpelukan dengannya, melihatnya dengan ekor mata, menaki kenderaan yang kemudian beransur-ansur hilang daripada pandangan. Demikian juga ketika menyaksikan dia melangkah kaki memasuki bangunan kompleks haji, kita yang tinggal mendoakan dia selamat pergi dan selamat kembali. Doa orang menunaikan haji amat mujarab, yakinilah tidak lama lagi kita akan menyusul, alangkah bahagia jika kita pula dihantar orang, berlepas ke Tanah Suci!

Namun perlu diingat sebagai manusia kita perlu merancang, yang menentukan segala-galanya adalah Ilahi. Selain doa (termasuk doa orang lain seperti jemaah haji), ‘campakkanlah’ wang RM50 atau RM100 setiap bulan dalam akaun Tabung Haji, insya-Allah, 10 tahun kemudian tertunailah hajat kita sekian lama untuk menyaksikan dengan mata kasar dan mata hati akan keajaiban di Tanah Suci.

Detik berlepas ke Tanah Suci dari pintu rumah begitu menyayat hati. Pelbagai perasaan dirasa ketika itu. Gembira, bersyukur, sedih, terharu, gementar, takut, cemas – semuanya ada. Selepas bersalaman dan berpeluk-pelukan dengan sanak saudara dan sahabat handai, semua hadirin berdiri manakala jemaah duduk di kerusi. Azan dikumandang oleh bilal kampung atau anak lelaki jemaah haji. Suasana hening, penuh syahdu. Air mata mengalir di pipi tatkala azan bergema, tergambar kota Makkah dan Madinah dan terkenang jua anak-anak dan saudara-mara serta sahabat handai yang akan ditinggalkan.

Selamat tinggal semuanya, panggilan (seruan) Allah mengatasi segala-galanya. Bagi ubat penawar hati (menaikkan semangat), kenang dan ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “ Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal ang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” - Surah al-Taubah, ayat 24

No comments: